Kenduri Aqiqah

​Bertambah lagi seorang cicit atuk pada tahun ini iaitu pada 26 Ogos yang lalu. Perkhabaran itu disampaikan oleh Mak Long di dalam group ‘what’s app’ keluarga. Cucunya yang ketiga, dan zuriat yang kedua buat sepupu. Kelahiran disambut kira-kira pukul 5 petang di Hospital Segamat. Bayi lelaki di dalam kondisi yang sejahtera seberat 3.9kg. Susulan dari berita gembira tersebut, kenduri aqiqah diadakan selepas tujuh hari kelahiran, pada hari khamis, 1 September 2016.

Maka bertolaklah aku sekeluarga pada sebelah petang hari tersebut. Sebelumnya, emak membuat kuih sebagai juadah tambahan untuk kenduri malam nanti. Mengenai aqiqah, semua itu telah diuruskan oleh keluarga sepupu aku sendiri. Dua ekor kambing untuk anak lelaki. Jamuan diadakan sebelah malam selepas Isyak. Kebetulan juga hari itu hari khamis, di mana kebiasaannya ada bacaan surah yasin, jadi majlis tersebut langsung dibuat di rumah mak cik selepas mahgrib.

Disebabkan hari Jumaat dan Sabtu cuti, kami sekeluarga bermalam selama dua hari di kampung. Sesampai saja di sana, perlu mengemas rumah terlebih dahulu sebelum ke kenduri. Rumah atas dan ruang tamu tidak ada lagi yang mengemas setiap hari setelah Atuk dan Pokteh sahaja yang berada di rumah ini. Lantai terlalu berhabuk, adik beradik yang lain menyapu dan aku melakukan tugasan mengemop. Usai membersihkan rumah dan bersolat maghrib, barulah ke rumah Mak Long.

Ketika sampai, bacaan yasin telah tiba di beberapa muka surat akhir. Kemudian bertahlil dan doa selamat. Ramai jemaah dari surau Kampung Kadut yang hadir, begitu juga saudara mara yang lain. Suami kepada sepupu aku, sempat bertanya tentang aturcara majlis di sini. Aku sendiri tidak dapat memberikan ulasan yang tepat tentang adat kebiasaan. Dia berasal dari Kelantan, dan tidak ada majlis berzanji sewaktu kenduri aqiqah di sana. Terus diadakan majlis cukur jambul dan jamuan makan. Aku sendiri kurang tahu tentang tradisi berzanji ini, meski pun berasal dari Johor. Nampaknya banyak perkara yang tertinggal.

Cukur kepala bayi diadakan selepas Isyak dan diadakan majlis berzanji terlebih dahulu. Kemudian di pertengahan acaranya, barulah dilakukan bercukur dan menyapu manisan pada lelangit bayi tersebut. Serentak itu, semua jemaah berselawat dan marhaban. Penutup majlis disambung sekali lagi dengan berzanji. Aku melihat jam, masih lagi belum pukul 10 malam. Segalanya berjalan lancar dan durasi majlis tidak begitu panjang sebelum tetamu dipersilakan menjamu selera.

Dua ekor kambing yang disembelih bagi tujuan aqiqah, dimasak oleh pihak katering. Empat jenis lauk disediakan untuk nasi hujan panas. Kari kambing, ayam masak merah, sambal jawa dan acar buah nenas, dan aneka kuih muih. Minuman laici ais dan teh panas. Tetamu yang hadir agak ramai pada malam itu. Kenduri bukan sekadar menjamu selera tetapi inilah masanya bertegur sapa dan bersilaturahmi. Majlis berakhir kira-kira pukul 11 malam. Setelah tetamu pulang, kami secara bergotong-royong membereskan kerja mengemas.

Beberapa perkara tentang aqiqah yang aku terlepas pandang adalah tentang syarat dan tujuannya. Justeru, aku mengulangkaji dengan maklumat yang didapati dari internet.

PENGERTIAN ‘AQIQAH

‘Aqiqah ialah sembelihan binatang an‘am yang dilakukan kerana menyambut kanak-kanak yang baru dilahirkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah subhanahu wata‘ala. 


HUKUM MELAKUKAN ‘AQIQAH

Hukum melakukan ‘aqiqah ialah sunnah mu’akkadah bagi orang yang menanggung sara hidup kanak-kanak tersebut. Jika anak itu lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala jika anak itu perempuan disunatkan menyembelih seekor kambing. Binatang seperti lembu, kerbau atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian.

WAKTU PELAKSANAAN ‘AQIQAH

Waktu melakukan ‘aqiqah adalah dari hari kelahiran kanak-kanak itu sehinggalah ia baligh. Masa yang paling afdhal untuk melakukan ‘aqiqah adalah pada hari ketujuh kelahiran kanak-kanak tersebut. 

Sabda Rasullullah sallallahu ‘alayhi wasallam:

كُلُّ غُلاَمٍ رَهِيْنَةٌ بِعَقِيْقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ , وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى .

Maksudnya: 

“Setiap bayi itu tergadai dengan ‘aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya dan diberi nama.”

(Riwayat Abu Daud)
SYARAT ‘AQIQAH

  1.  Berniat ‘aqiqah ketika menyembelih.
  2. Hendaklah binatang tersebut tidak ada cacat yang boleh mengurangkan dagingnya serta sampai umur. 


PERKARA SUNAT SEMASA ‘AQIQAH

1. Berdoa semasa hendak menyembelih: 

 بِسْمِ اللهِ ، اَللهُ أَكْبَرُ ، اَللَّهُمَّ هَذَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ عَقِيْقَةٌ … (sebut nama anak)

Maksudnya: 

“Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ya Allah, binatang ini daripada-Mu dan kembali kepada-Mu, ini ‘aqiqah…”.

2. Menyembelih ketika matahari sedang naik.

3. Daging ‘aqiqah dimasak terlebih dahulu sebelum disedekahkan. 

4. Tidak mematah-matahkan tulang-tulang daripada binatang ‘aqiqah, hanya mencerai-ceraikan sendi-sendinya. 

5. Menyedekahkan daging ‘aqiqah kepada fakir miskin. 

6. Memasak daging ‘aqiqah dengan cara gulai manis untuk dihidangkan kepada tetamu. 


PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN KETIKA MENYAMBUT KELAHIRAN ANAK

  1. Mengazankan di telinga sebelah kanan anak yang baru lahir. 
  2. Membaca iqamah di telinga sebelah kirinya. 
  3. Membaca doa di kedua-dua belah telinganya, contohnya membaca surah Al-Ikhlas.  
  4. Menyapu lelangit kanak-kanak tersebut dengan benda-benda yang manis seperti buah tamar atau pisang. 
  5. Menamakan kanak-kanak tersebut dengan nama-nama yang baik pada hari ketujuh kelahirannya.  
  6. Mengadakan jamuan dan doa kesyukuran sempena kelahirannya. 
  7. Mencukur rambut kanak-kanak tersebut selepas menyembelih ‘aqiqah untuknya. 
  8. Memberi sedekah emas atau perak seberat rambut kanak-kanak yang dicukur itu atau wang yang sama nilai dengan emas atau perak tersebut. 
  9. Menyedekahkan daging ‘aqiqah kepada fakir miskin.

HIKMAH ‘AQIQAH

‘Aqiqah mengandungi beberapa hikmah, antaranya:

  1. Sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana telah mengurniakan anak.
  2. Untuk mengisytiharkan kepada masyarakat umum tentang anugerah yang dikurniakan oleh Allah.
  3. Untuk memulakan kehidupan anak dengan perkara-perkara kebaikan.
  4. Mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli masyarakat dengan keluarga yang dikurniakan anak.
  5. Melahirkan rasa kegembiraan kerana mendapat zuriat yang menepati sunnah Rasulullah.

PERBEZAAN ANTARA ‘AQIQAH DAN QURBAN.

Terdapat beberapa perbezaan antara ‘aqiqah dengan qurban: 

  1. ‘Aqiqah tidak terikat pada masa tertentu, sedangkan qurban dilakukan pada masa-masa tertentu, iaitu selepas sembahyang dan khutbah Hari Raya ‘Aidil Adha hingga 13 Zulhijjah. 
  2. Daging ‘aqiqah boleh diberi milik kepada orang kaya manakala daging qurban hanya boleh diberi kepada fakir miskin. 
  3. ‘Aqiqah dilakukan sempena menyambut kelahiran anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, manakala qurban dilakukan kerana memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Isma‘il. 
  4. Daging qurban sunat disedekahkan secara mentah, sedangkan daging ‘aqiqah sunat disedekahkan setelah dimasak.

Sumber

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s