Pemeriksaan Akhir

Selepas menjalani pembedahan kecil sebulan yang lalu iaitu pada 8 Disember 2016, ternyata semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja. Tidak ada kerengsaan lagi di bahagian sendi lutut. Pergerakan lebih selesa. Cuma masih lagi belum boleh bengkok dan lipat sepenuhnya. Ah, rindu sungguh hendak duduk antara dua sujud, bersila, dan mencangkung.

Sepatutnya aku hadir ke klinik kesihatan Labis untuk fisioterapi. Latihan di sana lebih intensif dan dipandu oleh jurupulih berbanding melakukan senaman di rumah. Tapi selepas pembedahan kelmarin aku belum menetapkan temujanji baru kerana pulang ke kampung iaitu rumah datuk nenek di Buluh Kasap.  Aku merasa aman di sini dan berat hendak pulang ke Labis. Ya, untuk kecederaan fizikal sudah sembuh. Aku perlukan ruang untuk jiwa agar kembali bersemangat.

Tentang pusat fisioterapi, dulu aku menyangka perlu berulang alik ke Hospital Segamat. Sejak klinik Labis yang baru telah siap mujurlah dekat dengan rumah. Kedua, aku tak menjangkakan untuk bertemu semula dengan kawan lama zaman sekolah dahulu. Dia menjadi jurupulih di situ. Terlalu banyak perkara untuk dibualkan, terutamanya kenangan zaman persekolahan dan perkembangan sekarang.

Di kala aku menjalani pemulihan, seorang sahabat karib yang cukup aku kenali dengan begitu rapat, juga mengalami tragedinya yang tersendiri. Kecederaan pada otot dalaman lutut atau ACL, sewaktu bekerja, sebelum aku kemalangan lagi. Kami bertiga bertemu di klinik setiap kali fisioterapi.

Berbalik kepada tujuan pada hari ini. Aku ke hospital untuk bertemu doktor pakar tulang. Berharap ini adalah urusan dan temujanji terakhir berkenaan lutut. Ternyata memang begitulah kesimpulannya. Doktor mengesahkan bahawa kaki aku telah pulih dan meminta diteruskan aktiviti fisioterapi.

Kali ini pergi sendiri dengan menunggang motor tanpa merasa serik dan fobia. Aku terbangun lewat. Konon hendak baring sebentar sementara menunggu pukul 8 pagi dan bersiap. Setibanya di sana sudah pukul 10 pagi. Sebagai ‘hukuman’ akibat keterlewatan ini, giliran untuk berjumpa doktor menjadi lama. Maka, jadilah aku seorang penunggu pada hari itu. Malangnya lagi, telefon tidak sempat dicas penuh. Bateri hanya 15 peratus.

Selepas mengambil angka giliran, aku keluar ke kantin untuk bersarapan. Tidak banyak juadah yang tinggal. Aku mengambil sepinggan mee goreng dan telur mata, serta teh o ais. Ada seorang pakcik yang bersarapan seorang diri. Aku datang ke mejanya dan memulakan pagi itu berbual dengan seorang yang tidak dikenali. Bertukar cerita sakit masing-masing, berlanjutan ke perkenalan dan latar belakang. Dia menetap di Felda Redong, berjiran pula dengan saudara mara aku. Bekerja majlis daerah. Tujuannya pada hari itu untuk pemeriksaan kesihatan. Darah tinggi katanya, kalau tak silap aku.

Hampir sejam aku duduk di kantin, ingatkan giliran sudah hampir. Tambah lagi sejam barulah masuk ke bilik doktor, nombor 9. Aku perhatikan, lebih ramai brader berbanding orang tua. Mungkin dalam lingkungan 30-an. Ada yang datang dengan anak kecil dan isteri. Aku lebih banyak mendengar cerita daripada mereka berbanding bercakap tentang keadaan aku. Ramai yang mengalami kecederaan ACL, termasuklah dia, kata salah seorang brader yang sampai awal daripada aku.

Di hadapan aku merupakan seorang doktor perempuan muda berbangsa cina yang manis wajahnya dan begitu lemah lembut butir bicara. Dia bertanya mengapa aku tidak melakukan x-ray terlebih dahulu. Aduh, sekali lagi aku menyebabkan urusan menjadi lambat. Borang x-ray tertinggal di rumah. Dia memberikan borang baru dan menyuruh aku melakukan x-ray. Tapi, bila dikenang semula kesulitan yang lebih perit aku alami sebelum ini, tidaklah terasa menyusahkan, tambah lagi aku yang cuai. Mujurlah hanya setengah jam sahaja untuk melakukan x-ray.

Semasa menunggu di jabatan pengimejan, ada seorang pakcik sedang menunggu isterinya x-ray, akibat kecedaraan tulang belakang, atau ‘slipped disc’. Dia merungut dan bicaranya kecewa-marah terhadap pihak hospital. Biasalah, kata aku dalam percubaan menenangkan perasaannya. Masalah terlalu lama untuk menunggu giliran merupakan hakikat yang perlu ditelan. Kalau ada duit banyak, semuanya boleh disegerakan dengan merawat di hospital swasta. Tak perlu menghabiskan masa yang sangat lama untuk berjumpa doktor hospital kerajaan. Pesakit terlalu ramai.

Urusan aku di bilik x-ray hanya beberapa minit sahaja, manakala isteri pakcik tadi masih belum keluar. Kami menyambung perbualan, dia tidak lagi tertekan seperti diawal perbualan. Katanya, orang yang sakit lebih penyabar dari yang sihat. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tentang penyakit yang dihidapi, kesabaranlah merupakan antara ubat yang paling mujarab. Teringat pakcik di kafeteria tadi menceritakan perihal Nabi Ayub. Kesabarannya begitu tinggi dan cekal waktu ditimpa penyakit kusta. Bahkan untuk seorang nabi yang maksum, ujian tersebut mengangkat darjat baginda ke martabat yang lebih tinggi. Kita manusia yang tidak terlepas dari kesilapan mendapat sakit sebagai penyucian dosa.

Selepas kembali semula merujuk doktor, tiada lagi temujanji kelima berkenaan kecederaan lutut. Aku melihat jam sudah pukul 1 petang dan terus pulang ke rumah.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s