Malam Pertama Di Wad

Beberapa ketika kemudian, seorang doktor perempuan yang menjaga wad menghampiri katil aku. Tertera nama Farhana pada identiti pengenalan yang dipakai olehnya dan ketinggiannya mungkin separas dengan ketinggian aku. Dia juga bertanyakan soalan yang lebih kurang sama seperti doktor di wad kecemasan. Skema jawapan yang sama aku berikan. Dia memeriksa keadaan lutut yang cedera dan memicit dengan lembut. Namun, darah tetap mengalir dengan banyak.

Sedang aku bersandar di katil, emak, abah dan adik muncul di hadapan. Abah hanya menggelengkan kepala, dan emak pula mengaduh. Sempat juga aku dimarahi pada waktu itu, dan aku hanya tersenyum saja melihatkan suasana tersebut. Bermula dari kejadian itu berlaku, aku telah memutuskan untuk terima dengan berlapang dada terhadap musibah ini, kerana itu aku masih mampu tersenyum. Kalau tidak mahu terima, apalah daya yang boleh aku lakukan? Apakah aku patut menyalah dan memarahi Tuhan?

Ketika itu, aku teramat lapar kerana belum menerima sebarang makanan sejak dari pagi. Abah pergi membelikan beberapa bungkus roti dan air mineral. Setelah itu aku menceritakan bagaimana kemalangan itu berlaku mengikut kronologi. Apa yang mampu dikatakan selanjutnya, memang aku telah berhati-hati dengan sebaik mungkin. Tetapi, beginilah takdirnya. Apa lagi hendak di kata? Aku meminjam telefon adik buat sementara waktu.

Doktor Farhana datang semula dan memberitahu supaya lukaku dicuci dengan segera. Kalau perlu, luka di bahagian tumit mesti dijahit malam itu juga. Aku tidak berkata apa-apa lagi. Aku menukar seluar dengan kain hospital berwarna hijau sebelum cucian dimulakan. Sebuah besen besi yang besar diletakkan di bawah peha untuk menampung air cucian. Tiba-tiba terasa segan dengannya kerana aku menyingkap kain hingga ke pangkal peha. Pada masa yang sama, seorang lagi doktor perempuan kecil molek menghampiri sekadar untuk berbual.

Bukan suka-suka dia terpaksa memegang kaki aku. Sudah begitu kerjanya, aku pula tidak ada masa untuk memikir perkara diluar tajuk. Tetapi mengapa tidak jururawat lelaki yang melakukan? Masakan aku akan terfikir persoalan kritikal ketika itu. Luka di belakang tumit pula mengalami koyak sepanjang dua sentimeter dan perlu dijahit segera. Aku fikir seperti digigit semut sewaktu jarum ditusuk pada kulit. Rasanya seperti disengat oleh penyengat hitam dan membangkitkan rasa hendak terkucil. Memang seronok apabila kulit dijahit. Lebih kurang lapan kali jarum ditusuk.

Keluarga aku meminta untuk pulang setelah luka siap dirawat. Setengah jam mereka berada di situ. Tidak lama kemudian, Pak Ngah datang ketika jam hampir menunjukkan jarum 11 malam. Sebelum itu,  datang seorang doktor lelaki menerangkan prosedur yang akan dilakukan untuk membetulkan semula tempurung lutut yang pecah tersebut. Mungkin doktor dari wad pembedahan. Katanya, sejenis dawai halus akan diikatkan pada tempurung supaya berlaku proses cantuman.

Malam itu merupakan malam yang pertama aku tidur di wad. Aku mencari nombor telefon di dalam dropbox dan menghantar mesej kepada Yazid dan Fikri bagi menerangkan keadaan yang berlaku sebelum memejam mata. Lebih kurang jam 5 pagi, Dr. Farhana datang untuk mengambil darah. Ketika waktu begini pun beliau masih harum saat dia menunduk untuk menyucuk picagari bagi menyedut darah pada urat tangan kiri. Adakah dia baru lepas mandi, atau tidak tidur dari tadi. Aku tidak pula ringan mulut untuk bertanya.

Pagi tersebut, seorang doktor pakar dan beberapa doktor lain melakukan lawatan. Aku telah berpuasa sejak 4 pagi tadi, kerana pembedahan akan dijalankan sebentar lagi. Doktor pakar itu menerangkan rawatan dan tempoh yang diperlukan untuk tulang bercantum. Aku hanya mengangguk tanda faham. Sebelum itu, aku disuruh menandatangan sejenis borang sebagai persetujuan melakukan pembedahan.

Katil aku terletak di sudut, manakala di sebelah kiri aku ada seorang India yang mengalami kepatahan tulang tangan kanan. Tidak banyak perkara yang dibualkan. Dia meminta tolong aku untuk memasukkan kredit pascabayar bagi telefonnya. Sebelah kirinya ada seorang remaja Tingkatan 2 yang patah tangan kanan. Di hadapan aku, seorang Pakcik berbangsa cina yang berbungkus simen pada badan, mungkin rusuknya patah. Sebelah kiri hadapan aku, ada seorang remaja 20-an yang patah tulang kering dan dipasangkan kerangka besi yang besar seberat 7kg. Paling kiri, dari hadapan aku ada seorang Pakcik berbangsa India yang patah tulang pergelangan kaki. Begitulah keadaan pesakit di wad.

Dua orang jururawat wanita datang memberitahu masa untuk pembedahan telah tiba. Waktu itu hampir 12 tengah hari. Mereka menyuruh aku menggantikan pakaian untuk masuk ke bilik pembedahan, berwarna putih dan kepala disarung dengan serkup plastik. Kemudian, aku perlu menjawab soalan yang bakal ditanya oleh pakar bedah sebagai prosedur kebiasaan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang memungkinkan berlakunya kesilapan. Seterusnya, aku diusung ke bilik bedah.

Sekali lagi, persediaan dilakukan, dokumen dipastikan betul, dan ditanyakan soalan. Pakar bius mula menerangkan prosedur pembiusan. Aku diberikan bius melalui tulang belakang hanya dari pinggang ke bawah. Kata mereka, begitulah ibu yang akan bersalin diberikan epidural. Terasa jarum halus dicucuk pada belakang badan seperti digigit semut halus. Kemudian, setelah beberapa minit berlalu, aku mengalami kebas sehingga tidak terasa apa-apa apabila dicucuk jarum.

Bemula jam 12.15, pembedahan dijalankan. Suhu bilik seperti peti ais. Bahagian atas badan diselubungkan selimut dan dipasangkan alat pemanas kerana sejuknya membuatkan aku menggigil. Pembantu jurubedah menyuruh aku tidur tetapi aku tidak mengantuk. Malah aku tidak dibenarkan melihat proses pembedahan dijalankan kerana SOPnya begitu. Pandangan aku hanya tertumpu ke arah lampu bedah dan bahagian sisi sahaja. Sesekali aku melihat jam di sebelah kanan. Pakar bedah melakukan kerjanya dengan fokus tetapi masih santai kerana sempat menyanyikan lagu dari radio yang terpasang. Suasana kerja kelihatan kurang tekanan, pasukan bedah melakukannya dengan tenang.

Pembedahan siap dijalankan dalam durasi lebih dari sejam. Aku melihat jam hampir pukul 2 petang. Kemudian, aku dibawa keluar dari bilik bedah, dan ditempatkan di ruang pemantauan. Aku tidak pasti apa yang dipantau. Mungkin menunggu kesan bius kurang sedikit sebelum dibawa pulang. Tepat pukul 3 petang aku sampai di wad. Terdapat mesej emak mengatakan Pak Ngah Gemas datang melawat aku sebentar tadi. Tetapi aku tiada di wad. Aku menikmati kopi o sebagai minum petang. Kata doktor, kemungkinan aku akan mengalami kesan sampingan dari bius seperti muntah-muntah. Sepertinya, aku tidak mengalami kesan tersebut dan berselera makan seperti biasa.

Petang itu, Pak Andak sekeluarga yang pertama sekali melawat, tetapi tidak lama. Kemudian, Pak Long, Mak Long dan Zahra datang, dan membawakan sepasang topang dan bekalan makanan. Tidak lama kemudian Pak Lurah a.k.a. Imam Din dan Makcik Rubiah datang melawat. Banyak perkara yang dibualkan serta dihulurkan sumbangan. Kemudian, aku terlihat Yazid dan Naim terpacul di kaunter pertanyaan. Aku meminta dia membawakan buku untuk menghilangkan bosan. Kitab Tamadun Melayu dan Tamadun Islam terbitan The Patriot dibawakan kepada aku. Nampak gaya, aku belajar sejarah sepanjang berada di wad.

Aku menyedari kesan bius semakin menyusut dan hilang setelah pukul 6 petang. Tetapi, timbul masalah baru. Bekas pembedahan tengah hari tadi begitu bisa dan menyakitkan sehingga aku bermandi peluh. Sakitnya bukan kepalang dan aku tidak dapat berfikir dengan waras. Pak Long menceritakan tentang pengalamannya sepanjang menjadi MA dahulu kepada kami bertiga. Zahra seperti biasa tidak begitu tertarik untuk mengetahui suasana yang berlangsung.

Aku cuba meminta jururawat sebarang ubat penahan sakit. Tapi, tidak diberikan kerana penahan sakit tersebut perlu diberi mengikut jadual dan secara berkala. Aku perlu menunggu sehingga pukul 8 malam dan terpaksa menanggung azab. Entah bagaimana agaknya kesakitan azab yang sebenar. Sepanjang hari itu, aku tidak melihat kelibat Dr. Farhana di wad. Manalah tahu, kehadirannya dapat melegakan sedikit kesakitan. Kini, barulah aku faham mengapa ramai yang takut melakukan pembedahan. Siksa untuk menanggung kesan selepas pembedahan. Begitu juga, kaum ibu yang bersalin, mereka semua wanita yang kuat kerana sanggup mengharungi kesakitan bersalin dan tidak pernah serik untuk mengandung.

Malam itu aku mengharungi pancaroba kesakitan yang dahsyat. Walaupun jururawat telah menyuntik penahan sakit. Efeknya seakan tidak begitu terasa. Patutlah ada yang mengalirkan air mata. Budak dihadapan aku hanya tersengih melihat keadaan aku yang tidak keruan sambil mengangkat jempolnya kepada aku. Baju hijau hospital basah lencun kerana berpeluh. Aku susah tidur pada malam itu bukan kerana anjing gong gong seperti bait puisi Chairil Anwar. Pukul 4 pagi, kesakitan telah berkurangan. Setelah itu, barulah boleh tidur.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s