Hari Seterusnya Di Wad

Pagi hari ketiga, aku dikejutkan oleh jururawat untuk menyuntik ubat penahan sakit setelah melepasi pergelutan semalam. Dia bertanyakan aku adakah demam atau tidak dan bagaimana tahap rasa sakit. Kalau hendak diikutkan, memang sukar untuk melelapkan mata. Disebabkan terlalu mengantuk, tertidur juga dalam keadaan sakit. Selepas itu, aku terus berjaga kerana wad diterangi cahaya lampu.

Kemudian, datang jururawat yang lain untuk menukar cadar dan sarung bantal. Aku diberi sepersalinan pakaian baru. Setelah itu, petugas kantin hospital menghantarkan sarapan pagi. Mee goreng dan segelas air kopi. Kalaulah boleh tambah, sebab mee gorengnya sedap. Kelihatannya semua orang menikmati sarapan pagi itu.

Waktu baru pukul 8, dalam masa dua jam lagi mungkin para doktor melakukan lawatan. Aku terpaksa tahan mengantuk untuk mendengar keterangan doktor. Sementara itu, aku memulakan pembacaan Kitab Tamadun Melayu yang dikurniakan oleh Yazid, setebal 300 lebih muka surat.

Seorang doktor perempuan muda yang aku terlupa namanya serta berwajah manis, memeriksa filem x-ray yang terletak di atas meja. Dia bertanyakan keadaan aku, dan meleraikan kain pembalut luka untuk melihat jahitan. Kemudian, barulah doktor pakar dan houseman yang lain membuat rombongan ke setiap katil untuk melihat laporan. Selepas itu, luka jahitan dicuci oleh jururawat praktikal sambil diperhatikan oleh cikgu jururawat tersebut. Mungkin mereka menghadapi ujian praktikal pada hari itu.

Selepas mereka semua beredar dari wad, barulah aku dapat meluangkan masa untuk diri sendiri dengan membaca buku sehingga mengantuk dan sambung tidur. Lebih kurang pukul 1.30 petang, makan tengah hari telah ada di atas meja. Perut yang lapar sudah tidak peduli sama ada lauk tersebut tawar atau kurang sedap. Pakcik Alias, dan beberapa kakitangan Risda yang lain datang melawat. Lupa pula namanya, kalau tidak salah namanya Rozaimi, yang sedang menunggu ketibaan masa isterinya melahirkan anak sulung.

Petang itu aku menyambung tidur. Wad kelas 3 sememangnya bahang pada sebelah petang. Apabila sampai waktu lawatan, keluarga aku datang. Anak ayah angkat kepada abah dari Kg. Melayu Raya turut hadir. Aku melayankan saja topik yang dibualkan sambil menikmati makan petang. Tiada lagi makan malam selepas itu. Jiran depan rumah, Pakcik Ali dan Makcik Rokiah ada datang melawat sebelum itu.

Rutin berada di wad, apabila tiba waktu yang dijadualkan, jururawat menyuntik ubat, memberi pil, atau memeriksa tekanan darah. Aku tidak bergerak ke mana-mana selain berada di katil. Mereka tidak membenarkan aku berjalan-jalan melainkan dengan berkerusi roda. Pernah juga aku cuba berdiri, namun terasa bisa dan berat kerana berbalut dengan simen separuh. Bukan simen yang bertutup penuh kerana terdapat luka jahitan yang perlu dicuci. Boleh ditanggalkan dengan meleraikan ikatan bandage.

Masa terasa amat panjang walau pun aku mengisinya dengan aktiviti membaca dan bermain telefon. Petang susah untuk tidur kerana wad agak panas. Adakalanya aku berbual dengan pesakit lain. Harapan aku agak tidak menginap lebih lama. Mujurlah hari kelima aku dibenarkan keluar wad. Sudah beberapa hari aku tidak mandi, hanya mengelap badan sahaja. Pada aku, duduk di hospital tidak begitu menyelesakan. Mungkin sebab wad kelas tiga, kalau wad kelas satu dapatlah sedikit suasana seperti di rumah sendiri.

Hari keempat sama sahaja keadaannya. Perbezaannya cuma pelawat yang datang. Hari itu Pak Ngah Bidin yang menetap di Gemas bersama isterinya, datang semula melawat aku, kerana kelmarin aku di dalam bilik bedah. Katanya, pabila sembuh nanti dapatlah kiranya aku berazam untuk keluar tabligh. Selain itu dia memberikan pesanan agama dan nasihat. 13 Januari lepas, anak sulungnya meninggal dunia akibat kemalangan motosikal sedang aku pula masih diberi kesempatan hidup setelah dua kali kemalangan.

Setelah doktor selesai memantau pesakit, aku melihat ada sekumpulan individu yang berlegar di dalam wad dengan pakaian ala doktor. Seramai 6 orang dan bergerak berdua-duaan. Mereka datang kepada aku, lalu meminta diluangkan masa untuk menemubual. Sememangnya aku punyai banyak masa. Mereka dari universiti perubatan swasta di Kuala Lumpur, datang membuat tugasan untuk subjek jurusan mereka. Lama juga berbual dengan mereka disamping bertanyakan pelbagai soalan berkaitan.

Hari kelima merupakan hari terakhir aku berada di wad. Pada pagi itu, doktor pakar membuat lawatan. Dia memberitahu bahawa aku sudah boleh pulang. Dengan segera aku mesej kepada abah supaya mengambil pulang. Abah datang menjemput pada sebelah petang. Aku diberitahu supaya membuka jahitan selepas dua minggu di klinik kesihatan desa. Kemudian perlu hadir ke hospital pada 21 Jun untuk pemeriksaan susulan, dan seterusnya melakukan fisioterapi. Hari itu, aku langsung tidak melihat kelibat Dr. Farhana dari pagi hinggalah waktu aku keluar wad. Bukan kerana rindu, cuma hendak mengucap terima kasih. Umurnya, mungkin dalam lingkungan 20-an, dan mungkin juga muda daripada aku.

Leganya hati ini kerana dibenarkan pulang. Syukur kepada Tuhan. Sebenarnya, apabila difikirkan semula hajat untuk pulang ke Labis cuma seketika. Oleh kerana kemalangan ini telah berlaku, tidak disangka pula aku pulang ke kampung untuk jangka waktu yang lama. Kepulangan ini telah memberikan aku kesempatan untuk meluangkan masa dengan keluarga dan menyambut Ramadhan bersama-sama. Juga bertemu dengan rakan-rakan yang kerap bertanyakan mengapa begitu lama tidak balik kampung. Begitulah hikmah dari Tuhan yang baru sedikit ditemukan, dan aku percaya terdapat banyak lagi hikmah lain yang belum terungkap.

Semoga Tuhan akan membalas budi baik mereka semua yang telah menolong aku secara langsung atau tidak langsung. Semoga Tuhan memberi kesembuhan terhadap kecederaan ini serta mengurniakan kesabaran serta ketabahan di dalam menghadapi cubaan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s