Hasrat Dua Tahun Lepas

Dua tahun telah berlalu ketika aku dan kawan-kawan sedang bersemangat untuk menggapai matlamat di dalam kehidupan sementara ini. Ketika itu pertengahan tahun 2014. Aku terumbang-ambing, manakala yang lain, ada yang sedang merangkak, ada yang meraba-raba tentang masa depan. Tak pasti jalan manakah yang harus ditempuh.

Kami selalunya mengunjungi rumah kawan-kawan yang lain, secara bergilir-gilir. Melepak tak ketentuan hala. Duduk bersembang mengalahkan panelis forum dan wacana. Berbincang seperti mempunyai nilai projek berjuta-juta. Kadang berdebat seperti ahli parlimen dan orang politik. Sembang tentang kerajaan dan pembangkang. Tapi itulah, realitinya forum syok sendiri, berangan seperti Mat Jenin, kononnya begitu peka dan cakna dengan isu semasa dan politik negara. Padahal peranan sebenar lebih layak dipanggil kutu kampung.

Waktu itu, aku belum habis menamatkan apa yang sepatutnya aku tamatkan, dengan sesegera yang mungkin. Kemudian kalau ikut perancangan asal, aku teruskan merantau dan menetap di negeri lain atau dalam negeri sendiri. Asalkan jauh dari keluarga, untuk belajar hidup berdikari. Hidup di bandar besar kerana di sana ada banyak peluang kerja. Aku tak mempunyai target yang terlalu melangit. Bekerja cuma untuk kelangsungan hidup. Seterusnya menyumbang sesuatu buat keluarga sebelum aku sendiri berkeluarga.

Kawan sekutu yang lain juga meluahkan target hidup masing-masing. Ada yang belajar pun sudah tamat, masih menunggu kerja yang tetap, sambil berkerja sementara atau buat projek yang mendatangkan fulus. Jika sebelum ini cuba untuk berniaga, namun atas kekangan tertentu, bisnes tak menjadi, datang pula GST. Ada yang telah bekerja, tetapi sebagai pekerja biasa, yang mana gajinya tak sampai ke paras minimum setelah ditolak EPF dan lain-lain. Seorang lagi, baru habis pengajian juga. Turut menceritakan dilemanya untuk bekerja di mana.

Sebenarnya, banyak benda yang dibincangkan untuk masa depan. Kami berempat mempunyai hasrat untuk bekerjasama dalam mencipta pendapatan. Menjalankan usahasama untuk menjadi grup usahawan yang berjaya antara idea yang disebutkan. Banyak benda yang dilontarkan sewaktu berkumpul dan melepak. Bukanlah bercerita tentang sesuatu yang bersifat material seperti menukar sport rim, bercerita tentang barang motor, koleksi peribadi tertentu atau apa-apa jenis barang yang menjadi keterujaan pemuda pemudi. Kami berfikir tentang idea dan mengintai peluang.

Teringat dialog Jijo Alfonso Pareira Abdullah dalam filem Rock (2005). Ahli Rimba Bara sedang melepak di tepi tembok selepas menonton wayang. “Bujang datang dari kampung boleh berjaya, takkan kita tak boleh berjaya.. Kalau ada rezeki mesti boleh berjaya punya…kalau ada rezeki laa..”. Dulu aku tak tahu filem apa yang mereka tonton. Siapa yang bernama Bujang?

Black yang bersuara sengau sebut nama Osman Tikus. Entah siapa pula nama karektor Osman Tikus? “Oh, Osman Tikus.. Aku rasa kau pun macam Osman Tikus.. Aku rasa laa.. Pyan Habib pun best.. Kalau tak best, takkan orang panggil dia berlakon…” kata Jijo kepada Black. Sementara Amy Mat Piah tepuk bahu Zack, sambil tunjuk ke arah Kathy yang tak jauh dari hadapan mereka. Lalu, Zack terus jatuh dalam khayalan dan dendangan lagu Dari Sinar Mata (BPR). Bila aku ‘google’ Osman Tikus, barulah aku tahu tentang filem “Kembara Seniman Jalanan” yang begitu lagenda dipersada seni tempatan. Barulah aku mengenali insan bernama Nasir Jani.

Aku tengok filem Rock pun bukan baru lagi. Sejak 2005, aku masih lagi di Tingkatan 3, tonton menerusi VCD cetak rompak (biasanya banyak filem melayu dibeli VCD original, cuma tak semua. Lagi pun VCD cetak rompak di masa itu memang teruk kualiti gambar). Tanda tanya dalam kepala aku mengenai Bujang dan Osman Tikus tersimpan sampai 8 tahun lamanya. Aku tak tahu kenapa Nasir Jani tak buat filem yang power lagi. Mungkin salah satu sebabnya ialah kes cetak rompak. Iyalah, karya Bujang pun diciplak oleh syarikat rakaman lain.

Berbalik kepada cerita tentang aku sebagai kutu tadi (sampai sekarang pun masih kutu mungkin). Pernah kami bertiga melepak di pusat rekreasi Kolam Air Panas. Ketika itu hampir bulan puasa. Kami merancang hendak berniaga di Bazaar Ramadhan. Cadangnya nak jual air sahaja. Sebab modal pun tak seberapa. Duit syiling yang aku simpan sebelum ini ada dalam RM300. Aku beri ke seorang kawan yang mempunyai pengalaman berniaga, manakala aku sebagai rakan kongsi, yang lain pula memberi bantuan pasif.

Kami silap, kerana terlewat menempah slot tapak bazaar. Perancangan tersebut dibincangkan tanpa diteliti dengan lebih dalam. Kononnya, kami redah saja ikut stail koboi. Tapi, pistol tak berpeluru. Kemudian, tak jadi buat duit raya. Berniaga selepas raya pula. Kali ini, terkandas atas faktor bahan mentah. Buah yang nak dibuat air susah dapat di kawasan tersebut. Seorang kawan mempunyai resepi untuk membuat air limau asam boi. Kalau buah-buahan lain perlu modal yang mencukupi. Nak meniaga makanan bukan tahu masak.

Perancangan kami bukan menjadi penjaja kecil semata-mata. Kalau hendak diikutkan, banyak idea yang difikirkan bersama. Cuma, buat kali yang pertama ini sekadar meraih pengalaman. Lagi pun niat asal nak cari sedikit duit raya. Jika menjadi dan menguntungkan, duit itu akan dikumpul untuk menjalankan perniagaan yang lebih serius dan berpotensi jauh. Tak jadi buat duit raya. Tapi tak sangka pula tak menjadi kesemuanya. Kalau ada modal dalam RM2,000. Lebih baik meniaga burger macam kawan Osman Tikus.

Selepas projek tersebut terkandas kami bermuhasabah diri dan meneruskan haluan hidup masing-masing. Sementara itu, aku kembali menyambung semula tujuan yang hampir sahaja aku berputus asa. Tahun 2015, kami kurang melepak menjadi kutu lagi kerana masing-masing ada komitmen. Selama setahun itu, masing-masing berniat untuk kumpul modal sekali lagi. Aku sendiri, banyak meneliti idea-idea dan membaca pelbagai tulisan tentang idea yang menjadi sasaran menerusi bahan yang terdapat di dalam internet dan buku.

Entah bila masanya akan tiba untuk aku dan rakan seperjuangan yang lain dapat merealisasikan idea dan impian tersebut, untuk menjadi usahawan. Kalau Amy Mat Piah menerusi slogan keramatnya “Pantang anak petani moden mengundur kalah!!”. Sebolehnya aku berharap juga untuk mempunyai semangat waja seperti dia. Walau pun hakikatnya, Amy Mat Piah sendiri gagal menjadi vokalis Rimba Bara. Suara ke laut walau pun cuba makan telur ayam mentah. Tapi, Amy ada bisnes dan menjadi pengurus Rimba Bara. Tak kisahlah dia jual ais kacang sekali pun. Asalkan berhenti menjadi kutu.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s