1990: Asal Usul

Masyarakat kebanyakan berkata, kanak-kanak yang lahir era 80-an hingga 90-an membesar di zaman yang menyeronokkan. Walau pun tanpa kemodenan yang pesat, gajet dan teknologi yang canggih. Secara nostalgianya, aku rasa bersetuju terhadap kenyataan tersebut kerana aku melaluinya sendiri. Suasananya lain benar dengan sekarang, dan aku merindukan saatnya membesar pada waktu itu.

Mungkin itu sekadar persepsi dan perspektif menurut suara majoriti agaknya. Di mana pada ketika ini, pengguna laman sosial ramai dalam kalangan pemuda pemudi yang membesar di era tersebut. Bukanlah cuba bersikap elitis dan bermegah terhadap generasi yang lahir zaman milenium; bermula tahun 2000. Zaman mereka pun seronok, itu pada sudut pandang mereka. Senang kata, setiap zaman ada kelebihan dan keseronokan yang tersendiri.

Kali pertama aku berada di dunia ini tidak pasti. Sama ada penghujung tahun 1989 atau awal 1990. Maksud aku waktu roh ditiup ke dalam jasad dulu. Kemudian aku hanya bersantai di alam rahim seorang ibu untuk beberapa bulan, sebelum keluar menjengah dunia yang fana’. Malah, terdapat pelbagai onak dan duri di dalam perjalanan hidup ini. Dunia yang dipenuhi kekejaman, kezaliman, dan dikotori oleh tangan manusia yang melakukan pelbagai kerosakan di bumi. Wah, terlalu dramatik nampak gayanya.

Dunia tidak salah, tetapi perangai manusia. Mujurlah masih ada ramai lagi manusia yang berperikemanusiaan dan bertamadun. Kalau tidak, masakan dapat menghirup udara sehingga hari ini. Bersyukur pada Tuhan dengan tidak terukur nilai kesyukuran, kerana aku dilahirkan pada waktu keamanan. Kalau hendak dinyatakan penghargaan dan rasa syukur ini memang tak terkata. Kita tidak memilih untuk dilahirkan sebagai bangsa apa, di negara mana, tahun bila dan beragama apa. Tahu-tahu saja sudah terlahir ke dunia ini. Itu semua nikmat kurniaan Tuhan. Dulu lagi aku pernah didatangi persoalan semacam ini, cuma baru sekarang dapat dikarangkan semula.

Namun persoalan aku tidak terhenti setakat itu. Buntu juga memikirkan, kenapa perjalanan hidup manusia berbeza-beza. Mengapa ada yang bernasib baik dan ada yang bernasib buruk? Bagi meringankan bebanan persoalan tersebut, cukuplah berserah kepada Tuhan semata-mata. Kerana Dia yang satu, maha mengetahui segala perancangan yang dibuat dan kerahsiaannya tidak terjangkau oleh sesiapa pun. Justeru yang paling mustahak untuk difikirkan ialah arah berserta tujuan dalam kehidupan ini.

Beberapa bulan yang lalu aku ada membaca majalah bertemakan keagamaan, iaitu majalah Solusi. Terdapat sebuah anekdot yang menyatakan sebelum wujudnya jasad diri ini, sesungguhnya kita telah mengadakan perjanjian dengan Allah. Kita telah berjanji akan mengabdi hanya kepada Allah semata. Di dalam diri manusia tersimpan bukti yang paling besar yang dapat dijadikan sebagai bukti bahawa ada Zat yang paling Agung yang telah menjadikannya.

Turut menjadi bukti, menerusi ayat 172, surah Al- a’raaf: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?”. Mereka menjawab: ” Betul Engkau Tuhan Kami, kami menjadi saksi.” (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ke-Esa-an Tuhan”.

Nampaknya terdapat perjanjian yang telah dilupakan sewaktu di alam roh suatu ketika dahulu. Timbul pula bermacam lagi persoalan, mengapa bila lahir ke dunia, manusia lupa. Aku rasa, itu sudah masuk topik yang baru. Rumit dan mendalam buat diri ini yang sedikit pengetahuan tentangnya. Cuma, apa yang aku tahu, dikatakan bahawa persoalan tentang roh ini tidak banyak diterangkan dalam al-Quran. Itu urusan mutlak Tuhan.

Berkenaan perkara yang bersangkutan dengan tahun 90-an, lebih spesifiknya 1990, aku membesar di Malaysia, pada ketika negara ini sedang membangun dan sedang dipacu ke arah pemodenan. Ketika itu, Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat. Timbalan pula Encik Ghafar Baba. Manakala Dato Seri Anwar sebagai Menteri Pendidikan pada tahun itu. Boleh dikatakan kepimpinan negara dihiasi nama-nama besar lainnya seperti Daim Zainudin, Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan ramai lagi. Najib pada masa itu, aku kurang pasti jawatan yang disandang olehnya. Begitu juga Big Mama, belum cukup terkenal di seluruh negara mahu pun dunia.

Di Tanah Melayu ini, aku berasal dari negeri Jauhari. Dari kawasan Buluh Kasap, Batu Bara (atau nama lama bagi sungainya disebut Rantau Panjang) hingga ke daerah yang namanya dipetik dari binatang bernama Labi-labi, di situlah asal usul seluruh keluarga aku. Manakala sebelum menjadi daerah Labi-labi, segalanya bermula dengan pembukaan Kampung Tenang. Ibu berasal dari ‘parlimen’ Batu Bara, yang kemudian namanya bertukar setelah mendapat inspirasi dari peristiwa meminum air sungai yang Segar Amat. Manakala bapa berasal dari Tenang atau Labi-labi iaitu di sebuah kampung yang mempunyai sungai berpaya dipenuhi rumput rumpai berwarna merah. Makanan kegemaran labi-labi. Sampai di sini sahaja, sekadar mukadimah cerita asal usul aku dan keluarga sebagai anak jati Darul Takzim.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s