Hikmah Kemalangan Tempoh Hari

Kemalangan tempoh hari telah memperlihatkan aku pelbagai hikmahnya. Aku tidak begitu pasti bagaimana untuk mengungkapkan. Perasaannya bercampur baur. Semestinya rasa syukur yang tidak berbelah bahagi kerana Tuhan masih memberikan kesempatan untuk aku menjalani kehidupan ini. Sedikit sebanyak telah menenggelamkan rasa dukacita di atas musibah yang menimpa.

Pada detik kejadian itu berlaku, aku telah berjanji dengan diri sendiri untuk tidak berasa kesal dengan apa yang telah berlaku. Walau pun aku telah berhati-hati sebaik mungkin. Sudah begitu suratan takdirnya, maka aku perlu terima dengan berlapang dada. Tuhan tidak menguji lebih daripada kemampuan yang ada pada setiap hambanya. Aku percaya, musibah ini mempunyai banyak hikmah yang tersembunyi, yang tidak mungkin terjangkau pada sangkaan aku.

Menurut perkiraan yang sepatutnya, aku sedang menjalani latihan praktikal dan berpindah ke rumah sewa baru. Sepatutnya aku berpindah pada bulan Jun, tetapi kemalangan menimpa di awal bulan Mei. Mujurlah aku belum membayar deposit dua bulan untuk rumah sewa yang bakal aku duduki. Aku tidak jadi berpindah selepas kemalangan itu berlaku. Cumanya, praktikal kali ini terpaksa ditangguhkan sementara menunggu kecederaan pulih semula.

Lama juga aku tidak pulang ke kampung halaman, rumah keluarga di Labis. Kalau tidak silap aku, kali terakhir aku berada di bumi Labis, sekitar bulan September 2014. Sepanjang tempoh tersebut, bukan aku tidak pulang ke kampung langsung. Cuma aku tidak pulang ke Labis sahaja, sebaliknya aku kerap pulang ke rumah atuk. Keluarga aku juga kerap pulang ke sana setiap kali hujung minggu atau cuti persekolahan. Jadi, aku tidak bercadang untuk ke Labis apabila dapat bertemu keluarga di rumah atuk.

Sebelum kemalangan berlaku, aku ada merancang untuk pulang ke Labis. Tetapi kerap kali aku menangguhkan hasrat itu. Memang rindu untuk kembali ke Labis. Beberapa orang teman rapat kerap juga bertanya, mengapa begitu lama tidak pulang. Sebenarnya, kemalangan yang menimpa itu berlaku tatkala aku berniat hendak pulang ke Labis. Akhirnya, berbulan-bulan aku berada di rumah keluarga di Labis kerana menunggu pulih dari kecederaan. Tidak disangka pula dapat bercuti panjang dan melepak bersama mereka. Apabila berada di rumah, suasana agak meriah kerana ada keluarga di sisi. Tidak seperti waktu sepanjang aku berada di Melaka, lebih banyak menyendiri.

Tentang kecederaan itu, sebenarnya tidaklah terlalu membebankan diri dan fikiran. Penawar yang paling ampuh adalah kesabaran yang tinggi dalam menanti pulih seperti sedia kala. Selain berehat di rumah, aku mempunyai kesempatan untuk mencari diri, menetapkan hala tuju baru, memikirkan apakah bentuk hikmah yang Tuhan kurniakan kepada aku. Masa beginilah untuk aku kembali intim dengan buku-buku yang belum dibaca. Jika sebelum ini fikiran dikusutkan oleh kesibukan diri, kini mempunyai sedikit ketenangan.

Terlalu banyak hikmahnya jika difikirkan secara mendalam. Walau pun musibah ini bukanlah sesuatu yang menggembirakan kepada sesiapa. Aku cuba melihatnya dari perspektif yang berbeza dan menerimanya dengan pendekatan yang positif. Mempercayai qadha dan qadar itukan sebahagian dari rukun iman. Setiap perancangan yang dibuat, sehabis baik mana pun usaha yang dilakukan, kesimpulan akhirnya tergantung oleh kehendak Tuhan. Moga Tuhan sentiasa memberikan kekuatan untuk menempuhi ujian.

Persoalan yang bermain difikiran aku juga nampaknya ada yang telah terjawab. Tentang seseorang yang telah lama dipisahkan oleh keadaan dan waktu. Apa yang lebih menakjubkan adalah betapa besarnya rahmat dan perhatian yang Tuhan berikan. Melalui musibah ini Tuhan telah menyertakan jawapan kepada persoalan tersebut. Di mana, aku begitu mengharapkan tanda tanya itu terhapus, supaya satu keputusan yang muktamad dapat dibuat. Agar, perasaan yang tersimpan lama ini, dapat dibebaskan.

Esok, 10 September 2016 merupakan majlis terpenting dalam hidupnya sebagai tanda meraikan cinta. Aku hanya mampu mengucapkan tahniah di dalam penulisan ini. Bertahun-tahun aku mencari tahu tentangnya, tidak pernah berhasil. Kehilangan jejaknya sungguh misteri dan seakan terhijab dari pengetahuan aku. Begitu pun, aku mempercayai, inilah salah satunya kerahsiaan Tuhan, iaitu berkenaan jodoh dan maut. Teka-teki telah terjawab, tetapi aku hanya mampu melihat dari kejauhan. Sungguh pun masih ada sekelumit perasaan ini terhadapnya. Realitinya, tidak ada apa lagi yang dapat diubah. Begitulah pengakhirannya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s