Perkhabaran Duka

Setiap minggu aku pulang ke Buluh Kasap sejak bulan Oktober 2015. Hanya untuk menghilangkan rasa kesendirian sewaktu di Melaka. Di kampung, aku meluangkan masa dengan keluarga. Beruntung keluarga datuk dan nenek sebelah emak dan abah tinggal di pekan yang sama.

Selain Pokteh dan Atuk Mat, adik yang kedua iaitu Angah setelah menamatkan diplomanya telah menetap di sana, bekerja di Taman Yayasan. Di rumah nenek, Kg. Kuing Patah, iaitu keluarga sebelah abah pula, aku masih ada Atuk Minah dan Tok Lijah. Kadang kala nenek saudara yang tinggal di Simpang Jabi, suka datang dan bermalam di rumah nenek. Kadang selama seminggu.

Sebenarnya abah berpesan supaya aku menolong nenek menjaga lembu-lembunya memandangkan aku kerap pulang. Kadang, membawakan dia ke pasar dan kedai untuk membeli stok barang dapur. Sesekali, Tok Lijah juga ada mengajak minum petang di warung Mat Ali atau ke pasar malam. Begitu juga nenek saudara yang dibahasakan sebagai Atuk Uda Zahrah, sama ada aku atau Angah akan menjemput di rumahnya untuk ke rumah nenek.

Saban minggu aku bertemu mereka bertiga, berbual dan melayan keluh kesah tentang anak dan cucu. Tok Uda selalu menyebut, entah bila agaknya dapat berjumpa lagi. Seolah memberikan gambaran bahawa dia akan pergi tidak lama lagi. Setiap malam, ada saja perkara yang akan dibualkan, walau pun Tok Uda merupakan nenek saudara, aku telah menganggapnya seperti nenek sendiri. Malah, dia agak rapat dengan Angah. Tanggal 13 Januari, aku menerima perkhabaran duka akan Tok Uda yang meninggal dunia pada pagi hari itu.

Sebelum meninggal, Tok Uda masuk hospital pada 8 Januari, kerana masalah pitamnya semakin teruk, tekanan darahnya rendah. Aku, Angah dan Firdaus sempat melawatnya di hospital pada hari Ahad, 10 Januari. Mengingatkan semula tentang perbualan di akhir hayatnya, dia gemar bergurau dan sentiasa ceria. Walau pun tersenyum, bait luahannya tersirat sedikit kesedihan kerana jarang dapat bertemu anak dan cucunya sendiri.

Pada aku, pemergiannya tidak sedikit pun menghibakan, kerana aku selalu ada disisinya sewaktu dia dipenghujung usia. Cuma, ketiadaannya pasti akan dirindui. Benarlah katanya, entah bilakah lagi untuk punya kesempatan berjumpa lagi, hanya Tuhan saja yang tahu. Semestinya, Atuk Minah dan Tok Lijah lebih terkesan kerana kehilangan seorang saudara dan kawan baik.

Jenazahnya dikebumikan usai solat Zohor. Angah yang sedang bekerja pada hari itu terus mengambil cuti untuk menghadiri pengebumian di tanah perkuburan Kg. Kadut. Aku juga turut serta. Ramai anak cucu dan kenalan arwah telah berada di sana ketika aku dan Angah sampai.

Baru saja balik dari tanah perkuburan, abah menelefon memberitahu perkhabaran duka kedua. Cucu Atuk minah yang sulung merangkap sepupu aku, juga meninggal dunia pada hari yang sama. Akibat kemalangan motosikal di Kedah, sewaktu hendak pulang ke kem tentera. Arwah seorang Polis Tentera (MP) di sana dan baru sebulan lebih berkahwin iaitu pada awal Disember tahun lepas.

Berita itu disampaikan oleh Pak Ngah Bidin melalui menantunya. Khabar yang baru diterima ini sangat mengejutkan seluruh keluarga. Baru sebentar tadi, Pak Ngah menziarahi pengebumian ibu saudara, kemudian anaknya yang sulung pula meninggal dunia. Begitulah ajal dan maut ini telah ditetapkan oleh Tuhan, dengan penuh kerahsiaan.

Aku cuba menghubungi Firdaus yang berada di Melaka, tetapi tidak berjawab. Mungkin dia sudah tahu tentang pemergian abangnya. Pak Ngah dan seluruh ahli keluarganya terus berangkat ke Kedah dengan menaiki kereta api. Pokde Norman turut menyertai keberangkatan tersebut.

Petang itu juga, Pakcik Azman dan keluarganya bergegas pulang ke kampung setelah tamat waktu kerja. Malam diadakan kenduri di rumah Tok Uda. Aku, Angah dan Makcik Elly hadir ke sana. Pakcik tidak ikut sekali kerana keletihan, dia ikut serta kenduri malam kedua. Ketika sampai, bacaan Yasin sedang berlangsung. Setelah tahlil dan doa selamat tamat dibacakan, semua tetamu dipelawa menjamu selera. Kemudian, berjumpa dan berbual dengan sanak saudara Tok Uda sebelum pulang.

Malam itu kami bersembang panjang, pelbagai perkara termasuk mengenangkan pemergian dua orang saudara pada hari itu. Terutama sekali tentang arwah sepupu yang bernama Mohd Isa. Aku masih ingat kali terakhir bertemu Isa di hari perkahwinan adiknya pada bulan Mac tahun lepas. Dia bercerita panjang lebar tentang pengalaman hidup dan kerjayanya, serta berharap dapat berkumpul bersama seluruh saudara mara suatu hari nanti. Masing-masing sudah jarang berjumpa. Tanpa disangka, itulah pertemuan yang terakhir.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s