Tragedi Kemalangan Kedua

Beginilah yang dikatakan sudah suratan takdir. Aku ditimpa kemalangan motosikal untuk kali yang kedua dipersada perjalanan hidup ini. Tidaklah berdaya bagi aku untuk menafikan qadha dan qadar Tuhan semesta alam. Aku terima musibah ini sebagai ujian untuk menguji kesabaran dan sebagai tanda Tuhan menunjukkan perhatian kepada hambanya. Moga dengan dugaan ini, semakin bertambahlah keimanan dan ketaqwaan.

Sebelum kejadian, aku telah menimbangkan keputusan untuk pulang ke rumah keluarga di Labis. Telah berbulan lamanya aku tidak pulang ke sana. Kali terakhir aku berada di sana pada bulan Oktober 2015. Sepanjang tempoh itu, aku pulang pada setiap minggu. Tetapi ke rumah atuk di Buluh Kasap. Keluarga juga kerap ke sana, dan tidak ada sebab untuk tidak berjumpa mereka. Maka, aku tidak bercadang balik ke Labis kecuali jika bercuti panjang.

Pada tarikh 6 Mei, aku merancang untuk pulang ke Labis. Memandangkan cuaca tidak menentu, aku tidak jadi hendak pulang. Keesokannya hari Sabtu, aku berbelah bahagi untuk memulakan perjalanan. Tetapi, keinginan itu membuak-buak dan tanpa berfikir panjang, aku gerak pada lewat jam 3 petang. Hari itu merupakan hari perkahwinan seorang teman bernama Reza. Aku tidak dapat hadir kerana tiada yang mengajak untuk pergi bersama sebabnya aku sendiri tidak tahu alamat rumahnya.

Hari itu, aku terlajak tidur kerana malam semalamnya tidak dapat tidur. Seperti ada perkara yang menyesakkan fikiran, dan menyesal pula tidak pulang pada hari semalam. Pada hari kejadian juga, aku tidak sedap hati sejak dari rumah lagi. Firasat memberi tanda seperti ada perkhabaran yang tidak baik akan diterima dan denyut jantung sedikit berdebar. Cuma, aku memutuskan tidak mahu melayan prasangka tersebut dan cuba menyedapkan hati sendiri bahawa tidak ada apa-apa yang akan terjadi.

Cuaca baik, dan jalan raya tidak dipenuhi kenderaan. Kadang terserempak dengan kenderaan berat. Aku masih ingat lagi apa yang sedang difikirkan pada waktu itu, supaya menunggang motosikal dengan penuh berhati-hati. Meski pun perasaan dalam keadaan kerisauan. Aku tidak memandu laju seperti selalu, tetapi dalam keadaan santai kerana bimbang yang tidak ketahuan punca. Apabila sampai di Batu Anam, semua keresahan hilang dan timbul rasa lega kerana telah hampir dengan Buluh Kasap. Cuma lebih 40km saja untuk ke Labis.

Setelah melepasi pekan dan pelbagai persimpangan, aku mengekori sebuah lori treler. Di situlah bermulanya tragedi. Aku dari kedudukan belakang treler, berada di posisi kiri. Kemudian, melihatkan lorong sebelah kanan tidak mempunyai kenderaan, aku cuba memotong treler tersebut. Tanpa aku perasan, di hadapan aku ada sebuah motor yang hendak masuk simpang sebelah kanan begitu hampir dalam beberapa kaki sahaja. Aku mengelaknya dengan mengawal motor ke kanan. Tetapi tidak berjaya dan terus merempuh bahagian hadapan motor tersebut.

Ketika itu, aku dalam keadaan sedar dan ingat dengan suasana perlanggaran tersebut. Pada kedudukan sebelah kiri, badan aku hampir terjatuh di atas jalan raya. Tetapi aku masih mampu mengimbangkan badan sehinggalah aku membuat keputusan untuk melepaskan motor kerana semakin menghala ke arah longkang sebelah kanan. Oleh kerana lambat melepaskan motor, aku tercampak juga ke dalam longkang dan aku melihat motor juga selamat mendarat di tempat yang sama. Cuma dalam jarak beberapa kaki di hadapan.

Secara perlahan-lahan, aku cuba bangkit dan  mengensot keluar dari longkang. Aku tidak cuba berdiri kerana lutut sebelah kiri begitu sakit menyiksakan. Aku masih lagi mampu bertenang dan menarik nafas dalam-dalam serta bersyukur kerana belum menemui ajal. Kemudian, aku memegang di bahagian lutut kiri yang sakit. Aku dapat merasakan bahawa, tempurung lutut seperti tidak berada di tempatnya. Setelah menyinsing seluar, aku melihat lutut berlubang sebesar jari dan kelihatan berwarna putih di dalamnya. Jangkaan aku, tempurung lutut kiri ini telah hancur.

Aku melihat di sekeliling, ada empat orang lelaki dewasa sedang menghulurkan bantuan. Membukakan helmet dan memberikan aku air mineral. Mereka memesan supaya aku bertahan dan jangan terpejamkan mata atau tertidur. Sebenarnya, aku telah cuba. Tetapi, pandangan aku semakin gelap sedikit demi sedikit. Aku sempat bermimpi berada di rumah atuk dan menemui saudara-mara dalam suasana meriah. Tiba-tiba tersentak dari mimpi tersebut kerana ada yang menyapukan air ke muka. Situasi tersebut masih segar dalam ingatan.

Kemudian, ada seorang lelaki menawarkan kenderaan untuk membawa aku ke klinik kesihatan. Tidak berapa jauh dari tempat kejadian. Kaki berasa sakit menyucuk apabila tergerak secara tidak sengaja. Dua orang lelaki mengangkatkan aku ke dalam kereta secara perlahan-lahan. Setibanya di klinik, seorang petugas kesihatan memeriksa keadaan kaki dan membalut luka terbabit yang semakin mengalirkan banyak darah. Tangan kanan dicucuk jarum untuk memasukkan air. Ambulan juga telah bersiap sedia untuk membawa aku ke Hospital Segamat. Aku berbaring di atas stretcher dan kaki kiri dipasungkan supaya lutut tidak bergerak.

Sepanjang masa perjalanan menuju ke hospital, aku merasakan kesakitan semakin bertambah keras sehingga peluh membasahi badan. Jemari tangan berasa dingin dan mengerekot dengan tiba-tiba. Aku sendiri tidak pasti apa yang menyebabkan berlaku tindak balas tersebut. Aku termenung panjang mengenangkan apa yang telah berlaku. Smartphone aku retak pada permukaan skrin dan paparannya tidak menyala. Telefon boleh dipinjam, masalahnya aku tidak dapat mengingati nombor telefon emak dan abah.

Di wad kecemasan, aku menunggu hampir sejam. Mujurlah pesakit tidak ramai. Seorang doktor datang kepada aku dan mula menanyakan beberapa soalan. Tentang alamat tempat tinggal, arah tujuan dan punca kemalangan serta mempunyai insurans atau tidak. Dia meminta aku menunggu kerana perlu menguruskan pesakit lain. Datang pula seorang MA lalu aku diberikan suntikan penahan sakit yang dicucuk pada punggung. Aku sempat bertanya mengapa mesti dipunggung tetapi tidak di lengan sahaja. Jawabnya, dos yang diberikan agak tinggi dan lengan tidak mampu menampung penyerapan dengan lebih efektif untuk dos tersebut.

Kesakitan berkurang perlahan-lahan sehingga tidak terasa lagi. Doktor menghampiri dan menerangkan perkara yang perlu dilakukan sebelum aku dihantar ke wad 3. Aku meminta tolong dengannya supaya menghubungi keluarga aku yang masih belum mengetahui kejadian itu sejak kemalangan berlaku. Jam hampir pukul 8 malam ketika aku tiba di wad. Aku tidak mahu berfikir apa-apa lagi pada ketika itu dan bersandar di kepala katil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s