Lari Daripada April

Sekejap sahaja telah sampai di bulan April. Aku tidak tahu bagaimana untuk menerangkan kondisi diri. Bukan fizikal, tetapi jiwa. Seakan-akan terdapat peperangan yang besar sedang berlaku. Rasanya, setiap orang pasti melalui pengalaman sebegitu di saat kesendirian. Inilah masalahnya, aku terlalu kerap bersendiri dan terlibat di dalam peperangan diri sendiri. Aku yang dahulu bukan seorang yang bersikap sugul, murung dan bermuram setiap masa. Kini, pada kebanyakan masa aku seorang yang semakin jauh daripada menemukan kebahagian sebenar.

Seolah-olah cuaca di dalam diri tidak pernah cerah cemerlang. Tidak ada musim bunga yang mekar menawan, musim luruh yang damai dan musim panas yang mengujakan. Cuaca di dalam jiwa aku lebih kerap hujan, langit berselubungkan awan kelabu, bertiup angin dingin. Langsung tidak dilimpahi cahaya matahari. Kemudian aku berada di dalamnya berjalan di kaki lima berpeluk tubuh menahan sejuk. Berjalan seorang diri tanpa ditemani sesiapa. Pekan tidak dipenuhi orang ramai, yang ada hanyalah mereka yang membuat hal sendiri. Masing-masing tidak mempedulikan antara satu sama lain. Begitulah keadaannya.

Semula jadinya aku memang agak pendiam, pasif serta menepati ciri-ciri peribadi bersifat introvert. Bersendirian adalah salah satu kebahagian aku. Apabila terlalu kerap, bertukar kepada racun yang memakan diri. Akhirnya hidup terumbang-ambing tidak mempunyai arah tuju. Sedang orang lain, bermacam-macam kejayaan telah dirangkul. Aku? Tetap begini dikoyak-koyak sepi yang tidak menguntungkan apa-apa. Lebih kurang sama seperti gelandangan. Gelandangan dalam sebuah realiti.

2015, tahun lepas, aku sedang bergerak menuju kepada perubahan hidup yang lebih positif. Semangat masih lagi membara untuk melunaskan segala objektif yang perlu dicapai. Tiba dipenghujung tahun, aku kembali menjadi kapal yang tidak berkemudi. Menemukan diri cuma sebentar sebelum kembali hilang arah seperti 2013 dan 2014. Kemudian 2016, aku kembali terbabas seperti mayat hidup. Hilang motivasi. Inilah masalah yang aku hadapi, yang sering tenggelam timbul. Tewas dalam jihad peperangan terhadap diri. Apakah aku telah menepati ciri-ciri kemurungan?

Kadang, aku beranggapan perjalanan yang aku inginkan untuk melaluinya tidak seperti yang diharapkan. Mungkin Tuhan sedang memberitahu dalam bahasa yang halus dan tersirat, aku perlu merangka sebuah haluan baru. Tinggalkan sahaja semua yang telah dilakukan dalam beberapa tahun ini. Aku bersangka begitu kerana terlalu banyak rintangannya. Apa yang aku telah dan cuba untuk melakukan seakan tidak menjadi. Namun, di sudut yang lain aku berpendapat inilah ujian yang diberikan kepada aku. Maka tidak patut untuk berputus asa dan mengalah sehinggalah aku berjaya sampai ke destinasi.

Tapi, pada suatu masa aku menukar fikiran semula. Bukan hendak berputus asa, cuma aku inginkan sebuah permulaan episod baru. Tinggalkan perkara yang seakan pudar dan mulakan perancangan baru. Cabarannya, pengorbanan ini memerlukan mahar yang tinggi untuk dibayar. Kasihan kepada insan yang selalu berada dibelakang yang telah berkorban masa, harta dan tenaga dalam memberikan sokongan kepada aku. Terlalu besar jasa mereka. Jika aku tekad meninggalkan semua ini, pastinya mereka lebih kecewa. Siapa lagi kalau bukan ibu bapa. Inilah salah satu dilema yang aku hadapi saban hari sehingga mencetuskan peperangan di dalam jiwa. Semuanya berkait soal hidup dan masa depan. Tak ada seorang yang memahami selain yang Maha Esa.

Menurut rencana asal, aku sepatutnya menamatkan salah satu objektif dalam hidup ini sekitar awal tahun iaitu pada Januari. Beginilah ceritanya, sekarang telah April, matlamat aku tidak pernah sunyi dari aral yang melintang. Bukan sekali ini cubaan yang aku terima. Berkajang-kajang masalah yang datang kalau hendak ditulis, selangkah demi selangkah aku selesaikan dan cuba menghadapi dengan senyuman.

Kawan datang dan pergi. Bermula hujung tahun lepas aku mengenali kawan baru yang diperkenalkan oleh sepupu. Begitu juga kawan kepada kawan rapat aku sepanjang aku berada di sini. Mereka merupakan kelompok kenalan yang baik. Di Melaka, aku belum pernah lagi memperoleh kawan yang menikam dari belakang, talam dua muka dan menindas. Nakal atau jahanam aku tidak kisah, kita semua tidak terlepas dari kekhilafan. Jangan sampai kawan makan kawan, ini yang paling mencelakakan.

Kalau hendak mengenangkan rasa kecewa dengan perancangan yang tertunda sebelum ini. Masa telah berlalu pergi, yang lepas dijadikan ibrah. Aku ingin melihat kehadapan dan meneroka penyelesaian baru. Pencarian bilik sewa yang baru antaranya. Aku telah jumpa, cuma depositnya sahaja belum dihulurkan. Jangkanya bulan Jun nanti aku akan berpindah masuk. Ada lagi sebulan untuk aku menetap di rumah yang sekarang ini. Milik keluarga seorang rakan. Dia akan melangsungkan perkahwinan pada bulan hadapan, maka aku perlu mencari sarang baru.

Terdapat banyak lagi peperangan yang perlu dihadapi. Antaranya peperangan terhadap sikap atau perangai negatif. Bukan mudah untuk menundukkan diri yang satu lagi. Supaya diri yang baik menakluki keseluruhan jiwa. Syukurlah kawan-kawan yang aku kenal agak lebai orangnya. Pemuda yang terdiri dari jemaah tabligh. Telah berbulan, mereka tidak putus asa untuk mengajak aku menyertai program keluar dakwah mereka. Bagaimana aku ingin mengatakan? Jawapan aku, tunggulah beberapa urusan aku diselesaikan baru aku pertimbangkan pelawaan itu.

Aku menolak dengan jawapan yang elok. Walau pun sedikit geram untuk mengeluarkan isi hati yang membuak. Bukan hendak menang debat, tetapi mencari pencerahan. Aku tidak rimas atau marah, sememangnya aku tertarik untuk mendekati kelompok mereka kerana pesona akhlak dan peribadi yang ditonjolkan. Bukan aku seorang yang dilanda pelbagai masalah. Setelah bertukar-tukar cerita, barulah aku sedar, perjalanan hidup mereka juga berliku dan lebih hebat. Ini membuatkan aku mengerti sesuatu berkenaan hakikat hidup.

Aku bercadang untuk pulang ke kampung tapi sering kali menangguhkan hasrat tersebut. Tengoklah pada bulan hadapan, aku mahu pulang. Bertemu keluarga dan sahabat handai yang sering bertanya-tanya mengapa lama tak berjumpa.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s