Pulang Beraya Aidiladha

​Kebiasaannya, disebut sebagai raya haji, kerana bulan tersebut merupakan musim orang mengerjakan haji. Ada yang menyebutnya sebagai raya korban, sebabnya bulan itu merupakan masa untuk melaksanakan ibadah korban. Di tempat aku, sebelah selatan semenanjung perayaan ini tidak disambut semeriah hari raya Aidilfitri. Aku tidak tahu apa sebabnya. Tidak seperti rakyat negeri di kawasan pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu.

Mereka menyambut perayaan ini dengan begitu meriah sekali, seperti mana di sini menyambut Aidilfitri. Jika diperhatikan restoran Kelantan sebagai misalnya, mereka akan menutup kedai selama beberapa hari untuk pulang ke kampung. Aku melihat perayaan ini berlangsung secara sederhana. Cuma, seperti biasa juadah kebiasaan pada hari raya tetap disediakan. Mungkin raya korban kurang meriah disebabkan cuti yang singkat.

Bercakap tentang ibadah korban, nenek tidak menyumbang lembu pada tahun ini. Lembu peliharaannya sekarang hanya tinggal 7 ekor. Semua lembunya telah melebihi 2 tahun umur, kerana yang muda telah dijual sebelum ini.

Dua hari sebelum raya, aku sekeluarga bertolak ke kampung di Buluh Kasap, iaitu pada 10 September lepas. Kebetulan adik nombor dua telah sampai di kampung, dia menjemput aku pada petang itu menaiki kereta proton wira Pok Teh. Singgah sebentar di Guardian untuk membeli barang. Tiba-tiba kereta tidak dapat dihidupkan kerana bateri kereta terlalu lemah.

Hampir sejam menunggu pomen untuk menghidupkan kereta. Setelah membuat pertimbangan dengan pomen, katanya bateri kereta mesti diganti untuk mengelakkan sebarang kemungkinan. Bateri kering Yokohama menjadi pilihan dengan harga RM180 setelah ditolak harga asal berharga RM200 sebagai pertukaran dengan bateri lama. Mujurlah masalah dapat dikesan lebih awal.

Sebelum pulang, singgah sebentar ke Kampung Bumbun untuk menghantar 5 biji kelapa ke rumah Atuk saudara. Kemudian singgah ke rumah Mak Long di Kampung Kadut. Seluruh ahli keluarga mereka telah sampai di kampung, bercuti sehingga hari raya kedua. Berborak dengan sepupu sehingga pukul 10 malam dan melayan kerenah anak saudara sepupu.

Destinasi akhir, terus menuju ke rumah Atuk di Buluh Kasap. Perkara pertama yang dilakukan adalah bermain karom yang langsung tidak signifikan dengan cuti sempena raya. Makcik dan Poksu telah sampai sejak siangnya. Malam itu, seluruh keluarga menonton filem beramai-ramai. Aku pula menumpukan pada perlawanan karom di meja batu hadapan rumah.

Sehari sebelum raya, emak dan makcik sibuk memasak di dapur bersama sepupu keluarga sebelah ibu. Juadah yang dimasak adalah nasi himpit, kuah kacang, kari daging, rendang daging dan ayam masak merah. Kebiasaannya, aku menolong nenek sebelah bapa untuk memasak juadah raya. Disebabkan di sana juga ramai saudara mara yang pulang, aku berlepas tangan dan bersantai di hadapan tv. Tidak banyak aktiviti dapat dilakukan pada hari itu. Hendak mengait buah rambutan, minggu lepas sudah dikerjakan.

Setibanya di hari raya, ramai saudara mara berkunjung ke rumah Atuk selepas sembahyang sunat. Aku memerhatikan, ramai saudara-mara galak bersembang hal-hal keluarga dengan suasana riuh rendah. Topiknya berkisarkan hal masing-masing, hal anak, hal sekolah, hal orang lain yang masuk campur hal keluarga aku pun ada, hal isu semasa dan politik Najib. Boleh dikatakan pelbagai wacana yang ada.

Sepupu yang baru berkahwin pada bulan Mac lepas tidak pulang ke Kasap raya kali ini. Sepupu yang baru menimang cahaya mata kedua ketika penghujung Ogos ada beraya di sini. Petang itu, Pak Ngah membawa 3 buah chempedak yang ditanam di belakang rumahnya. Pokok chempedaknya berbuah lebat pada kali ini. Semua dapat makan dengan puas sehingga hari raya ketiga. Bayangkan betapa banyaknya buah yang berhasil hanya dari sebatang pokok chempedak sahaja.

Khabarnya di Kampung Paya Merah juga ada penduduk yang membuat korban lembu. Abah pulang ke sana untuk menjadi sukarelawan majlis korban. Sementara itu, di Kampung Tenang, Pertubuhan IKRAM ada menyumbangkan beberapa ekor lembu.

Mak Long mengadakan jamuan hari raya di rumahnya pada sebelah petang. Nasi beriyani dan soto nasi himpit. Aku, Angah dan Poksu datang lewat sekitar 5.30 petang, tidak menurut yang lain lebih awal. Qawi dan Zahra kelihatan asyik bergembira dan menunjukkan keletah mereka.

Malam itu selepas Maghrib, sepupu merangkap anak Mak Long yang sulung berangkat pulang ke Pineng. Zahra tidak lagi tinggal bersama Mak Long, dan selepas ini didaftarkan ke Taska. Tinggallah Qawi dan adik baru bernama Ahmad Faqih di rumah neneknya. Mujur tidak ada drama air mata untuk memujuk Zahra pulang dan suasana tidak lagi dalam keadaan meriah.

Tidak beberapa lama kemudian, Pak Andak pula sampai, kerana petang tadi tidak sempat datang atas hal kerja. Kami bertiga pulang ke rumah atuk pada jam 9 malam. Raya kedua Angah pulang ke KL, raya ketiga pula Poksu pulang ke JB. Aku yang masih dalam tempoh pemulihan dari kecederaan lutut, pulang bersama Abah yang telah bekerja pada pagi hari raya keempat dan Makcik pulang pada sebelah petang. Emak dan yang lain gerak sebelah malam. Begitulah diari Hari Raya Qurban pada tahun 1437H.

*nota terakhir*

1. Selamat pengantin baru diucapkan kepada Nur Amalia dan suami, Muhammad Zaim. Semoga berbahagia hingga ke Jannah, dilimpahi keberkatan hidup, serta kemurahan rezeki dari Allah.

10 September 2016.

2. Ada cakap-cakap mengatakan Pemilu ke-14 bakal diadakan seawal Mac tahun depan. Manakala, bulan September ini adalah kesempatan terakhir untuk mendaftar sebagai pengundi.

3. Tiada lagu raya, tetapi hayatilah lagu P. Ramlee – Berkorban Apa Saja.

Berkorban apa saja ~ Harta atau pun nyawa

Itulah kasih mesra ~ Sejati dan mulia

Kepentingan sendiri ~ Tidak diingini

Bahagia kekasih ~ Saja yang diharapi


Berkorban apa saja ~ Harta atau pun nyawa

Itulah kasih mesra ~ Sejati dan mulia

Untuk menjadi bukti ~ Kasih yang sejati

Itulah tandanya ~ Jika mahu diuji

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s