1990: Sekilas Trivia

Di antara trivia dalam negara, yang aku tahu berkenaan tahun 1990. Kumpulan heavy metal dan rock tanah air yang terkenal dan berstatus lagenda, bernama Xpdc mengeluarkan album pertama bertajuk “Darjah Satu”. Di antara lagu berhantu jenis slow rock dalam album tersebut adalah C.I.N.T.A. Bahagian solo oleh gitarisnya memang klimaks telinga mendengar. Mael selaku vokalis, Zuar sebagai pemain bass, Izo gitaris utama dan pemain dram Lee Space. Lagu lain seperti Aku dan Sesuatu, Pelesit Mata Sebelah, Raja Kertas dan Gerak 2000 turut memberi penangan hebat.

Selain itu, bekas Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, iaitu Tun Hussein Onn meninggal dunia pada 29 Mei 1990. Tahun tersebut berlangsungnya pilihan raya umum ke-8 pada 21 Oktober 1990. Lembaga Letrik Negara (LLN) telah dikorporatkan atau diswastakan oleh kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir sebagai Tenaga Nasional Berhad (TNB). Jadi, inilah sekadar beberapa perkara yang telah berlaku pada tahun tersebut.

Kalau tidak salah, pada tahun 1990 juga telah berkembang aliran muzik berat genre black metal di persada antarabangsa. Begitu pun gelombang pertama muzik semacam ini telah bermula sejak 1980 lagi sebagai prototaip kepada genre tersebut. Asalnya daripada sebuah lagu kumpulan Venom yang bertajuk “Black Metal”. Lantas dijadikan sebagai sub-genre muzik yang ekstrim daripada muzik heavy metal yang bermula sekitar penghujung 70-an. Kemudian telah menjadi ikutan rakyat jelata di tanah air pada 1990, tahun yang sama. Namun bergerak secara bawah tanah. Kerja gila apa radio hendak menyiarkan lagu black metal.

Lalu beberapa tahun kemudian, majalah Mastika ada membuat pembongkaran tentang pengikut budaya black metal. Ketika itu, aku masih bersekolah rendah kalau tidak silap dan pernah membacanya dengan perasaan aneh dan pelik. Sehingga tanda tanya yang bermain di dalam kepala telah menyebabkan aku mengenali semua itu dengan mencari tahu sendiri. Budaya dan muzik seperti punk, skinhead juga dijadikan bahan artikel dalam Mastika. Selepas itu, masuk lagi pelbagai pengaruh muzik dari luar negara seperti grunge, ska, alternatif, dan rap sama ada arus perdana dan juga bawah tanah. Pada sebelumnya juga telah bermacam-macam pengaruh, tetapi untuk 90-an, inilah antara trend yang muncul.

TV3 pada tahun itu juga telah menjadi siaran kegemaran rakyat jelata, dengan kemasukan pelbagai rancangan menarik seperti Anugerah Juara-Juara Lagu. Aku terbaca di dalam sebuah blog, Arkib Negara X. Di situ banyak info klasik, tetapi lebih menjurus kepada dunia hiburan dan kisah artis. Antaranya Zaiton Sameon kemalangan teruk sehingga anak tunggalnya terkorban. Saluran televisyen cuma tiga pada ketika itu.

Tentang muzik dan lagu, 1990 masih lagi zaman kegemilangan bagi penyanyi dan kumpulan rock, atau lebih spesifik lagi glam rock. Muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan. Selain Xpdc, terdapat kumpulan rock sedang berada di puncak populariti seperti Search, Wings, Lefthanded, May, dan Bumiputra Rockers. Rusty Blade dan Sweet Charity dari Singapura. Isu rambut panjang timbul beberapa tahun kemudian. Kemudian rock berubah perlahan-lahan kepada slow rock dan akhirnya berevolusi kepada rock leleh. Aduhai..

Aku tak tahu atas alasan apa hal-hal sebegini ditulis. Tak tahu apa lagi hendak dicatatkan berkenaan tahun 1990. Sedangkan aku pada ketika itu masih berada di antara alam rahim dan kehidupan di dunia. Mungkin kalau hendak memberi alasan, semua yang ditulis ini di atas pengalaman orang lain, terutama dalam kalangan keluarga dan kenalan yang lebih senior daripada aku. Mereka cuma bercerita dan kisah itu berakhir bak angin lalu. Maka, aku melepaskan ingatan tersebut di sini, termasuklah ingatan hasil dari pembacaan sendiri daripada terluput begitu sahaja.

Jika trivia bersifat peribadi atau di dalam lingkungan kehidupan aku sendiri, agak kekurangan fakta. Bagi keluarga sebelah bapa, cucu nenek seramai 5 orang dan sebelah ibu pula 7 orang. Aku menetap di Senggarang, di sebuah kampung yang entah apa namanya, cuma dua tahun. Di sana, ramai para nelayan dan orang kemboja. Emak pernah berkata, terlalu kerap ikan dan makanan laut dijadikan lauk. Semuanya segar-segar. Sekarang kalau hendak beli makanan laut kena fikir banyak kali, melainkan ada rezeki lebih.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s