Sabtu Tahun Baru Cina 2017

Pagi itu, terdapat ramai orang luar datang ke kampung untuk menjala ikan. Penonton sahaja yang ramai, yang menjalanya cuma tiga orang. Bergasak mereka berborak di situ. Seorang pak cik yang berumur awal 60 masih tegap lagi menebar jala. Hasilnya berupa ikan keli, ikan duri, anak ikan seluang dan beberapa ekor tilapia bersaiz tapak tangan. Ikan keli yang paling banyak. Rupanya ada yang melepaskan banyak ikan keli pada awal pagi tadi. Aku melihat, pak cik yang sedang menjala ini turut sama mendapat rezeki.

Tujuan kami pada pagi itu bukan untuk tengok orang menjala, tetapi mempunyai tugas untuk memberi lembu peliharaan nenek makan dan minum. Semuanya ada 8 ekor dan diletakkan di muka jalan masuk ke kampung. Parang pula tertinggal. Ketika sedang memerhati sekeliling, aku terpandang sebuah RXZ Bosch berwarna biru muda, mat rempit menggelarkan biru bohjan. Rupanya Pak Cik Azman yang berkaca mata ray-ban dan bertopi. Malam semalam dia sampai dan tidur di balairaya. Mak Cik dan tiga orang anaknya datang dari Batu Kikir nenaiki kereta.

Abah, Angah dan Poksu pulang ke rumah untuk mengambil parang. Hanya Angah dan Pok Su yang datang semula kerana abah mengikut rombongan pertunangan sepupu di Melaka. Aku dan Pak Cik pergi meredah air sehingga ke jambatan kereta api untuk mengetahui sama ada lepas untuk pergi ke rumah atau tidak. Keputusannya, banjir tidaklah begitu meruncing. Jadi, selepas pukul 2 petang nanti Pak Cik mengajak kami bertiga masuk ke sana. Sebelum itu potongkan rumput untuk memberi lembu makan.

Kami terperasan satu lopak air yang berlendir di permukaan jalan tar, lantas menimbulkan seribu tanda tanya. Rupa-rupanya air kantung perut lembu telah pecah. Seekor lembu betina melahirkan anak mungkin seawal subuh tadi. Nenek belum tahu lagi. Pak Cik secara berseloroh hendak menamakan anak lembu itu dengan nama Ah Cai atau Ah Meng. Apabila diperiksa rupanya anak lembu betina. Terpaksa tukar nama lain. Kini lembu atuk bertambah kepada 9 ekor.

Tidak beberapa lama kemudian, Pok Teh dan abang sepupu sampai untuk melihat keadaan banjir. Sepupu aku iaitu anak Pak Cik Azman keempat bernama Abe turut berada di situ. Cuma dari tadi tidak perasankan dia yang khusyuk memancing berdekatan tempat lembu ditambat. Tiga ekor keli telah didaratkan dengan mengguna pelepah saeit sebagai joran. Abe memang penghanyir, maksudnya dia memang mudah dapat ikan. Kalau dulu memancing beramai-ramai dengan sepupu, dialah yang paling banyak dapat.

Tengah hari itu kami beredar, kemudian membeli barang dapur di Pasaraya Billion Taman Yayasan. Banyak kedai orang cina tutup, sekurang-kurang tiga ke lima hari. Sampai di rumah, makan tengah hari beramai-ramai. Cuma budak-budak yang tidak mengikut rombongan. Kemudian berehat sebentar, mandi dan menunaikan Zohor. Pukul 2.30 petang kembali semula ke lokasi banjir. Pak Cik Azman telah menunggu di sana untuk masuk ke rumah untuk meninjau dan mengambil barang. Terdapat beberapa barangan yang dipesan oleh nenek.

Setibanya di sana, Mak Cik Elly bersama Atikah, Hafiz dan seorang cucunya sedang berkelah di bawah pokok, sambil menemani Abe memancing. Lebih dari sepuluh ekor keli telah didaratkan. Tanpa bersembang banyak, kami terus bergerak masuk kampung. Paras air sehingga ke jambatan kereta api cuma di bawah lutut. Di jambatan kereta api berada pada paras peha berarus sedikit deras. Kemudian, jalan di hadapannya kering kerana jalan kampung telah meninggi selepas diturap beberapa kali. Kawasan halaman rumah, ditenggelami air semakin ke belakang paras air semakin dalam mencecah pinggang.

Hafiz yang berketinggian lebih kurang satu meter pada mulanya takut-takut untuk meredah air yang separas dadanya. Selepas dibenamkan dan dihenjak ke dalam air oleh adik aku, Hafiz seakan mendapat satu keyakinan untuk bermain air. Malah menjadi-jadi perangainya dengan menyepak air menggunakan tangan kepada orang lain. Aku, Pak Cik Azman dan Poksu masuk ke dalam rumah untuk mengambil barangan tertentu. Puas mencari kucing nenek yang tak berhenti mengiau. Rupanya berada di atas bumbung dan seharian belum makan.

Keadaan dalam rumah tiada sebarang masalah. Banjir tidak mencecah lantai rumah atas. Kami mengambil beberapa barangan yang diperlukan. Alang-alang sudah ke mari, nenek memberi tugasan. Mee segera, gula, susu krimer dan teh. Tak lupa juga sebuah radio kecil dan bedak Cuticura. Aku menahan ketawa apabila menerima pesanan tersebut. Angah pula memberi makan kucing sebelum kami bertolak keluar dan menyelamatkan seekor ayam betina yang kelihatan lapar dan letih berdiri di atas tiang kayu. Pasangannya ayam jantan baka siam, telah pun menjadi bangkai. Mungkin malam Jumaat lepas, musang telah menangkapnya.

Tidak ada sebarang masalah ketika pergi dan balik. Kami sempat melihat pelbagai kejadian alam kesan banjir. Busut tenggelam menyebabkan anai-anai mati kelemasan dalam kuantiti yang banyak. Semut api membuat rakit besar dengan saling berpautan. Lain-lain, terdapat banyak siput gondang dan pelbagai jenis serangga yang bergelut untuk menyelamatkan diri. Jam menunjukkan pukul 4 petang. Suasana di jambatan putus terlalu sarat dengan pengunjung untuk melihat air, menjala dan memancing. Bagaikan karnival. Tugas terakhir adalah memberi lembu minum. Orang yang datang tidak menampakkan tanda untuk berkurang. Terpaksalah mencari jalan untuk memberi lembu minum. Kebetulan ada sebuah kalbad yang dipenuhi air.

Pukul 6, Pokde Norman sedang menggodek C70 miliknya di rumah atuk Mat. Walau pun injen telah dimasuki air, masih boleh diselamatkan dengan kepakaran Pak Cik Azman dan dibantu Angah. Selepas mengeluarkan minyak hitam yang telah bercampur air, plug dibersihkan. Ekzos dibuka dan dikeringkan segala ruang yang dimasuki air. Kemudian dituang minyak hitam baru. Setelah beberapa kali mencuba, injen berjaya dihidupkan. Mak Cik Elly pula pergi menjamu selera ke warung berdekatan bersama anak cucunya.

Menghampiri Maghrib, rombongan meminang selamat pulang. Mak Cik Elly menumpang siang ikan. Pak Cik Azman rancak berbual dengan saudara aku sebelah emak tentang pengalaman tenteranya. Poksu melayan beberapa perlawanan PES. Semua yang ada, menunggu lauk siap dimasak. Keli yang dipancing petang tadi, cadangnya hendak dibuat masak lemak. Oleh kerana tidak cukup bahan, terpaksa digoreng berlada dan digandingkan dengan bermacam lauk pauk yang lain. Di rumah atuk bagaikan sebuah kenduri pada malam itu. Selepas isyak keluarga Pokde balik ke Muar, manakala Pak Cik Azman kembali ke balairaya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s