1990: Kelahiran Seorang Putera

Lebih kurang pukul 2 pagi, 19 hari bulan Jun, doktor menyambut kelahiran seorang bayi lelaki. Tanpa sebarang komplikasi dan timbangan berat bayi juga pada kadar normal, kalau tidak salah 2.85kg. Proses kelahiran berlangsung di Hospital Segamat yang lama, terletak di jalan Segamat-Muar. Bangunan hospital lama itu, telah bertukar menjadi kolej kejururawatan sehingga ke hari ini. Pada awal pagi itu, secara rasminya pasangan suami isteri ini telah memperolehi darjah gelaran ibu bapa di atas kelahiran putera sulungnya. Maka perkhabaran gembira itu bercambahlah dalam kalangan ahli keluarga, saudara mara dan rakan taulan.

Aku cuba untuk mengingati semula kisah dan peristiwa seperti mana yang diceritakan oleh emak. Namun, ingatan tersebut mempunyai kesamaran. Tarikh perkahwinan emak dan abah juga sudah terlupa. Cuma emak pernah bercerita waktu aku masih bersekolah rendah, dan cerita ini berulang-ulang sehinggalah aku meniti remaja dan dewasa. Ketika abah berkahwin, umurnya 30 tahun. Manakala jarak umur emak dengan abah pula 7 tahun. Maka, sewaktu emak berkahwin, umurnya 23 tahun dan perkahwinan tersebut berlangsung pada tahun 1989.

Menurut emak ketika mengandungkan aku, tidak ada sebarang masalah. Meski pun ini pengalaman pertama, tidaklah terlalu menggusarkan baginya, kerana ramai penasihat terdiri daripada ahli keluarga, terutamanya nenek. Sekadar beberapa simptom ketika mengandung itu hal biasa, seperti apa simptomnya aku kurang jelas dalam bab ini. Beberapa alahan peringkat awal itu biasa, tentang mengidam pula mungkin tiada. Cuma, tentang pengamalan, nenek menggalakkan supaya membaca al-Quran, dan terdapat juga pelbagai bahan bacaan, buku serta majalah sebagai wadah untuk menambah ilmu pengetahuan tentang kelahiran. Cerita lain yang aku ingat, Mak Long dan Pak Long juga masih bekerja di sana.

Selepas keluar dari hospital, emak menjalani proses berpantang di rumah nenek dan dibantu oleh bidan kampung, kawan kepada nenek. Kepakaran bidan tersebut dalam perkhidmatan mengurut, perawatan sebelum dan selepas bersalin. Beliau memang dikenali di seluruh rantau pekan. Namanya tidak dapat diingati lagi dan telah pun meninggal dunia. Segala arahan mereka harus diikut dengan tertib seperti meminum air ubat akar kayu yang pahit, bertungku, memakai bengkung dan menjaga pelbagai pantang larang. Juga memakai param dan pilis, untuk mengelak dari badan kemasukan angin, memanaskan badan dan entah apa lagi khasiatnya, aku kurang ingat daripada cerita emak.

Bila direnungkan kembali saat emak menceritakan tentang peristiwa kelahiran, sebenarnya itulah pendidikan yang tidak kurang pentingnya. Natijah kepada semua penceritaan itu bertujuan untuk menghargai betapa besarnya pengorbanan seorang ibu. Penat lelah sewaktu mengandung, kesakitan saat melahirkan dan kepayahan sewaktu memelihara dari sebesar tapak tangan. Semua itu penting untuk aku mengetahuinya kerana ia lebih daripada sebuah penghargaan kepada kaum ibu. Nilainya terlalu besar. Setakat memesan supaya jangan derkaha kepada ibu bapa, itu saja tidak cukup untuk meresap ke dalam diri agar memahami sebab-musabab, mengapa seorang anak tidak boleh merungut, meninggi suara, melawan, membantah apatah menderhaka.

Namun tanpa disedari, dengan sengaja atau tidak disengajakan, terkadang garisan yang sepatutnya tidak dilangkahi itu terjangkau juga. Moga Tuhan memberikan keampunan untuk aku meskipun emak telah mengampunkan. Tapi itulah, adakalanya tanpa disedari kesilapan itu berulang. Kalaulah diri aku boleh dibahagikan, seperti kemahiran ninja iaitu teknik pembahagi bayang (kage bunshin no jutsu) dalam anime Naruto Shippuden, mahu saja aku menampar atau menumbuk diri sendiri. Betapa pentingnya untuk dipasak ke dalam hati, ibu bapa adalah dua orang insan yang wajib dihormati serta ditaati selepas Tuhan dan Nabi.

Oleh itu, jika terdapat ruang untuk meledaknya emosi yang kurang stabil apabila berhadapan dengan ibu dan bapa. Jalan selamatnya adalah diam sahaja dan kenangkan semula semua pengorbanan mereka. Di masa-masa mendatang, keraplah menginsafi diri terhadap ibu bapa terlebih dahulu. Lebih baik mencegah lebih awal, daripada berlaku pelanggaran garis-garis yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang anak terhadap ibu bapa. Cegah dan elak lebih baik daripada merawat, bak kata golongan perubatan. Adakalanya kata-kata permohonan maaf itu mudah untuk diungkap, tetapi apalah nilainya jika kekhilafan itu kerap kali berulang.

Terdapat banyak kisah yang diceritakan oleh emak tentang suasana pada ketika itu, apa yang berlaku selebihnya pasca kelahiran aku. Mungkin, pada kesempatan yang lain aku akan cuba ingati semula dan karangkan. Tentang abah, beliau jarang memperbualkan perkara begini. Terlalu sedikit, dan susah untuk diingat semula. Apa yang aku perhatikan, tugas didikan awal antara emak dan abah, silibusnya berlainan sedikit. Emak menggunakan teknik naratif, manakala Abah lebih objektif, berterus terang atau “kau jangan banyak tanya”.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s