Kenangan Atuk

Datuk dan nenek bagi keluarga emak dan abah, masing-masing mempunyai cerita mereka sewaktu kecil dahulu. Seperti zaman pra kemerdekaan, juga ada kenangannya. Ini mengingatkan aku ketika masih bersekolah rendah dahulu. Atuk selalu bercerita kepada aku dan saudara sepupu. Atuk sebelah emak, lahir pada tahun 1932 dan sempatlah melalui fasa di mana Jepun masuk ke Malaya. Nenek pula lahir sekitar 1941, baru berumur 4 tahun. Tetapi hanya atuk sahaja yang kerap bercerita tentang kehidupannya yang sukar dulu.

Keluarga atuk agak ramai. Mempunyai sepuluh adik-beradik, tidak termasuk yang telah meninggal dunia sewaktu kecil atau meninggal muda. Atuk merupakan anak yang pertengahan. Tentang asal usul, terdapat beberapa percanggahan fakta, kerana aku sendiri telah kurang ingat ceritanya. Tapi yang pasti memang menetap di sini. Cuma pernah saudaranya berkunjung ke rumah atuk, bercakap dalam loghat Negeri Sembilan yang pekat. Mungkin terdapat saudara mara yang menetap di Nyalas setelah berkeluarga sendiri. Atau mungkin keluarga ibu kepada atuk sebelah perempuan berasal dari sana. Di Kasap, merupakan jurai keturunan bapa atuk, keluarga besar pihak lelaki. Aku sendiri agak pening dalam bab ini.

Berbalik kepada kisah klasik tentang atuk, dari kecil hingga kini, pekan kecil inilah yang menjadi tempat menjalani kehidupan. Aku hanya mengenali dua orang sahaja adik beradik atuk. Manakala yang lain menetap jauh dari sini. Di KL, JB, Nyalas dan lain-lain daerah yang aku sendiri tidak mengetahui langsung kerana terlalu ramai ahli keluarga. Entah berapa puluh sepupu kepada emak agaknya. Tentang ras, kata pakcik terdapat darah bugis mengalir dalam tubuh. Itu pun berdasarkan dalil betapa garang dan barannya peribadi atuk semasa muda dahulu. Tetapi kata emak, yang bugis itu keluarga sebelah nenek. Malahan bercampur dengan banjar. Maka, atuk secara umumnya dikenali sebagai melayu.

Boleh dikatakan sebagai penduduk yang telah lama menetap di sini, atuk agak dikenali ramai. Sedangkan saudara-mara juga ramai apatah lagi rakan taulan serta kenalan. Nama panggilan Mat Kendek sudah sinonim dengannya. Atuk bernama Mohamed, manakala Kendek itu nama moyang aku. Kendek merupakan sebuah nama melayu yang agak klasik dan unik. Apakah ia sejenis tumbuhan atau memberi maksud tertentu? Aku tidak tahu. Tapi ada seorang cikgu pencen mengatakan bahawa nama Kendek memang nama melayu lama.

Cerita sewaktunya kecil tidak banyak dimadahkan. Berlatarbelakang sebagai keluarga biasa yang hanya berkecimpung dalam kegiatan pertanian berskala kecil. Mempunyai beberapa lokasi tanah kebun pusaka keluarga untuk bercucuk tanam, menternak ayam kampung dan aktif di dalam kegiatan menjala dan memasang jaring di sungai. Tak mungkinlah berkarier sebagai kakitangan kerajaan, sebabnya Malaya masih lagi dibawah pengaruh orang putih. Majoritinya melakukan kerja kampung.

Pendidikan pula hanya setakat sekolah rendah. Namun, persekolahan juga tidak dapat ditamatkan kerana tidak beberapa lama kemudian Jepun telah sampai. Sejak itu, bermulalah detik kehidupan yang sukar yang dipenuhi liku-liku kesengsaraan. Di sinilah atuk bercerita tentang menu makanan yang tidak lain tidak bukan lagi tentulah ubi kayu. Begitu pun, bekalan makanan terpaksa dicatu dan perlu menahan lapar setiap masa. Hampir terlupa pula, atuk sempat bersekolah dibawah kelolaan Jepun. Hingga kini atuk masih mengingati lagu Jepun yang diwajibkan penghafalannya.

Kemudian pada keadaan tertentu terpaksa melarikan diri ke dalam hutan berlukar berhampiran apabila berlaku situasi meruncing. Kalau tidak silap, ada anggota keluarga yang dibunuh oleh Jepun. Tetapi sumber kepada cerita itu tidaklah begitu kuat diingatan. Tentera Jepun pernah datang menggeledah rumah dan melepaskan beberapa das tembakan. Barang panas pada waktu itu adalah radio. Kesannya masih kekal sehingga sekarang. Percuma sahaja untuk melawan. Tindakan tersebut hanya mempersia-siakan nyawa dengan sangat mudah dan pantas. Menyelamatkan nyawa juga merupakan perkara penting.

Mujurlah bukan di pantai timur atau utara tanah air. Di sana mungkin lebih dahsyat kerana Jepun baru melangkah masuk. Sementara hendak sampai ke selatan tanah air, askar sempat mengikhtiarkan beberapa penentangan untuk mengelakkan tentera Jepun menguasai Malaya dengan pantas. Oleh itu, jambatan sebagai alat perhubungan utama terpaksa diletupkan awal-awal oleh pihak British. Pada akhirnya, lengkaplah penguasaan Jepun di Malaya.

Ketika Jepun menyerah kalah, atuk telah menginjak usia 13 tahun. Disebabkan tidak lagi menyambung persekolahan, atuk melakukan kerja kampung. Kemudian, atuk sewaktu berumur 25 berkahwin dengan nenek yang ketika itu masih belasan tahun. Tidak pasti umur berapa, mungkin 16 tahun. Ketika itu Malaya diambang kemerdekaan. Tahun berikutnya atuk dan nenek memperolehi cahaya mata sulung perempuan, iaitu Mak Long. Aku tidak pasti bilakah masanya atuk bekerja sebagai tukang kebun sekolah. Sewaktu emak lahir tahun 1966, atuk masih lagi bekerja di situ dan setelah tamat kerja, memperolehi wang pencen setiap bulan.

Seperkara yang aku tahu tentang atuk, kawan-kawannya ramai yang menjadi cikgu, termasuklah saudaranya. Menurut cerita pakcik, atuk berminat untuk menjadi cikgu juga. Disebabkan melalui bermacam tempoh kesukaran, atuk tidak berpeluang untuk mengejar cita-cita tersebut. Tambahan pula keluarga tidak mempunyai sumber pendapatan tetap. Jadi, dengan melakukan kerja biasa sahaja pilihan yang ada. Cerita ini disampaikan oleh Pak Long, selaku menantu pertama, berdasarkan apa yang diceritakan oleh atuk kepadanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s