Perempuan Dalam Kenangan

​Bercerita tentang perempuan yang pernah di minati, aku mempunyai kenangan tentang mereka. Aku tidak begitu pasti bagaimana perasaan tersebut boleh tercetus. Kenyataan yang boleh aku katakan, begitulah lumrah manusia normal untuk meminati seseorang yang berlainan jantina. Jika ditanyakan tentang sebab dan alasan untuk meminati setiap dari mereka itu terlalu kompleks dan terdapat daya penariknya yang tersendiri.

Buat pertama kali dalam hidup, ketika pernah meminati seorang budak perempuan, kenangannya sewaktu aku masih di Tadika. Sebenarnya minat tersebut lebih terarah untuk berkenalan dan berkawan. Dia merupakan seorang anak perempuan kepada pemilik restoran dan pemilik bas sekolah yang aku naiki setiap hari. Perasaan aku terhadapnya mekar sehingga Darjah 6. Cuma aku tidak pernah mengaku kepadanya dan aku tidak pernah bercerita kepada sesiapa.

Semasa tadika, aku kerap kali menghampiri tempat duduknya di dalam kelas untuk cuba berbual dan menciptakan kemesraan. Ketika di sekolah rendah, kemesraan itu semakin melebur disebabkan rasa segan yang menebal. Pada waktu itu, tindakan seorang budak lelaki yang cuba untuk berkawan dengan budak perempuan merupakan tabu. Kebiasaannya akan timbul gosip, diperli atau dibahan oleh kawan-kawan. Aku tidak berani menghadapi tekanan itu, dan terus meminatinya dalam diam. Tamat sekolah rendah, aku tidak lagi mendengar khabar berita tentangnya kerana berlainan sekolah menengah.

Sewaktu sekolah menengah, ramai kawan-kawan terlibat dalam percintaan monyet. Aku tidak pasti, hormon apakah yang menyebabkan ramai terjebak. Ada yang berselindung disebalik perhubungan adik-kakak-abang angkat, padahal ritmanya hampir sama seperti bercinta. Tidak pula sempat aku menjalankan kajian mendalam tentang konflik awal remaja. Malangnya, aku juga sama seperti mereka. Tetapi, aku tidak mahu mengakui hubungan tersebut dimaknai atas nama cinta. Sememangnya waktu itu tidak ada cinta, melainkan yang ada hanyalah cinta monyet.

Tetapi sejujurnya, aku memang menyukai dia semenjak kali pertama bertentang mata. Aku tidak pernah melihat dia sebelum itu. Dia sungguh menawan dan sering menjadi perhatian rakan sekelas. Cuma, tidak seorang pun yang berani mengorat atau mengutus surat. Ya, zaman aku masih lagi sempat menggunakan cara klasik. Aku dan dia berada di dalam kelas yang sama. Dia muda dua tahun dari aku sewaktu Darjah 6 sekolah agama kerana dizamannya, kelas fardhu ain telah dimansuhkan. Aku baru Tingkatan 2 sekolah menengah.

Bermula dari bermain mata, akhirnya membibitkan perasaan di dalam hati. Tetapi masing-masing memendam rasa. Sebenarnya aku langsung tidak berani memulakan bicara terhadapnya. Entah dari mana datangnya keberanian untuk bertegur sapa ketika gotong-royong pada suatu hari Jumaat. Beberapa hari kemudian, dia memberikan aku sepucuk surat untuk berkenalan lebih lanjut. Kami saling berbalas surat dan berbual melalui telefon rumah, hinggakan bil telefon rumah melebihi kadar biasa setelah aku berkawan dengannya.

Ternyata, selama ini aku dan dia saling menaruh harapan di dalam diam. Dia anak cikgu, dan kami menaiki bas yang sama untuk ke sekolah agama. Aku tahu lokasi rumahnya. Sekarang, aku dan dia merupakan jiran sekampung. Kedudukan rumahnya lebih kurang 200 meter sahaja. Sepanjang aku mengenalinya, dia mempunyai keperibadian yang baik, lembut dan sensitif. Malah, aku kagum dengan kepandaiannya di dalam akademik sehingga mendapat tempat di SBP yang terkenal dengan pelajar cemerlang. Manakala aku pula pelajar suam-suam kuku.

Sayangnya perhubungan aku dan dia tidak sampai setahun kerana persefahaman yang berbeza. Aku memilih terma persahabatan, sedang dia menganggapnya sebagai percintaan seperti pasangan kekasih. Aku masih punya kewarasan untuk menilai meski pun masih terlalu naif. Cuma, kenaifan tersebut menyebabkan aku gagal memberikan penjelasan yang cukup matang. Akhirnya, hubungan itu putus. Tetapi tetap lagi berkawan, sehingga kali terakhir dia menghubungi aku sewaktu Tingkatan 5, dia pula Tingkatan 3. 

Kemudian sejak detik terakhir itu, telah bertahun-tahun dia sepi dari sebarang berita. Baru-baru ini, dia telah pun melangsungkan perkahwinan dengan pemuda pilihannya pada 10 September yang lalu – Tamat. Dulu selepas dia, aku ada berkawan dengan seorang perempuan. Anak cikgu juga. Kenal semasa bersekolah rendah lagi. Tetapi berkawan rapat setelah tamat SPM. Hendak kata meminatinya seperti dibuai perasaan jatuh cinta tidaklah begitu tepat. Sebenarnya, dia seorang kawan lama, jadi mudah untuk mendirikan paksi persahabatan. Tiada sebarang alasan yang rumit, cuma minat untuk berkawan disebabkan rasa selesa dan mudah berkomunikasi tanpa rasa kekok dan janggal. Orang utara kata ‘sempoi’.

Begitu pun, setelah beberapa lama berkawan, aku semacam dapat merasakan sesuatu di dalam hati. Itu pun setelah dia menerima tawaran untuk ke universiti. Tetapi luahan hati itu tidak disambut olehnya, kerana dia tidak mahu ada keterikatan dari segi perasaan. Dia hanya selesa berkawan. Tambahan pula, aku perlu sedar dan tidak patut menangguk harapan di air yang berkeladak. Jadi, sebelum keladak itu bertukar racun, dengan segera aku kambuskan air tersebut dengan pasir sehingga kering dan tandus. Akhirnya aku dan dia membawa haluan masing-masing. Inilah yang dikatakan sebagai ‘friendzoned’.

Perempuan yang terpilih menjadi sebahagian dari anyaman kenangan-kenangan hidup ini, begitu bermakna pada aku. Arus gelombang yang terhasil dari mereka begitu kuat untuk menyambar perintang perasaan. Kehadiran mereka di dalam hati, boleh dikatakan tiada sebarang alasan, kerana terdapat ketulusan yang membunuh kesemua alasan tersebut. Aku menuliskan alasan itu sekadar bunga-bunga perceritaan semata-mata. Meski pun telah berakhir, tidak mengapa. Tentang hidup ini lumrahnya memang begitu. Sentiasa ada datang dan pergi.

Setelah aku merasai bagaimana perasaannya meminati seseorang dalam diam. Kemudian, aku merasakan pula bagaimana indahnya perasaan yang saling bertautan. Akhirnya, aku mengenal rasa ditinggalkan oleh seorang perempuan. Bukankah ini juga merupakan pelajaran secara tidak langsung? Supaya tidak melayani perasaan dengan begitu mudah. Melainkan telah pasti dengan adanya ikatan suci.

Aku tidaklah berniat untuk mengupas secara terperinci tentang akibat dan pelajaran di sini. Tujuan sebenarnya adalah tentang kenangan terhadap perempuan yang pernah diminati. Sama ada ‘crush’ atau pun ‘girlfriend’. Sekadar mengabadikan kenangan. Seperti mengimbau nostalgia bersama seseorang sambil menikmati cekodok pisang dan minum petang.

Setelah nostalgia Darjah 6, Tingkatan 2 dan pasca SPM, ada seorang lagi perempuan yang aku minati. Perkenalan dengannya bermula pada tahun 2012. Dia, aku ibaratkan sebagai inspirasi untuk bangkit semula dari kejatuhan. Sebenarnya aku jatuh motor akibat kemalangan pada tahun 2011. Awalnya, aku dan dia hanya berkawan, tetapi aku semakin berhati-hati dengan perasaan. Kali ini, apa pun gelombangnya, aku cuba bertahan.

Dia salah seorang jiran semasa menetap di Melaka. Merupakan pelajar UTEM yang tersangat cerdik pandai kerana mengambil jurusan kejuruteraan di dalam bidang ‘artificial intelligent’. Lebih kurang begitulah kalau tidak salah. Satu perkara yang menarik tentangnya adalah sikapnya yang ceria itu tidak pernah menjemukan. Dia merupakan perempuan paling unik pernah aku temukan, malah advencer, selamba dan tidak tipikal seperti makwe kebanyakan. Berkawan dengannya memang seronok sebab dia seorang yang terbuka dan jujur.

Aku belum cukup bodoh untuk perasan diri sehingga pipi tersorong-sorong. Bila difikirkan, dia banyak memberikan signal perasaannya terhadap aku, secara kiasan yang mudah faham. Cuma aku yang buat tidak faham. Walau pun dalam masa yang sama, aku turut meminatinya di dalam diam. Aku tidak mahu melayan perasaan tersebut. Sebabnya? Diri aku sendiri masih belum membuktikan apa-apa. Masih belum bersedia untuk memerterai ikatan sah, dan belum memenuhi kriteria tertentu. Jadi, tidak ada sebab untuk mempertaruhkan harapan.

Memang aku bukan seorang yang boleh diletakkan harapan terhadap perasaan pada waktu itu. Sekarang juga belum tentu. Banyak lagi perkara lain yang perlu diutamakan. Antaranya soal masa depan aku sendiri yang sinarnya masih belum muncul. Aku masih seorang gagalis. Tetapi belum lagi mahu kecewa dengan kemampuan diri. Dan aku sedang mencari jalan untuk keluar dari zon tersebut. Jika ditanyakan aku, antara kekecewaan akibat perempuan dan diri sendiri. Sebenarnya lebih terasa terhadap diri sendiri. Mujurlah haram untuk ada sebarang sebab, untuk mengalah. Melainkan ajal dan maut telah sampai.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s