Tibanya Musim Hujan

Hujan tidak berkunjung teduh semenjak semalam. Malam, di rumah berdindingkan papan kala hujan, sejuknya sungguh menggigit hingga ke tulang. Di tambah deruan angin menerobos ke segenap rongga pengudaraan dan celahan papan, rumah datuk sebelah ibu.

Lapar telah menggugah keinginan melelapkan mata. Hanya sekali sahaja mengisi perut pada siangnya. Aku hanya berbaring di dalam bilik. Memikirkan peluang berhentinya hujan, untuk keluar ke kedai makan. Di rumah, telah kehabisan sumber makanan. Mee segera kehabisan stok, biskut kering berbaki habuk. Apa yang ada hanyalah segelas teh.

Fikiran aku membeku kerana terganggu dengan gemersik curahan hujan yang menimpa atap Ajiya. Lalu aku hanya berbaring dan mendengarkan saja irama tersebut sambil mengimbau kenangan lalu bersama rumah tua ini. Banyak kenangan dan sejarahnya. Serba sedikit aku cuba untuk mengerti mengapa Atuk tidak mahu membina semula rumah ini kepada rumah batu yang baru. Terlalu tinggi nilai sentimental Atuk terhadap rumah ini. Pasti hingga ke akhir hayat. Bukan tidak mampu, bukan tidak diusulkan oleh saudara-mara. Tetapi keputusannya muktamad. Tidak!

Malam tadi, aku terlena tanpa disedari. Tetap juga hujan tidak berhenti. Pagi itu, sedikit kelam kabut. Hujan sangat lebat. Parit di belakang dapur tak dapat menampung air dari atas tebing hingga melimpah keluar. Mengalir ke longkang kecil di tepi rumah. Di tengah dapur terdapat saliran bawah tanah yang berhubung dengan longkang kecil di luar. Mujur Pokteh bertindak cepat dengan menolak dedaunan kering dan ranting yang tersangkut, supaya tidak menghalang laluan air. Kalau tidak, rumah atas bukit juga boleh banjir.

Aku berpayung memeriksa sekeliling rumah. Halaman depan telah digenangi air. Bukan lagi lecak atau lopak. Parit yang mempunyai saluran bawah tanah segera ditujah dengan kayu untuk memastikan pengaliran lancar. Bagaikan air terjun kecil di hujungnya yang bertebing.

Gambar sekeliling rumah yang sempat aku rakamkan, dihantar kepada grup ‘whatsapp’ milik keluarga dengan ulasan “jemput datang ke taman tema air”. Mencuit hati saudara mara, terutama adik sepupu dan mencetus pelbagai gurauan.

Berjam-jam lamanya hujan pada hari Sabtu itu. Lebat dan gerimis bersilih ganti. Langsung tiada cahaya matahari sepanjang hari. Aku tertanya-tanya juga keadaan di rumah Nenek sebelah bapa. Rumah di sini dan di sana memang sama saja keadaannya. Sejuk dan mendamaikan pada sebelah malam. Inilah keistimewaan rumah papan. Tidak perlu memasang pendingin hawa. Cuma siang memang membahang. Cuma bezanya di sana merupakan kawasan rendah dan kerap terjadi musibah banjir.

Hujan yang berterusan begini, cukuplah tiga ke empat hari untuk membanjirkan seluruh kampung. Kampung Kuing Patah (atau Keruing) di mana kedudukannya berdekatan dengan sungai Muar-Buluh Kasap. Aku berharap tidak banjir pada awal tahun 2017 ini dan menitipkan doa. Bukankah kita dianjurkan berdoa sewaktu hujan? Bukankah juga turunnya hujan itu merupakan satu rahmat.

Hajat untuk ke sana pada sebelah petang aku tangguhkan. Lebatnya hujan menyambung hingga ke malam. Lagi pula, baru hari ini hujannya luar biasa. Nenek ada menelefon dan memberi tahu keadaannya di sana, terbit kerisauan di hati. Di sana, Nenek cuma duduk berdua dengan ibu saudara, yang berpangkat moyang saudara kepada aku. Mungkin inilah faedahnya bila keluarga ibu dan bapa berdekatan. Mudah untuk menjenguk kedua belah pihak.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s