Tentang Kekecewaan

​Kalau ditanya tentang kekecewaan, agaknya yang mana satu lebih terkesan dengan kehidupan ini. Membicarakan tentang rasa kecewa, bukan kerana berputus asa, atau tidak mahu berharap lagi. Bukan juga tidak menerima ketentuan ilahi. Aku cuba melihat perspektif kekecewaan diri sendiri dengan sudut pandang yang berbeza. Mungkin ini cara aku bermuhasabah dan mengakui kelemahan diri, sebelum bangkit semula dan mengatur langkah baru.

26 tahun masa telah meninggalkan aku. Di kala orang lain sudah jauh ke depan dengan pelbagai bentuk pencapaian dan kejayaan. Aku masih tetap begini, seperti 6 tahun yang lalu. Tidak berganjak. Ringkasnya, aku tetap lagi seorang yang gagal. Pokoknya, gagal dalam kehidupan dan bermacam perkara. Terkadang aku menyimpulkan diri ini tidak berguna langsung. Itulah definisi aku tentang diri sendiri pada hari ini. Tetapi dalam masa yang sama, aku tidak berasa hendak mengalah. Walau teruk bagaimana pun perasaannya menjalani kehidupan yang aku rasakan tidak berguna ini, aku belum mahu bersara dari terus melangkah. Masih banyak lagi perkara yang belum dicuba, dilakukan atau dipertaruhkan.

Kegagalan yang aku hadapi ini bukanlah seperti orang yang gagal dalam SPM, gagal dalam percintaan atau sub-kegagalan yang bermacam-macam. Konteks kegagalan yang aku hadapi sekarang lebih besar dari perkara tersebut. Kegagalan yang aku nampak pada diri ini, adalah diri aku sendiri. Antaranya tidak punya kesungguhan yang kuat dalam melakukan apa-apa perkara dan bidang tertentu. Tidak ada usaha, tidak ada tindakan dan sebagainya. Di mana, tidak ada orang lain dapat menolongnya, melainkan keazaman diri sendiri. Manakala dalam tempoh aku bermenung memikirkan keadaan diri, tanpa disedari aku banyak membuang masa bergentayangan di dalam realiti, tanpa sebarang arah tujuan. Seperti kata kebanyakan orang iaitu tin kosong. Itulah diri aku yang sebenar.

Jika aku contohkan perokok yang hendak berhenti merokok tapi gagal. Apakah wajar hendak disalahkan faktor luar semata-mata. Antaranya, dikelilingi kawan yang merokok, menyalahkan kerajaan yang masih membenarkan penjualan rokok, menyalahkan tekanan ditempat kerja. Padahal, yang sebenarnya, diri sendiri yang gagal dari berhenti merokok, sebab tidak punya kesungguhan. Aku pula, gagal keluar dari kegagalan hidup. Maka, diri aku sendiri adalah perkara yang mengecewakan. Bukan salah faktor luaran semata-mata.

Aku, dalam keadaan ‘rupa’ yang sebenarnya adalah mengecewakan. Kalaulah ibu bapa aku melihat keadaan aku yang sebenar, semestinya akan berkata “Apalah nak jadi dengan kau ni”. Mereka tidak pernah tahu segalanya tentang aku, orang lain juga, tidak kira kawan atau saudara. Hanya aku yang kenal dan faham akan diri sendiri. Sebab itulah aku tidak malu hendak mengakui bahawa diri sendiri begitu mengecewakan. Tambah menyedihkan, kedudukan aku sebagai anak yang sulung dalam keluarga. Tonggak utama sebagai harapan keluarga, masih lagi tidak berguna apa-apa. Hanya menghabiskan beras sahaja.

Kekecewaan yang aku alami, telah mendatangkan kesan sampingan yang menyerlahkan pelbagai kelemahan. Terus terang aku katakan, keyakinan dalam melakukan pelbagai perkara semakin banyak yang terjejas. Aku sudah tidak berapa yakin dengan apa yang telah aku lakukan dulu, antaranya mengenai pengajian aku. Aku berharap, keyakinan yang terjejas itu tidak akan berjangkit untuk melakukan permulaan baru dalam hal lain nanti. Atau, tidak yakin dalam keadaan belum pernah mencuba. Aku harap tidak.

Kalau hendak dibandingkan kekecewaan terhadap diri sendiri dengan perkara lain seperti topik percintaan-kekasih. Menyukai seseorang sehingga membibitkan perasaan cinta yang mendalam, kemudian ditinggalkan, atau putus cinta. Melihat kekasih lama berkahwin dengan orang lain. Memang tidak dapat lari dari rasa kecewa, cuma keadaan sebegitu tidak begitu kuat untuk dikesalkan dan tidak cukup tragis. Aku berpendapat, kekecewaan terhadap diri sendiri lebih besar impaknya dari perihal cinta yang tidak kesampaian. Itu hanya menurut perspektif aku. Mungkin bagi orang lain, cinta yang tidak kesampaian itu lebih pedih dari kekecewaan dalam bab lain. Dia berjaya dalam hidup, cuma gagal dalam cinta. Maka, dia rasa lebih kecewa dalam percintaan.

Malang sekali, aku gagal dalam banyak perkara termasuk dua situasi yang disebutkan tadi. Tidak mengapalah. Orang yang berjaya biasanyakan selalu berkata jangan takut untuk gagal. Sekurang-kurangnya aku dapat belajar makna kekecewaan serta menambahkan pengalaman baru. Tambahan pula, kekecewaan yang aku alami memang berpunca dari aku sendiri pada dasarnya. Aku tidak menyandarkan faktor luaran semata-mata kerana tidak realistik. Kesakitan di jiwa seperti pedihnya kekecewaan itu bukankah menjadikan ketahanan mental semakin kuat? Sekali lagi aku katakan pada diri, belum tibanya masa untuk mengalah. Pasti ada jalan dan sinar harapan baru, cuma masa yang akan menentukan.

Salah sebuah filem melayu yang begitu menarik perhatian aku iaitu Kil karya Nik Amir Mustapha. Tentang Akil yang kecewa dalam hidup sehingga terlibat dalam percubaan membunuh diri. Filem ini sangat menarik bagi aku. Jalan cerita, pembawaan karektornya, sangat memberi kesan pada pengamatan perasaan. Rasa kecewa, putus asa dan konflik jiwa yang dipaparkan mudah untuk diselami. Masih banyak perkara disekeliling kita yang perlu disyukuri, diberikan perhatian tidak kiralah betapa ‘fucked up’-nya hidup ini. Itu filem, tapi realitinya juga sama. Orang lain mempunyai derita yang lebih hebat, dan tidak cepat mengalah, mengapa pula aku harus begitu? Lagi pun, perjalanan masih jauh.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s