Merdeka

Tarikh hari ini merupakan detik bersejarah di negara ini. Malaya memperolehi nikmat kebebasan dari cengkaman penjajah pada 31 Ogos 1957. Kini, di sebuah negara yang bernama Malaysia, kita menyambut kemerdekaan buat kali ke-59.

Terima kasih Tuhan kerana mengurniakan keamanan. Aku bersyukur tanah air tempat aku menjalani kehidupan ini, sejahtera dari pergolakan peperangan. Semoga Allah memelihara Malaysia agar dipanjangkan suasana aman damai.

Terima kasih kepada para pejuang yang telah berkorban bermati-matian bagi menentang penjajah – Tok Janggut, Mat Kilau, Dato Bahaman, dan para soldadu yang berkorban harta, kudrat dan nyawa.

Terima kasih kepada pihak yang berunding dengan penjajah untuk menuntut kemerdekaan – Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lok, Tun V.T. Sambathan dan semua yang terlibat menuntut kemerdekaan.

Terima kasih kepada pejuang aliran kiri kerana mencetus idea pembebasan tanah air. Serta berjuang untuk menolak penjajah tidak kira di pihak mana sekali pun – Dr. Burhanudin, Ahmad Bustamam, Pak Sako dan ramai lagi. Tidak lupa kepada Mat Indera, Rosli Dhobi.

Terima kasih kepada pasukan keselamatan negara di atas jasa mengawal dan menghapuskan saki baki komunis. Tak lupa juga kepada datuk aku sendiri, Allahyarham Amran Ahmad, yang meninggal di Sarawak sewaktu konfrontasi Indonesia pada tahun 1971. Terima kasih kepada semua yang mempertahankan tanah air dengan pelbagai cara tersendiri.

Aku tidak bercadang untuk menuliskan peristiwa kemerdekaan negara ini lebih mendalam kerana itu telah dipelajari sehingga tingkatan 6. Sejarah adalah perkara yang penting untuk dipelajari dan diambil ibrah dari peristiwa yang telah berlaku. Aku turut berminat dengan sejarah tanah air ini, seawal bangsa melayu dikenali sejak berpuluh abad dahulu. Sehingga membuat bacaan tambahan mengenai sejarah melalui internet dan pembelian buku-buku sejarah.

Tetapi, aku mula menyedari sesuatu. Semakin meningkat usia kemerdekaan, suasana sambutan agak hambar. Banyak persoalan yang bermain di fikiran, spekulasi dan tanggapan. Dulu, sewaktu aku masih kanak-kanak, pemandangan di mana-mana penuh dengan bendera Malaysia. Ada yang memasang di kenderaan, ada di kawasan rumah masing-masing. Sekarang, tidak seperti itu. Bendera bukanlah terlalu mahal meski pun dikenakan GST.

Apakah rakyat sudah kurang patriotik dan cintakan negara ini? Atau ada sebab lain. Jika aku hendak membuat spekulasi sendiri, mungkin ada perkaitannya dengan politik. Suasana politik Malaysia agak haru biru dengan perbezaan pendapat sehingga perkara yang kecil menjadi perbalahan. Kemudian, dengan sikap golongan pemerintahnya, membuatkan rakyat tidak bersemangat dengan sambutan. Ini cuma pendapat peribadi yang kurang berasas. Jadi tidak perlu menjadi sebab untuk menganggap sebagai fakta.

Mengapa aku menganggap begitu? Setiap kali sambutan, sudah tentu kepala negara ini akan terlibat dalam memberi perutusan merdeka. Aku terus terang sahaja di sini. Apakah tidak mungkin rasa menyampah itu akan terbit di hati bila mana melihat seorang Perdana Menteri yang terlibat skandal memalukan negara, memberi ucapan tentang nilai kemerdekaan? Kita sudah merdeka dari penjajah, itu benar. Sayangnya, banyak lagi yang terjajah seperti amalan rasuah dan penyelewengan. Tambahan pula, pelakunya dilindungi dari sebarang dakwaan. Merdeka apakah jika hal ini terus dibiarkan?

Apa yang dikecapi suatu masa dulu, sepatutnya telah melonjakkan perubahan yang berganda untuk negara ini. Kelak nanti wawasan 2020 lebih gah berbanding slogan. Malangnya tidak berlaku. Keadaan ekonomi negara nampak baik seperti yang dikhayalkan tetapi rakyatnya tersepit dan tertekan. Kos hidup terutamanya. Lalu, mendorong rakyat bekerja lebih kuat, sehingga terpaksa mengesampingkan perkara lain. Sesetengah keluarga tepaksa bekerja lebih masa. Anak-anak terabai – gejala sosial meningkat. Masalah kerosakan akhlak dan kemerosotan modal insan semakin ketara. Nampaknya banyak lagi hal yang masih belum merdeka.

Kita telah melalui fasa keperitan sewaktu zaman penjajahan. Dijajah, kemudian selepas merdeka, rakyat masih susah. Malaysia telah mengatasi semua masalah tersebut sejak Perdana Menteri pertama sehingga ketiga. Kemudian pula, mengalami krisis kewangan sewaktu zaman PM keempat, namun berjaya keluar dan terus membangun lagi. PM kelima pula memelihara puncak kegemilangan yang sedia ada. Datang saja PM keenam, keadaan ekonomi negara dan rakyat mula terhimpit sekali lagi. Faktor luaran dijadikan alasan, mengapa tidak cuba melihat faktor dalaman.

Bila dilihat dari segi prestasi, ternyata pengurusan kerajaan dacing pimpinan yang keenam ini telah menyebabkan beberapa kelemahan yang telah merosotkan pencapaian negara. Aku boleh terima jika barisan kepimpinan dacing dan keris ini mempunyai kelemahan. Tetapi kelemahan tidak lagi dianggap sebagai kelemahan, apabila pemimpin mula korup dan menyeleweng. Kelemahan telah bertukar kedudukannya menjadi bangsat. Merdeka yang bagaimana jika penjajahan oleh rasuah semakin berleluasa?

Apabila kekuasaan dacing dan keris seakan mula tergugat, sentimen kaum dihembuskan oleh mereka yang kononnya menjadi pembela bangsa majoriti di negara ini. Aku selalu mendengar bila ada pendapat mengatakan jangan selalu menyalahkan orang lain. Tetapi muhasabah kekurangan diri sendiri. Maka, mengapa kita bangsa yang majoriti menggunakan sikap perkauman terhadap bangsa lain yang turut hidup bersama kita. Tetapi tidak mahu bermuhasabah diri bangsa kita sendiri. Tibanya merdeka, perpaduan dilaungkan. Tibanya pilihanraya, perkauman dimainkan.

Lalu, perasaan untuk menyambutnya tidak seghairah dulu. Aku teringat zaman kanak-kanak. Bulan merdeka meriah kerana Malaysia berada di puncak kegemilangannya pada waktu itu. Ketika zaman PM keempat. Rakyat bukan setakat berbangga dengan pencapaian negara. Malah, rakyat berbangga dengan prestasi barisan kepimpinan. Tibanya bulan merdeka, kita semua bertambah teruja. Aku bukan pemuja bekas PM keempat. Tetapi aku juga mempunyai pertimbangan sendiri untuk mengatakan pendapat ini. Aku tidak memerlukan persetujuan sesiapa.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s