Tragedi Kemalangan Maut 2017

Sekejap saja sudah berada di bulan Mac. Seakan tidak terasa waktu kesukaran yang aku lalui pada pertengahan tahun lepas. Kemalangan yang menyebabkan tempurung lutut aku pecah telah sembuh. Cuma fungsi kaki masih belum sempurna. Ubat bernama sabar itu sangat perlu. Memang pada awalnya sedikit pahit untuk ditelan, apa pun keadaannya tetap telah berlaku. Telan saja tidak kira suka atau tidak kerana tempoh kesukaran tersebut pasti berakhir dengan izin Tuhan.

Kelmarin gempar dengar berita kemalangan yang melibatkan 8 kematian. Aku tidak begitu mengikuti secara detil tentang kronologi kemalangan tersebut. Ringkasnya, sebuah kereta yang dipandu seorang wanita telah merempuh kumpulan remaja berbasikal di lebuhraya tiga lorong di JB. Tragedi ini mendapat perhatian yang tinggi dalam kalangan masyarakat, sehinggakan Sultan Johor meluahkan rasa dan nasihat kepada sekalian rakyat.

Banyak persoalan yang timbul menjadi bualan hangat di merata tempat dan warga maya. Perbahasannya terlalu besar dan perlu diteliti secara mendalam. Bukan sekadar menuding jari untuk mencari salah siapa. Pihak polis dikhabarkan sedang menyiasat dan terdapat larangan supaya masyarakat tidak membuat spekulasi. Tidak mudah untuk merumuskan kes ini. Walaubagaimana pun, aku tertanya juga mengapa sampai sekarang wanita tersebut tidak diketahui langsung butir peribadinya.

Nyawa yang melayang 8 orang sekaligus, pastinya meninggalkan duka lara yang hebat kepada ibu bapa mangsa. Tiada siapa yang dapat menduga. Inilah takdir yang perlu diterima, yang telah berlaku. Apa yang tertinggal adalah pengajaran dan renungan buat kita yang masih hidup. Kesedaran tentang keselamatan jalan raya masih rendah dan terbukti melalui banyaknya kes kemalangan.

Aku bukan tidak puas hati, cuma banyak persoalan yang ditagih terhadap individu terbabit. Belum sempat reda dengan tragedi ini, kelmarin berlaku lagi kemalangan. Kali ini ceritanya agak gila dan mendatangkan kemarahan kepada ramai warga. Walau pun korban cuma seorang. Kejadian tersebut susah untuk dimaafkan kerana nyata merupakan kesalahan pemandu berusia 19 tahun tersebut. Mudah pula profil tertuduh ini tular. Ini yang menghairankan.

Lebih teruk lagi, gadis itu dalam keadaan mabuk dan khayal bawah pengaruh dadah methamphetamine. Kemudian memandu kereta secara melawan arus di tengah lebuhraya dengan laju. Memang gila, dan pelaku memberitahu dia sedang melarikan diri dari dikejar lori berdasarkan khayalannya. Seperti tidak berasa bersalah pada raut wajah amoi tersebut. Meninggalkan seorang balu yang sedang mengandung 3 bulan. Baru beberapa bulan pasangan suami isteri berkenaan berkahwin.

Tak tahu lagi ingin berkata bagaimana. Alam maya dihujani simpati yang lebat disamping percikan caci maki. Malas aku hendak peduli komen netizen yang berbagai aneka ulasan mereka. Semoga semua mangsa yang maut kemalangan mendapat rahmat Tuhan dan keluarga mangsa diharapkan bertabah. Luka fizikal yang sembuh tidak sama kepiluan dan kelukaan dari segi emosi. Hanya bahu yang memikulnya yang tahu bagaimana pedihnya kehilangan insan tersayang.

Tentang fobia, aku tidak pasti. Dua episod kemalangan yang menimpa kepada aku memang meninggalkan igauan. Kemalangan yang pertama 2011, menjadikan aku berasa bimbang untuk membawa kereta. Takut terjadinya sebarang perlanggaran. Padahal dulu aku sangat teruja dan berani untuk pandu kereta semasa tingkatan empat. Tidak pasti sama ada itu sekadar perasaan bimbang atau termasuk kategori fobia.

Kemalangan kedua ini mendatangkan igauan baru saat menunggang motor. Sehinggakan aku terbayang-bayang atau terimbas kembali saat kemalangan lalu. Sesekali perasaan berdebar apabila melihat kenderaan di simpang atau melintas di hadapan aku. Imbasan tersebut mengganggu fikiran dan ketenangan. Mungkin lama kelamaan nanti ketakutan aku akan hilang. Hendak tak hendak, tetap kena hadapi juga. Aku yang dulu suka aktiviti memandu, sekarang bertukar penakut setelah kemalangan menimpa.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s