Temujanji Kali Ketiga

Hari ini aku ke Hospital Segamat, untuk kali yang ketiga bagi pemeriksaan susulan akibat kecederaan kemalangan beberapa bulan lepas. Tulang tempurung lutut atau ‘patella’. Dijangkakan bahawa besi yang mengikat tulang tersebut akan dikeluarkan dan berkemungkinan aku perlu bermalam di wad lagi. Harapnya tidak berlaku. Aku pasti ramai juga yang tidak suka masuk wad.

Aku tiba di hospital pada pukul 1030 pagi secara bersendirian dan membawa beberapa keperluan (jika sah masuk wad). Abah tidak menemani kerana ada urusan kerja. Lagi pun telah sedia maklum, proses temujanji dengan doktor pakar di hospital kerajaan bukanlah sekejap. Aku menganggap perkara itu sebagai situasi yang normal. Selain merungut, kita mempunyai pilihan untuk ke hospital swasta dengan menyediakan kepala agong yang banyak kerana tidak bersubsidi.

Aku melangkah ke arah tempat pendaftaran dengan menyediakan sekeping RM5. Resit pembayaran disimpan untuk diberikan kepada petugas hospital bahagian pakar tulang, sebelum berjumpa dengan doktor. Aku memerhatikan keadaan sekeliling sebelum menuju ke Jabatan Pengimejan (x-ray), tidak ramai orang. Lega sedikit rasanya dan mungkin urusan lebih cepat diselesaikan.

Setibanya di tempat x-ray, sangkaan aku meleset kerana ramai yang sedang menunggu giliran. Mungkin di bahagian pendaftaran lengang kerana mereka semua datang awal pagi. Mujur tidak terlalu lama untuk sampai ke giliran aku. Lebih kurang jam 1130 pagi, aku selesai melakukan x-ray. Aku perasan ada sedikit pembaharuan terhadap sistem giliran. Terdapat sebuah monitor baru bersaiz 20 inci yang memaparkan nombor giliran. Lebih baik dari paparan sebelum ini yang menggunakan monitor kecil.

Kemudian aku menuju ke Pakar 4, iaitu bahagian khusus berkaitan tulang, termasuk juga pesakit tibi. Entah apa perkaitannya aku kurang jelas dan tidak pula terniat untuk bertanya sesiapa. Sewaktu pintu bahagian Pakar 4 dikuak, sekali lagi sangkaan aku meleset teruk. Kali yang ketiga ini lebih ramai dari sebelumnya. Semua tempat duduk kira-kira 50 kerusi telah penuh dan ada yang berdiri di muka pintu. Paling sesak setakat ini.

Aku mengambil nombor giliran, dalam masa yang sama amat terkejut kerana mendapat angka 1102. Sedangkan pada waktu itu angkanya menunjukkan 1020. Kalau dicongak, giliran aku tiba selepas pesakit yang ke-82. Aku termenung bila memikirkan keadaan tersebut. Tapi terperasan sesuatu, kelmarin hanya 5 bilik doktor, sedangkan hari itu terdapat 8 bilik doktor untuk temujanji. Sedang aku menoleh-noleh keadaan sekeliling, terdapat pula sebuah kerusi kosong untuk duduk.

Di sebelah kanan aku merupakan seorang pakcik berketurunan cina mungkin 60 tahun lebih umurnya. Di kiri pula seorang pakcik melayu yang sedang gamat berbual dengan pakcik lain yang mungkin sebayanya. Intipati perbualan mereka terarah kepada komplen dan kritikan terhadap hospital kerajaan. Pendapat mereka, hospital ini perlu dibesarkan lagi dan menambah doktor. Aku dan pakcik di kanan aku hanya berdiam diri.

Sementara itu aku melayari facebook. Antara kandungannya, MP Pandan, Rafizi Ramli didapati bersalah oleh Mahkamah Seksyen KL atas 2 pertuduhan memiliki dan mendedahkan halaman 98 laporan audit 1MDB. Diikuti dengan komen yang bergumpal caci maki baik penyokong kerajaan atau pun pembangkang. Aku tinggalkan isu tersebut dan terus skroll FB untuk membaca kandungan lain. Hampir pukul 1230 tengah hari aku masih disitu tidak berganjak.

Ramai orang lalu lalang, doktor keluar masuk bilik, kanak-kanan berlari, anak kecil berteriak menangis, ada yang riuh bersembang, ada yang bertopang, ada yang berkerusi roda dan bermacam jenis patah. Bosan dengan FB, aku cuba pula untuk membaca buku memandangkan ramai yang telah pulang. Namun tidak dapat fokus terhadap buku yang bertajuk Media = Setan. Sesuailah dengan tajuknya yang tertera setan.

Tiba-tiba aku terpandang seseorang yang aku kenal. Dia Encik Rahman, tauke kedai makan dan pemandu bas sekolah yang aku naiki dahulu. Tangan kirinya berbalut. Mulanya aku kurang pasti, tetapi melihatkan anaknya yang bernama Izzat dan isterinya Puan Bariah melintas di hadapan aku sambil tersenyum, maka tidak syak lagi. Aku menuju ke arahnya untuk bertegur sapa, kebetulan pula giliran aku telah sampai. Tidak dapat berbual panjang.

***

Aku masuk ke bilik nombor 3 dengan ucapan salam sebelum berbual santai. Kali ini dengan doktor perempuan muda (Mungkin 30-an). Doktor menerangkan keadaan lutut aku yang masih belum sembuh. Katanya kaki bahagian betis yang bersambung ke peha sedikit goyang. Aku pula memberikan keterangan tentang masalah yang dihadapi. Dia memberitahu tentang prosedur mengeluarkan besi yang mengikat tempurung lutut, akan dilakukan pada 8 Disember nanti.

Kalau tidak silap aku, 15 Ogos yang lepas, aku diberitahu prosedur tersebut akan dilakukan pada hari ini. Tapi, ditukarkan ke tarikh lain. Itu pun pada mulanya dia memberi tarikh 29 Disember tetapi aku meminta dipercepatkan. Maka paling cepat adalah 8 Disember. Puncanya jadual bahagian unit rawatan (minor surgery) agak penuh. Itu kata beliau dan aku pula tidak ada apa lagi hendak diperkatakan, lalu selesailah urusan pada hari itu.

Jam menunjukkan 2 petang. Pakcik Rahman juga baru keluar dari bilik doktor lain serentak dengan aku. Tangannya mengalami luka yang besar akibat terkena kaca semasa di kebun serta putus urat. Kalau tidak salah dengar, begitulah. Mungkin dia terjatuh dan terkena kaca. Sementara dia masuk ke bilik rawatan, aku berbual panjang dengan Izzat. Bertahun-tahun tidak berjumpa. Kali terakhir pada tahun 2004 dulu ketika aku tingkatan dua. Aku lebih tua dua tahun serta sebaya dengan kakaknya.

Waktu yang sungguh lama tidak bertemu dengan keluarga Pak Cik Rahman, terutamanya mereka dua beradik. Lagi pun, mereka berpindah ke sekolah menengah berasrama selepas darjah enam. Sempat juga aku bertanyakan tentang Izzati Aqilah, iaitu kakaknya. Sekarang mereka berdua menetap dan berkareer di JB. Dulu aku terlalu segan dan sangat kurang berkomunikasi dengan Izzati walau di hati teringin untuk berkawan. Apa yang nyata, dia sekadar kenalan dan termaktub dalam kenangan.

Aku menghubungi Abah beberapa kali agar menjemput pulang tetapi tak dapat dihubungi. Sementara itu meneruskan perbualan dengan mereka bertiga tentang keadaan masing-masing. Kemudian Mak Izzat mempelawa untuk menghantar pulang. Tanpa berfikir lama, aku terus menyambut pelawaan tersebut memandangkan gagal menghubungi Abah. Petang itu, pada pukul 3 lebih barulah aku sampai di rumah.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s