Raya Aidilfitri 2016

Tahun ini merupakan raya yang paling hambar sekali dalam sepanjang hidup aku. Bukan semata-mata disebabkan kemalangan yang berlaku kelmarin, tetapi pengisiannya. Ramadhan kali ini, aku tidak berpeluang untuk berpuasa penuh. Dua hari aku terpaksa berbuka puasa kerana kesihatan yang tidak mengizinkan.

Ramadhan kedua, aku telah mengalami demam yang luar biasa. Aku tidak pasti sama ada terdapat hubung kait dengan kesan-kesan selepas kemalangan atau pun tidak. Biasanya bila demam suhu badan panas, tapi panas tidak seberapa cuma seram sejuk sampai jari-jemari terasa amat kebas dan mengerekot. Tambah pula selesema dan batuk berkahak. Aku cuba bertahan sehingga waktu berbuka, namun terpaksa berbuka pukul 5 petang.

Kali kedua sewaktu pertengahan puasa. Aku tidur sekitar pukul 10 pagi. Tiba-tiba terjaga jam 12 tengah hari disertai sakit perut yang keras sehingga bergulung. Aku tak pernah hidap gastrik dan bersahur dengan secukupnya. Tidak pasti punca yang sebenarnya apa. Berpeluh-peluh aku menahan sakit. Pukul 3 petang aku menelan panadol, kemudian kesakitan beransur hilang.

1 Syawal jatuh pada hari Rabu bersamaan 6 Julai 2016. Penghujung ramadhan, emak mula membuat biskut cornflakes dan kek bahulu. Pada kali ini, kuih raya dibeli sedikit sahaja kerana seminggu beraya di Buluh Kasap. Kemudian, terdapat banyak undangan marhaban bagi kejiranan di Kg. Paya Merah, Labis. Statistik pengunjung yang kurang ketika raya tahun lepas juga menjadi penentu untuk pembelian kuih raya.

Ahad, 3hb. Julai, Pokteh datang menjemput aku dan adik bongsu balik ke rumah atuk. Kemudian, Maksu Zana dari PD tiba pada lewat petang. Sementara itu, keluarga aku yang lain bergerak selepas solat tarawih. Sekitar pukul 8 malam, Angah pula sampai dari Rawang. Begitulah cerita tentang kepulangan saudara-mara di ambang perayaan. Seumur hidup aku, menjadi suatu kelaziman tiap-tiap tahun menyambut raya di sini selama beberapa hari.

Tiada pembelian pakaian baru pada kali ini dan aku tidak rasa hendak ke mana-mana selain melepak di rumah. Aku hanya membeli 6 naskah buku dari Ilhambooks pada 29 Jun lepas dengan harga promosi. Simen kaki pula telah dilucutkan pada 21 Jun lalu. Apa yang penting adalah, dapat berkumpul dengan seluruh keluarga.

Keterujaan dan keseronokan sebenar untuk menyambut hari raya lebih dirasakan ketika zaman kanak-kanak suatu masa dahulu. Pada saat ini, aku lebih terpesona dengan keindahan bulan Ramadhan. Manakala, hari raya pula ibarat membuka lembaran baru dalam mengukuhkan hubungan persaudaraan. Bukan tidak gembira, cuma manifestasi kegembiraan Aidilfitri mengalami transisi yang berbeza tatkala aku telah menjadi dewasa.

Begitu pun, apabila umur semakin meningkat, hari raya telah menimbulkan perasaan syahdu kerana merindukan mereka yang telah meninggal dunia. Seorang demi seorang baik ahli keluarga mahu pun rakan-rakan. Kenangan masih segar diingatan sewaktu mereka masih ada untuk menyambut perayaan bersama-sama. Buat mereka yang telah pergi, hanya doa yang dapat dikirimkan berserta ingatan tulus ikhlas.

Bukanlah bermakna tiada kegembiraan lagi untuk menyambut Aidilfitri. Buat kita yang pernah dan selalu merasai kenikmatan Syawal, teruskanlah mewujudkan kemeriahan dan kemuliaan perayaan tersebut kepada insan yang lain pula. Terutamanya kanak-kanak dan golongan yang memerlukan, insan yang kurang bernasib baik dengan cara berkongsi kelebihan yang ada terhadap mereka. Barulah Aidilfitri dapat disambut dengan lebih bermakna.

Berpuasa di bulan Ramadhan bukan sekadar menunaikan tuntutan ibadah. Tetapi menjadikan kita bersyukur dengan nikmat rezeki. Malah, dapat menyelami perasaan golongan miskin dan serba daif yang kekurangan sumber makanan dan harta benda. Terdapat semacam suasana yang sungguh berbeza, yang tidak didapati di bulan yang lain. Perasaan itu yang membuatkan aku bernostalgia apabila Ramadhan berakhir. Cuma, kadang-kadang kita terlupa untuk meneruskan kebaikan yang dilakukan pada bulan tersebut.

Raya kali ini, aku hanya berehat di rumah atuk dan meluangkan masa dengan keluarga. Berbicara dan berkongsi cerita tentang pelbagai perkara, melakukan aktiviti bersama-sama seperti mengemas rumah, memasak dan sebagainya. Cuma, aku kekurangan peranan dan lebih banyak duduk diam kerana kaki masih tidak kuat untuk berjalan. Tentang juadah berbuka, aku tidak terlalu memikirkan dan makan saja apa yang terhidang.

Subuh hari raya pertama, aku hanya menyaksikan saudara-mara dan adik sepupu yang ghairah untuk mempersiapkan diri dengan pakaian baru sebelum mereka semua berjalan kaki ke masjid. Kemudian, setelah mereka pulang, secara beramai-ramai menikmati juadah hari raya seperti nasi himpit, rendang daging, kari daging, ayam masak merah, dan kuah kacang. Emak saudara yang tinggal berdekatan pula membawakan juadah dari rumah masing-masing.

Selesai menjamu selera, semua berkumpul untuk sesi bergambar sesama keluarga dan bermaaf-maafan. Biasanya, hari raya pertama hanya berehat di rumah atau menonton tv setelah mengharungi sehari sebelum raya yang memenatkan, terutamanya pasukan memasak. Konvoi ziarah raya ke rumah saudara-mara bermula pada raya kedua. Begitulah agenda setiap tahun, kecuali untuk kali ini aku, Angah, Poksu, Pokteh dan Atuk saja yang berada di rumah.

Destinasi wajib ziarah adalah rumah saudara-mara di Kg. Kuing Patah dan Kg. Kuala Paya di Buluh Kasap, Kg. Paya Lang di Batu Anam, Kg. Kadut, Simpang Jabi, Felda Redong, Felda Chempelak dan Felda Tenang di Labis. Ramai saudara-mara terdekat emak dan abah, menetap di daerah Segamat dari Batu Anam hingga ke Labis. Kalau hendak diperhitungkan sampai ke peringkat bau-bau bacang memang tidak terkira, sama ada kenal atau tidak sahaja. Segamat-Labis-Buluh Kasap sudah seperti leluhur aku yang punya. Konvoi berakhir pada raya keempat kerana raya kelima adalah masa untuk pulang ke sarang masing-masing.

Begitulah agenda kebiasaan pada setiap tahun. Cuma, suasana saja yang berubah kerana seorang demi seorang kaum tua iaitu atuk dan nenek saudara telah meninggal dunia. Rumah atuk juga kembali sunyi disebabkan hanya Pokteh dan Atuk saja yang menetap di sana. Seawal bulan puasa tahun lepas, Pak Lang meninggal dunia ketika aku baru tiba di rumah atuk. Allahyarham bernama Abdul Halim bin Mohamed (1950 – 2015).

Raya kali ini juga tidak ramai yang datang ke rumah, mungkin atas faktor cuti yang singkat dan masing-masing telah mempunyai komitmen yang banyak. Tak ramai kawan-kawan aku yang datang, hanya Yazid, Naim, Anwar dan Sharil. Rumah mahaguru-mahaguru aku sewaktu Tingkatan 6 juga tidak berkesempatan untuk dikunjungi apatah lagi rumah para sahabat. Di kejiranan Kg. Paya Merah pula, terdapat siri marhaban serta ziarah raya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s