Antara Kehendak dan Keperluan

Pada hari ini, aku hanya mempunyai sebuah peranti pintar untuk kegunaan harian. Pernah juga terdetik keinginan untuk memiliki pelbagai jenis gajet dan peralatan elektronik terbaru. Sudah tentu itu semua sekadar keinginan yang tidak begitu penting untuk didapatkan. Aku bukan peminat sejati kepada gajet terkini, kadang perasaan untuk memiliki alat tersebut tidak kurang lebih sekadar mendapatkan kepuasan. Masalah juga jika kehidupan yang sementara ini dihabiskan berfikir tentang angan-angan yang tidak memberi kebaikan.

Masalah kedua, aku bukan seorang yang kaya untuk membeli keinginan tersebut. Status kewangan aku masih lagi dalam keadaan teruk dan sentiasa defisit. Ketiga, aku merasakan keinginan itu bukanlah sesuatu yang positif untuk diteruskan. Lebih kepada membuang masa dan eskapisma sementara yang bersifat candu. Seperti konsol permainan Playstation atau komputer berprestasi tinggi untuk kegunaan permainan video. Semua ini bakal mengundang cara hidup yang tidak mengandungi erti kehidupan sebenar. Sebaliknya aku harus melihat realiti hidup ini adalah untuk survival di masa akan datang.

Penciptaan dan pengeluaran gajet sentiasa berkembang pesat di masa kini. Kalau hendak dikejarkan teknologi peranti terbaru, sememangnya tidak terkejar. Cukuplah dengan smartphone yang ada. Walau pun teringin untuk mempunyai sebuah tablet. Sekarang belum tiba masanya lagi. Lainlah aku sedang mengusahakan projek seperti berniaga secara dalam talian. Aku tidak dapat menafikan pekerjaan atau perniagaan pada hari ini banyak bersangkutan dengan penggunaan gajet. Dari sudut yang lain pula, aku mendapati tablet atau ipad agak menarik untuk kegunaan pembelajaran. Aktiviti membaca tidak terhad melalui buku, banyak pengetahuan dapat digali menerusi internet. Jadi, aku merasakan tablet bukanlah kehendak yang negatif.

Sebuah komputer riba kepunyaanku pula telah lama tersadai rosak. Tidak pasti sama ada boleh dibaiki lagi atau tidak. Buat masa ini, aku tidak melihatnya sebagai satu keperluan yang mendesak. Tidak ada lagi tugasan dari pensyarah yang perlu disiapkan atau membaca nota slaid dan pdf. Aku semakin jarang menggunakannya, bukan ada membuat laporan projek atau menyiapkan kertas kerja. Sebaliknya digunakan untuk menonton movie, mengakses fail tertentu seperti koleksi gambar dan lagu. Aku masih mempunyai sebuah ‘external hard disk’ untuk menyimpan data tersebut. Terfikir pula untuk membeli yang baru kerana yang ada sekarang telah sarat dengan data.

Aku juga semakin kurang menonton televisyen. Rancangan yang ada semakin mengarut dan penuh dengan drama murahan. Jika di rumah keluarga, siaran berbayar Astro pula hanya pakej paling rendah yang tiada saluran menarik seperti sukan dan HBO. Cuma, tv sekarang sudah semakin canggih yang dikenali sebagai smart tv. Boleh mengakses internet, ada pemain video, audio dan berfungsi seperti komputer. Jadi, aku mengkategorikan sebagai kehendak sederhana.

Mendengar muzik merupakan perkara yang aku minati. Tetapi tidak bermakna jika didengarkan menerusi sistem audio murah. Sama ada memiliki home theater atau hi-fi. Tv sekarang tidak dilengkapi dengan audio yang sedap didengar. Sistem audio canggih bukan keperluan, tetapi keinginan yang tidak begitu penting. Speaker komputer yang dibeli sewaktu PC Fair 2012 dulu masih ada. Jika boleh mendengar muzik menerusi gajet menggunakan earphone, mengapa perlukan sistem audio yang canggih dan mahal?

Melihat kepada pengeluaran motosikal baru sekarang, timbul juga rasa minat untuk memiliki. Yamaha dan Honda sedang berlumba dalam menghasilkan moped atau kapcai. Itu sekadar angan sahaja, tidaklah sampai teringin membeli. Tunggulah bila berkemampuan, boleh beli KTM, Ducati atau Harley Davidson terus. Yamaha Lagenda 110cc yang aku gunakan sekarang masih elok. Cuma, ada beberapa penambahbaikan perlu dilakukan. Cover set pecah dan perlu diganti. Enjin tidak pasti perlu overhaul atau tidak, lagi pun tidak ada masalah atau berbunyi kasar. Sport rim baru mungkin boleh dipertimbangkan walau pun bengkok tidak terlalu ketara, lain-lain seperti ekzos dan absorber. Helmet, telah ada yang baru bagi menggantikan helmet lama yang dicuri dulu.

Tentang kereta pula, aku tidak mahu berangan besar untuk memiliki kereta baru. Tatkala ramai orang muda mengidamkan Honda atau kereta baru yang diikat dengan hutang 9 tahun. Cukuplah menggunakan kereta terpakai yang dibeli secara tunai. Sama ada Viva auto atau Wira pekak. Kalau mampu tunai untuk Honda lama, aku teruskan. Aku peminat kereta yang tidak terlalu klasik. Seperti ‘muscle car’ antaranya Ford GTO, Mustang, Dodge Charger atau kereta buatan Jepun yang dibuat pada tahun 80an hingga 90an. Itu pun masih terlalu mahal, paling tidak pun cukuplah siri model dari Nissan-Datsun. Kebiasaannya orang menggelar Datsun Tonggek.

Kereta untuk kegunaan harian, selayaknya berada dalam kondisi yang selamat di atas jalan raya. Bukan yang dimodifikasi dengan melampau seolah untuk pertunjukkan autoshow. Apa yang penting dari segi dalamannya, enjin dalam keadaan prestasi terbaik. Pada aku, ada sistem audio yang mantap, sport rim yang cantik, cat yang kelihatan kemas. Pengubahsuaian pada tahap yang minimalis. Bukan tidak berminat dengan kereta baru. Itu semua akan difikirkan ketika ekonomi telah mengukuh. Usah kata Honda, lebih baik memandang terus kereta buatan eropah.

Hari ini, ramai yang berminat mengikuti gaya hidup dan fesyen hipster. Pakaian, rambut, makan minum, bisnes, dan stail keseluruhannya hendak dihipsterkan. Bagi yang kaya atau bertopengkan kekayaan pula menggelarkan sebagai ‘swagger’, serta banyak lagi terma baru yang aku kurang mengambil tahu. Aku tidak peduli dan tidak berminat dengan perkembangan itu. Aku memilih gaya sederhana dan tidak mengikut arus semasa. Mungkin juga aku kategori ‘slackers’ yang tidak pandai bergaya.

Kebiasaannya aku lebih berminat dengan kemeja kasual yang biasa, berwarna gelap. Pemakaian yang lebih cenderung dengan ciri kehitaman seperti seorang rockers atau metallers. Malah, aku masih berminat dengan t-shirt metal band, t-shirt grafik yang berseni atau jenama lokal dari Tempatan Fest. Seluar pula, slack jenis khakis, jeans biasa atau slim fit. Dari dulu sampai sekarang tidak jemu dengan Converse. Tetapi, kebanyakan masa lebih senang memakai selipar. Lagi pun, negara ini beriklim panas. Antara jubah dan kurta, aku memilih kurta dalam yang sama tetap setia dengan baju melayu, cekak musang.

Berkenaan rumah kediaman, aku sendiri tidak pasti di masa akan datang masih mampu untuk membeli rumah atau pun tidak. Ini disebabkan nilai hartanah semakin meningkat. Tetapi, andai kata aku mampu membeli rumah kos rendah, itu tidak menjadi masalah untuk permulaan hidup. Usia masih muda, dan ekonomi belum kukuh. Rumah PPRT atau mesra rakyat juga tidak mengapa, yang penting rumah sendiri. Takkan hendak menyewa sampai ke tua.

Perkara yang paling penting adalah keadaan dalam rumah atau dekorasinya. Biarpun kecil, tetapi tatariasnya menarik dan kemas, fikiran automatik akan berasa tenang. Tidak terlalu sarat dengan perabot dan barangan asalkan lengkap dengan keperluan asas terutamanya mesin basuh, peti ais, dan dapur. Tentang dapur, mestilah lengkap dengan peralatan memasak, kerana aku semacam ada minat memasak pula. Dulu rajin menonton rancangan Chef Wan dan yang paling diminati sekali adalah Spice Routes yang dihoskan oleh Chef Sabri, serta 5 rencah 5 rasa oleh Sherson. Harapan di masa akan datang aku dapat menguasai pelbagai masakan melayu.

Perkara kedua tentang kediaman adalah bilik tidur. Ada katil, almari dan paling penting ada meja tulis berserta lampu meja. Ketiga, ruang tamu ada sebuah tv nipis dan sistem audio yang padu. Di situ juga merupakan tempat aku mewujudkan perpustakaan mini. Jika ada konsol Playstation, itu bonus. Apa yang penting, segala hiasan dalaman dan dekorasi, aku memilih konsep minimalis. Semua barang-barang yang tidak digunakan mesti disimpan di dalam kotak untuk mengelak dari berhabuk. Sebabnya, aku bukan terlalu rajin mengemas pada setiap hari.

Jika terdapat halaman rumah, boleh diusahakan projek hasil tanaman. Lada persat, limau nipis atau kasturi dan pandan. Ramai pakcik aku yang berkemahiran dalam menguruskan tanaman, tidak kira pokok buah-buahan atau tanaman bunga. Itu merupakan kekaguman aku, kerana tanaman mereka menjadi dan subur. Rugi tidak mendapatkan pengetahuan dan mempraktikkan ilmu tanaman mereka. Cuma, mengusahakan tanaman ini amat penting untuk mempunyai komitmen berterusan dalam memastikan tanaman hidup. Kalau rajin, teragak untuk mencuba orkid. Bukan sekadar cantik, manalah tahu boleh menjana pendapatan sampingan.

Sebenarnya penulisan ini dikarang sekadar untuk mengingatkan diri sendiri tentang perbezaan antara keperluan dan kehendak yang pernah disenaraikan selama ini. Terdapat juga perancangan di masa akan datang yang difokuskan terhadap kebendaan dan material semata-mata.  Ada yang telah sampai kepada target, ada yang belum, dan mungkin juga kehendak dan keinginan ini akan bertukar dan diubah dari masa ke semasa. Ringkas cerita, boleh dikategorikan sebagai angan dan impian.

Aku tidak menganggap ini sebagai manual peribadi untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup. Lagi pun kunci kebahagiaan bukan terletak pada material atau harta kekayaan. Tetapi terletak di hati, tentang sejauh mana hubungan rohani dan Tuhan dijalinkan. Bahagia juga boleh dikecapi dengan cara bersyukur.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s