Tentang Sebuah Pekan

Ibu bapa aku berasal dari daerah yang sama, iaitu Pekan Buluh Kasap. Sebuah pekan yang tidaklah begitu menakjubkan untuk didiami. Keadaannya boleh dikatakan seperti pekan koboi kalau hendak diandaikan. Hampir serupa dengan pekan kecil dalam sebuah filem bertajuk Magnificent Seven. Bukanlah seperti keadaan hari ini, tapi aku maksudkan pada waktu dulu. Banyak rumah kampung atau rumah kedai berstruktur kayu.

Di sini terdapat sebuah kilang kayu atau sawmill (kini telah bankrupt) dan sebuah kilang memproses getah seperti Lee Rubber, wujud sejak dahulu hingga sekarang. Penduduk lebih banyak berkecimpung dalam bidang penorehan getah. Terdapat sebuah jambatan putus yang dibina mungkin sekitar tahun 30-an. Telah diletupkan oleh pihak British untuk menyekat kemaraan tentera Jepun pada tahun 40-an. Ada balai polis lama (ditutup), banggunan sekolah rendah lama (ditutup), stesen kereta api (ditutup) pondok pos, klinik kesihatan, pasar basah (dulu tepi sungai), gudang besi buruk, pasar babi di tepi sungai dan banggunan kedai zaman kolonial. Pekan ini dibuka oleh seorang penghulu. Rumahnya masih ada, tetapi terbiar usang terletak berhadapan dengan masjid yang masih kekal hingga ke hari ini.

Menurut cerita, penghulu ini yang pertama sekali membuka dan membangunkan pekan. Cerita tentang beliau telah didokumentasikan oleh komuniti facebook Segamat berserta sumbangan jasa, dan kaum kerabat. Beliau mempunyai dua atau tiga orang isteri (kurang pasti), anak dan cucu cicit paling ramai di pekan tersebut. Salah seorang cucu-cicitnya mengusahakan sebuah kedai makan, bersebelahan dengan jambatan putus dan merupakan penjaga rumah itu. Kini, Encik Kemal tidak lagi sihat dan sedang berperang dengan sakit kanser.

Perkembangan ekonomi di sini diusahakan oleh majoriti orang cina. Di mana-mana tempat juga begitu, sudah kebiasaannya begitu. Kalau ditanyakan kepada tauke kedai runcit di situ, mereka semua mewarisi dari perniagaan keluarga. Seperti kedai runcit Apat, Ahang, Abe, Achok (aku dan sepupu menggelarkan kedai Gemuk), kedai air batu campur dan jajan, kedai kopi, kedai Akai Mini Emporium, kedai gunting, salon, bengkel motor, pasar dan stesen minyak. Boleh dikatakan sejak dulu lagi mereka berniaga. Baru-baru ini singgah ke kedai motor, seorang tauke cina tua menegur pakcik aku. Dia mula menceritakan kenangan lama masa pakcik masih bersekolah rendah, kerana kerap melintasi kedainya. Bermakna dia telah lama mengusahakan kedai basikal dan bengkel motornya.

Orang melayu ramai yang menjadi kakitangan kerajaan seperti cikgu. Kegiatan pertanian boleh dikatakan seimbang. Ramai yang menjadikan getah sebagai sumber pendapatan. Antara jenaka yang aku selalu dengar tentang menoreh seperti “baru balik mengajar ke?”. Rupanya ‘mengajar’ pokok getah. Ada yang meniaga kecil-kecilan, di pasar tani, pasar malam, ada yang mempunyai restoran, warisan keluarga. Jika disingkap pada zaman pendudukan jepun, askar dan polis merupakan kerjaya yang popular. India, ramai yang menjadi pemandu lori atau bekerja di estet. Apa yang menariknya? Selepas hujan berhenti, aroma getah tersebar di serata pekan bercampur pula dengan bau ayam dari pasar.

Nenek dan atuk selalu bercerita tentang kehidupan masa lalu. Kewangan tidak berapa hendak ada, tapi makanan mudah diperoleh tanpa memerlukan duit. Cuma, apa yang membezakan generasi mereka dan hari ini, mereka berusaha dan berikhtiar sendiri. Tanpa terikat dengan hutang bank, tak ada duit terpaksalah mengumpul dengan sabar. Sama ada beli tunai atau bayaran ansuran. Memang ada kesukaran untuk menjalani hidup dan menyara keluarga pada waktu itu. Bezanya mereka banyak masa senggang, dan tak tahu nak buat apa. Tak ada gajet atau alat elektronik canggih, cuma radio buruk atau pemain piring hitam.

Semangat kejiranan amat kuat dan utuh pada waktu dulu. Jiran sudah seperti keluarga sendiri. Susah senang dilalui bersama, saling berganding bahu. Tanpa memikirkan perbezaan kaum. Menepati peribahasa “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” dan pelbagai simpulan, bidalan, pepatah atau perumpamaan. Cukup untuk menggambarkan suasana perhubungan jiran atau masyarakatnya yang tidak seperti kera sumbang. Itu cerita sewaktu zaman kecil mereka dan suasana semakin berubah setelah tiba pada zaman emak dan abah. Begitu juga generasi kini.

Pekan tidak lagi berupa pekan koboi seperti dulu-dulu. Kemajuan tidaklah begitu rakus, cuma taman perumahan semakin bertambah-tambah. Walau pun tidak ada apa yang menarik. Tidak seperti apa yang terdapat di kota, dengan pusat membeli-belah bersaiz ultra mega. Inilah dia, walau pun hujan batu di daerah sendiri, tapi tidak sakit kepala. Tiada kekusutan untuk meredah kesesakan lalu lintas, tidak perlu bermewah. Kalau tunjuk mewah, tunjuk lawa dan bergaya sakan pun nak ke mana?

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s