Kebimbangan Masa Depan

Dahulu aku tidak memikirkan serumit sekarang tentang masa depan. Perancangan hidup aku mudah. Selepas tamat persekolahan, mohon untuk sambung belajar, cari kerja sama ada melalui SPA atau kerja swasta. Kemudian, berkahwin dan merancang untuk mempunyai 3 orang cahaya mata. Hidup bekerja dan membesarkan anak-anak. Selepas bersara nanti, harapnya sempat melayan cucu.

Begitulah perancangan hidup yang sungguh sederhana, mengikut skema seperti yang aku lihat dalam keluarga. Tipikal dan tidak mempunyai angan-angan besar. Asalkan cukup dan penuh kesyukuran. Tentang masalah, perspektif aku mudah, hidup memang dilingkari dengan ujian dan masalah. Berusahalah untuk mengatasi dan teruskan perjalanan hingga sampai masanya, kembali menemui pencipta.

Ternyata perancangan yang ringkas dan sederhana itu juga begitu sukar untuk dicapai. Aku tergendala di peringat sambung belajar. Dulu, aku menjangkakan untuk mula bekerja seawal umur 22 atau 24. Sekarang aku hampir berumur 27 tahun, dalam keadaan hilang arah dan tidak nampak hala tuju di masa hadapan. Hal begini membuatkan aku cuak dan bimbang.

Inilah hakikat yang perlu dihadamkan tentang perjalanan hidup. Walau pun agak klise ayatnya – kita hanya mampu merancang, hanya Tuhan yang menentukan. Aku hanya mampu usahakan rancangan tersebut, tidak semestinya akan seiring dengan target yang ingin dicapai. Nampaknya, aku perlu menyusun rancangan lain dan mencari alternatif baru. Aku rasa, itu yang Tuhan sedang memberitahu kepada aku.

Bila melihat rakan sebaya yang lain, masing-masing telah melangkah ke fasa hidup yang lebih jauh. Bertahun-tahun telah mempunyai kerjaya, ada yang sudah berkahwin, anak hampir tiga. Aku masih di sini, seperti tajuk lagu dari Xpdc. Sebenarnya bukan cemburu, malah aku faham destinasi setiap orang memang berbeza-beza.

Cuma, terkilan dan sedikit kecewa dengan diri sendiri bila melihat ke belakang. Aku rasa, aku macam tak buat apa-apa untuk hidup ini. Masih lagi menganggur, dan belum mampu berdikari, apatah lagi nak bantu keluarga. Tambahan pula, dalam keadaan cedera begini. Aku masih boleh positif dan bersangka baik. Tapi iyalah, bukan setiap masa aku dapat kekal positif. Lumrah manusia.

Dua kali aku cuba bangkit dari kejatuhan. Kemalangan pertama pada tahun 2011, sehingga tertangguh pengajian selama dua semester (2011-2012). Tidak ada apa yang menggusarkan, lepas jatuh kenalah bangun semula. Mudah. Tetapi semangat aku terjejas bila menjelang 2013, aku stress. Menempuh hari dengan kesendirian.

Ada pelbagai masalah yang kompleks untuk diceritakan. Berpunca dari faktor luaran dan faktor dalaman. Faktor luaran telah menyebabkan aku tak bersemangat nak belajar lagi. Akhirnya mencetuskan faktor dalaman di mana masalah tersebut menjadikan diri aku menjadi seorang yang bermasalah. Tahun 2014, aku tinggalkan semua dalam keadaan tergantung untuk mencari semangat yang hilang.

Tahun 2015, aku bangkit dengan segar bagaikan kelopak bunga yang berkembang di waktu pagi. Kali ini, aku perah betul-betul sehingga prestasi meningkat semula. Hinggalah suku pertama tahun ini (2016), menghadapi gelombang kejatuhan yang kedua. Kemalangan dan tersadai di rumah berbulan lamanya.

Baru-baru ini dapat sepucuk surat yang mengatakan, aku hanya mempunyai kesempatan untuk menghabiskan sisa pengajian yang tertinggal sehingga Jun tahun depan. Keadaan itu ibarat sebutir meteor sedang menghempas di hadapan aku. Aku tercampak dan terduduk sekali lagi. Situasi genting ini membuatkan tekanan makin memuncak. Entah sempat atau tidak. Aku rasa dah penat, bosan dan hambar.

Kalau boleh, aku nak lakukan sesuatu yang baru. Bermula dari level satu. Aku rasa eloklah putus asa sahaja pada perkara yang tak berkesudahan ini. Walau pun betapa ralatnya dan ruginya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Mungkin ini bukan haluan yang perlu aku tempuhi. Aku percaya, ada rezeki lain yang Tuhan nak beri.

Bukannya berputus asa untuk semua perkara dalam hidup. Aku cuma berputus asa pada perkara yang aku tak dapat tamatkan dan ada-ada sahaja halangannya. Bosan. Pada masa yang sama, aku mempunyai perasaan teruja dan positif untuk menantikan masa depan yang segar dan baru. Dilemanya, adakah aku dapat dikategorikan sebagai pengalah dan tidak kental?

Orang lain mungkin tak sanggup mempertaruhkan masa dan modal seperti mana yang aku lakukan. Bukankah lebih elok berhenti sahaja pada tahun 2013 dulu. Tapi aku tidak mahu mengalah awal. Aku dah cuba. Tetap juga tak seperti yang diharapkan. Apa yang aku lihat, pelaburan ini berpotensi gagal. Salahkah jika berputus asa untuk kali ini?

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s