Pembedahan Kecil

Untuk kali yang kelima aku ke hospital pada pagi ini, bagi menjalani pembedahan kecil di lutut. Dawai besi yang mengikat tempurung lutut akan dikeluarkan setelah beberapa bulan hidup bersama. Sebenarnya aku tidak selesa dengan keberadaan dawai tersebut kerana ada kalanya menyebabkan sendi terasa sakit dan sengal bercampur sedikit bisa seperti terhantuk pada sesuatu.

Pada Julai lalu, aku menjalani fisioterapi yang pertama. Dua bulan kaki aku sentiasa dalam keadaan lurus. Sendi lutut tidak boleh dibengkokkan kerana menunggu tulang tempurung lutut bercantum dan sembuh. Kini telah disahkan oleh doktor bahawa tulang tersebut telah bercantum. Sembuh, tetapi tidak sama seperti keadaan asal. Tidak rata dan ada sedikit bonjolan pada tempurung yang agak ketara.

Aku mempunyai masalah pada sendi lutut setelah dua bulan kaki tidak dapat difungsikan. Kaki tidak boleh bengkok kerana otot disekitarnya telah kecut dan luka dalaman pembedahan kelmarin menyebabkan ianya melekat. Peha dan betis menjadi kecil kerana ototnya menyusut. Di sinilah latihan pemulihan pergerakan atau fisioterapi berperanan.

Doktor pernah memberitahu tentang situasi berkenaan sememangnya begitu. Sedangkan warga emas, apabila kaki tidak bergerak selama dua minggu sahaja sudah cukup, sendi menjadi ketat. Aku pula selama dua bulan dan ditambah dengan luka dalaman. Bukan menjadi ketat, tetapi terus kaku. Kali pertama ketika aku cuba membengkokkan sendi, tak sampai 20 darjah. Sekarang lebih kurang 45-50 darjah hasil senaman di rumah dan fisioterapi.

Sekitar September aku merasakan kesakitan di bahagian sendi menjadi-jadi. Dawai tersebut bergeser dengan tulang pada sisi sebelah kiri. Seingat aku 4 kali setelah bangun dari tidur, waktu hendak berdiri terasa sengal bisa sehingga tidak dapat memijak lantai. Sebabnya baring mengiring ke kanan, mungkin dawai itu beralih. Mulanya panik, bila sudah beberapa kali aku rileks. Dengan membuat pelbagai pergerakan sehingga berbunyi letup seperti ‘mematahkan atau meletupkan’ jari jemari barulah lega.

Begitu pula sewaktu fisioterapi yang entah kali ke berapa, telah menyebabkan kesakitan pada sendi. Tak syak lagi memang dawai tersebut menjadi punca. Pada hal, waktu awal kelmarin tidaklah mendatangkan masalah untuk mengangkat beban dengan cara menolak pemberat di betis ke atas.

Pagi itu bukanlah hari yang ditunggu dengan perasaan teruja. Perasaannya di antara seram sejuk sambil berharap detik tersebut berlalu segera. Sampai di hospital terus ke bahagian pendaftaran. Biasanya 5 ringgit, oleh kerana ini untuk prosedur ‘minor surgery’, bayarannya 15 ringgit. Tak jangka akan menunggu lagi dengan begitu lama. Giliran aku yang ketujuh. Ramai orang tua yang mempunyai masalah lutut, dan entah cecair apa yang disuntik tidak pula aku tahu. Macam minyak enjin gamaknya.

Setelah sejam lebih, aku menukar pakaian sebelum masuk ke bilik bedah. Doktor menerangkan prosedur sebelum memulakan. Kemudian aku berbaring di atas katil dengan dikelilingi pasukan bedah, 7-10 orang agaknya, aku tak perasan. Entah mengapalah yang cantik-cantik bekerja di situ, biasanya jururawat. Tukang bedah doktor lelaki, yang lain mungkin sebagai dayang-dayang. Pembantu kepada doktor.

Seperti biasa, tak dibenarkan melihat. Aku mengira sebanyak enam kali bius diberikan. Ini mengimbau kenangan sewaktu berkhatan dulu. Boleh tahan jarum suntikannya. ‘Sedapnya’ dicucuk dan sekejap saja. Keadaan paling meruncing apabila doktor menarik dawai itu keluar. Walau pun berbius tapi tetap rasa sakit. Berpeluh dibuatnya, dalam suhu bilik seperti peti ais. Tak apalah sakit, sebagai kifarah  atau penghapusan dosa lalu. Bermula 1145 dan berakhir pada 1250.

Tempat yang dikerat lebih kurang 4 cm. Selepas dicuci dan dijahit, luka cuma ditampal ringkas dengan kapas. Boleh berjalan seperti biasa tanpa was-was. Apa yang menariknya, kaki seperti ringan dan sendi terasa longgar sedikit. Kemudian pergi mengambil ubat di farmasi. Sekotak besar pil antibiotik, 40 papan kalau tak silap. sepapan panadol, penahan sakit dan anti-bengkak. Terakhir, balik rumah dan pekena nasi ayam Mustafa.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s