Februari 12 Ahad

​Masa berlalu terasa begitu pantas sekali. Seperti hari ini, tanpa sebarang kesibukan dari melakukan sesuatu yang mempunyai tujuan penting. Bermula saatnya terjaga pada awal pagi tadi. Dingin, mendung dan merajuk. Bukan aku, tetapi sang mentari. Melihatkan suasana itu, aku kembali menyambung beradu. Bukan kerana mengantuk, cuma aku tidak mahu bangun.

Lenguh semalam masih belum hilang kerana lama tidak melakukan kerja menyangkul. Parit dan saliran di belakang rumah yang berdindingkan tanah, runtuh akibat hujan yang berterusan selama empat hari dua minggu lalu. Melihatkan tanah yang memenuhi segenap parit, jika tidak digali semula bakal menyebabkan limpahan air hujan ke dalam rumah. Dua hasta lebar dan satu hasta kedalaman. Itu pun cuma tiga kaki panjang tanah yang digali. Lembiknya badan yang terlalu banyak berehat.

Aku tinggalkan petang semalam dan kembali semula pada hari ini. Bermula dengan bunyi motor Pokteh, Poksu dan terakhir Angah. Mereka bertiga meninggalkan rumah dengan tujuan masing-masing.  Aku hanya selesa berbaring, memejam mata namun tidak nyenyak. Sekadar tidur-tidur ayam dan tidak mempedulikan ke mana mereka pergi.

Hampir tengah hari, aku melihat terik di celahan dinding papan yang renggang. Di sebuah kerusi, terletak senaskah akhbar Mingguan Utusan. Aku hanya menyelak seluruh halaman sisipan hiburan Pancaindera. Membaca tajuk sahaja sudah tahu ceritanya sampah. Entah di mana berita hiburannya dan entah mengapa membacanya, aku tidak tahu. Tapi itu bisa dimaafkan kerana terdapat gambar artis wanita cantik dan seksi yang ringan. Itu pun entah siapa muka-muka baru. Jarang menonton TV kebelakangan ini.

Menginjak waktu zohor, aku mencapai tuala untuk mandi. Pukul 2, Pokteh menyambung kerja menggali parit. Dua orang lagi masih belum pulang. Kemudian, aku membantu setelah di suruh. Cangkul garfu tiga batang itu dipakuk ke tanah yang sedikit gerewel. Tanah yang telah digemburkan itu disodok keluar menggunakan skop. Sekali lagi lenguh menangkap pinggang dan otot belakang. Hujan gerimis sekejap berhenti sekejap turun. Tidak lama kemudian, dua orang itu pun pulang dengan beberapa topik untuk disembang sambil melakukan kerja. Pukul 4, aku terus berehat dan makan.

Petang dihabiskan dengan membelek telefon tangan sambil mendengar lagu. Angah pula berkemas untuk pulang ke Rawang. Pak Ngah dan sepupu aku yang tidak jauh rumahnya di hadapan menuju ke sini, bersalaman dan menyaksikan Angah bertolak. Kemudian Pak Long dan Mak Long tiba. Maka berboraklah saudara mara semua di hadapan rumah dan bersurai menjelang senja.

Malam tiada apa yang hendak dilakukan. Masing-masing tekun membaca kandungan telefon, tanpa terlalu mempedulikan berita di saluran Awani. Tiada lagi Buletin Utama dan Berita Nasional yang menjengkelkan. Sesekali Pokteh melontarkan pendapat berkenaan isu semasa dan politik. Sekadar membuat ulasan tambahan tentang apa yang dibacanya dari facebook, atau bahasa lainnya berspekulasi.

Tak lama kemudian, aku dan Poksu ke kedai makan berhampiran yang berjarak hanya beberapa kali menapak. Sepupu bersama isteri dan adik iparnya turut makan malam di situ. Jam 2230, Poksu mula gerak pulang ke Johor Baru, sepupu pula balik ke rumahnya. Berbaliklah semula kepada tiga anggota asal yang menetap di situ, iaitu aku, Pokteh dan Atuk. Hujan masih sama seperti siang tadi, sesekali turun dan berhenti sambil aku menuliskan peristiwa hari ini.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s