Perkahwinan Sepupu Di Kedah

Petang Jumaat, aku pulang ke kampung dengan seribu satu rahsia yang tak mungkin diungkapkan. Tersimpan hanya untuk diri sendiri dengan penuh keberatan. Pukul 8 malam, aku menjengah pintu dapur rumah atuk dengan menggalas beg. Ramai ahli keluarga berada di dapur sedang membincangkan tentang rombongan ke Kedah pada malam besok.

Tidak ada apa yang hendak diperkatakan. Aku lebih senang menyendiri dan mendengarkan perbualan mereka. Kemudian menikmati makan malam. Seterusnya menonton movie sebelum melelapkan mata. Keesokan harinya, semua orang sibuk mempersiapkan segala kelengkapan sebelum bertolak ke Kedah pada malam itu. Bagi aku, mencukupilah dua helai baju, minyak rambut dan deodoran. Lagi pun cuma sehari perjalanan.

Semua orang berkumpul di pam minyak sebelah rumah atuk dengan mengangkut pelbagai makanan dan minuman. Bas persiaran yang ditunggu masih belum kelihatan, dikala semua anggota rombongan telah pun tiba seramai 35 orang. Setengah jam kemudian, bas sedia untuk dinaiki. Aku terus menuju tempat duduk belakang sebelah kiri. Tujuannya untuk melihat pemandangan, bukan melihat lintasan kenderaan.

Bas meluncur dengan had laju yang ditetapkan oleh pereka undang-undang jalan raya. Menuju ke Kedah dari Segamat, Gemas, Gemencheh dan ke Alor Gajah untuk melalui lebuhraya utara selatan. Seterusnya aku tidak peduli kerana tiada apa yang hendak dilihat dalam keadaan gelap malam. Earphone dipasangkan ke telinga dengan alunan mendayu segelap pekat malam, irama dari Opeth dan pelbagai kumpulan metal yang lain. Disudahi dengan koleksi lagu malar segar tempatan.

Aku tidak dapat membuai lena yang panjang setelah berkali-kali memaksa. Banyak kali aku terjaga sekadar mencari kedudukan yang selesa sambil memerhatikan orang lain. Semuanya membisu. Hairan melihat mereka mampu tidur dalam keadaan bas yang tidak statik. Lebih kurang dua kali bas persiaran ini berhenti sehingga tiba di Pulau Pinang untuk solat subuh di masjid yang aku lupa namanya.

Setelah perhentian ketiga, barulah aku terasa mengantuk. Di Kedah, bas membawa ke sebuah RNR yang tersergam indah pemandangan Gunung Jerai. Pagi telah cerah, tidak jauh lagi destinasi yang ingin ditujui. Aku memilih sarapan nasi lemak. Kemudian memesan satu cawan plastik besar berisi black coffee untuk mendapatkan kesegaran. Bergambar seketika bersama pemandangan gunung sebelum menaiki bas.

Di negeri jelapang padi ini aku mengharapkan sebuah lagi pemandangan yang menarik. Namun, hampa apabila tiada kehijauan sawah bendang seperti yang dikhayalkan dalam bas malam tadi. Semuanya sudah dituai, petak bendang telah menguning tersisa dengan jerami. Tidak beberapa lama kemudian, sampailah ke rumah pengantin perempuan. Sebelum turun, bas bergerak semula menuju ke sebuah homestay untuk berehat sebentar sebelum menghantar pengantin lelaki iaitu sepupu aku.

Setibanya di rumah pengantin, semua orang menunggu untuk menikmati makan tengah hari. Aku merayau di belakang rumah pengantin untuk melihat sawah padi yang telah dituai. Angin meniup sedikit laju, tanpa mengurangkan bahang terik mentari. Jarak antara kampung agak jauh dan sayup untuk dilihat. Walau pun kecewa, tetap juga merakamkan beberapa foto kenangan.

Kali ini tiada nasi minyak seperti kebiasaan jemputan kahwin atau memang tidak sama antara utara dan selatan. Aku tidak pasti. Lauk-pauk ada tiga jenis sahaja tetapi cukup mengghairahkan selera. Selesai makan, aku tolong menjaga budak-budak, iaitu anak saudara sepupu untuk memberi ruang ibu ayahnya makan. Pengantin elok berada di meja makan menikmati juadah istimewa raja sehari.

Setelah semua selesai dan kenyang, berlangsung pula acara bergambar bersama ahli keluarga. Sebenarnya aku tidak begitu teruja untuk majlis ini. Maka tidak banyak perkara yang hendak diceritakan tentang suasana majlis. Tidak begitu berbeza pun dalam banyak-banyak kenduri kahwin. Tujuan peribadi, lebih kepada melihat tempat orang dan segala pemandangan serta keadaan di negeri utara. Terlalu lama berada di tempat sendiri di selatan tanah air, sesekali kena datang ke tempat orang pula.

Setelah bersurai, semua menaiki bas semula untuk bertolak pulang. Pemandu membawakan peserta rombongan untuk membeli belah di Pekan Rabu. Sekali lagi, aku hanya merayau di kawasan tersebut, mencuci mata melihat pelbagai barangan yang dipamerkan oleh pekedai. Apa yang menarik, pakaian yang disebut sebagai kurta, banyak yang cantik-cantik. Setelah habis pusing, Pak Ngah Sham mengajak minum di medan selera berdekatan dan bersembang. Kaum ibu pula sedang asyik membeli belah.

Bas memulakan perjalanan balik ke selatan tanah air selepas berhenti di Pekan Rabu. Sekali lagi aku menempuh perjalanan yang berjam-jam lamanya. Semua orang keletihan dan tidak ada suara perbualan kedengaran. Hujan turun dengan lebat, lebih kurang pukul 6 petang bas berhenti di perhentian rehat. Makan, solat dan bersantai seketika. Pukul 8 malam, perjalanan pulang diteruskan. Aku tertidur dan terjaga untuk kali yang entah ke berapa pun tidak pasti. Ketika tersedar, aku ternampak papan tanda bertulis Gemas.

Mata tidak mahu tidur lagi. Aku berjaga sehingga bas tiba di stesen minyak caltex Buluh Kasap. Masing-masing turun dari bas untuk pulang ke rumah. Bukan selalu pergi ke Kedah, walau pun bukan seperti pelancongan. Memadailah apa yang ada. Selaku warga yang lebih lama menetap di negeri selatan, sememangnya terdapat banyak perbezaan corak kehidupan masyarakat di Kedah, baik budayanya, makanan, dialek dan sosioekonomi mereka. Kalau hendak diikutkan, perjalanan semalam masih belum mencapai kepuasan. Suatu hari nanti mungkin aku akan ke sana semula. Kalau boleh semua daerah dan negeri ingin dijelajahi.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s