Rumah Pusaka

Rumah yang atuk diami sekarang, itulah rumah tempatnya membesar. Dibina oleh kontraktor cina pada tahun 1938 yang berkonsepkan binaan melayu tradisional. Menurut fakta yang aku peroleh, reka bentuk rumah tersebut mempunyai ciri-ciri rumah limas. Bumbung tidaklah begitu tinggi. Apa yang aku masih ingat, dihujung bumbung terdapat kayu berukir seolah-olah batu nisan yang disebut sebagai tunjuk langit. Mungkin sekadar hiasan, atau perintang petir? Aku tidak pasti apakah fungsi sebenarnya, atau ianya sekadar penambah seri. Terdapat beberapa seksyen yang tidak sama ketinggian. Seperti ruang tamu utama berketinggian satu meter lebih. Di anjung dan ruang tengah tidak sampai satu meter tingginya.

Apa yang istimewanya rumah ini, rangka tidak menggunakan sebarang paku. Cuma dipasak atau ditanggam sahaja. Tiang rumah sangat padu dan keras dikatakan jenis Meranti atau Keruing. Tak dapat dibayangkan bagaimana hendak memotong atau menggerudi kayunya yang begitu keras sehingga tidak lut untuk dimamah anai-anai. Di sini, anai-anai disebut sebagai merong kalau mengikut loghat tempatan. Jika di Kedah, merong dikenali sebagai ular gergasi. Dulu aku pun bingung bila disebut kayu dimakan oleh merong. Anai-anai rupanya. Begitu juga sejenis serangga yang disebut asai. Kayu akan terhasil menjadi produk berupa habuk seakan berbiji-biji halus akibat dikokak oleh makhluk ini.

Sebelum rumah ini dibangunkan pada 1938, keluarga atuk menetap di tapak rumah yang sama juga. Di mana lokasi tersebut telah menjadi rumah Pak Ngah. Rumah lama diberikan kepada saudara atuk yang perempuan. Sewaktu aku kecil, rumah itu masih ada, tetapi telah usang dan tidak terurus. Selepas saudaranya meninggal dunia, rumah itu disewakan kepada orang lain. Apa yang membuatkan aku rasa tak percaya, keluarga Dato’ Ibrahim Ali yang menyewa di situ. Aku telah merujuk kenyataan ini kepada ramai ahli keluarga, dan cerita itu memang benar walau pun aku merasa tidak masuk akal.

Bagaimana mungkin keluarganya boleh menetap di sini sedangkan Ibrahim Ali merupakan orang Tumpat, Kelantan. Menurut sumber tertentu, ada beberapa sebab Encik Ali menyewa di sini. Dikatakan bahawa Encik Ali berpindah kerana terdapat masalah keluarga. Ada yang menyebut, dia dibuang daerah. Aku tidak pasti atas sebab apa dan pada tahun bila kerana terdapat percanggahan maklumat. Waktu itu Ibrahim Ali tidak ikut menetap dengan keluarganya. Barangkali sedang sambung belajar. Tetapi adik beradiknya yang lain ada bersama.

Atuk, nenek, dan pakcik makcik aku mengenali mereka dengan baik. Pernah ada cerita, keluarga Encik Ali itu berhasrat hendak menjodohkan anaknya dengan Mak Long aku. Terkesima aku mendengarkan cerita tersebut. Tapi tak jadi, kerana Mak Long telah mempunyai pilihan sendiri. Kalau tidak, Ibrahim Ali menjadi bapa saudara aku! Perkara ini aku baru tahu dengan pasti sekitar 3 tahun lepas. Lagi pun, penjodohan ini berlangsung atas budi bicara keluarga. Mungkin Tok Ibrahim juga tidak begitu mengetahui akan hal ini, kerana dia tidak menetap di situ. Apatah lagi bertemu dengan Mak Long.

Menurut cerita Pok Teh pula, dia gemar membela ayam laga. Di bawah rumahnya siap dengan kepungan untuk mengurung ayam tersebut. Pernah beberapa kali pakcik datang ke rumahnya untuk melihat aktiviti Encik Ali dengan ayam laganya. Dikatakan orang Kelantan memang berminat dengan hobi tersebut. Cuma, dia tidaklah membuka gelanggang untuk menganjurkan pertandingan laga ayam. Kalau menurut aku, tidak begitu pelik pun jika dahulu ramai yang bermain laga ayam. Lagi pun penguatkuasaan undang-undang belum diperketatkan lagi. Tentang orang Kelantan juga tidak pelik berada di pekan Buluh Kasap ini, kerana ramai kawan pakcik aku juga orang Kelantan. Peniaga kedai makan siam atau Kelantan juga telah banyak.

Baiklah, tinggalkan cerita tentang rumah keluarga Ibrahim Ali. Tentang rumah yang merupakan pusaka keluarga, atuk berkeras tidak mahu dilakukan sebarang pengubahsuaian besar. Semenjak moyang masih hidup lagi dia sudah khabarkan bahawa atuk seorang yang berpegang pada pendirian. Kalau hitam, maka hitamlah keputusan yang telah dibuat. Bukan mudah untuk berunding dengan atuk dalam hal yang berkepentingan terhadapnya. Nilai sentimental tinggi, sikap berjimat cermatnya terlalu solid. Bukan sekadar sayang membuta tuli, tetapi lebih kepada semangat menghargai sesuatu benda yang dimiliki. 

Sejak nenek masih sihat cadangan untuk membina rumah batu diusulkan. Usul ditolak tanpa ditimbang. Kadang kala saudara-mara dan kawannya datang, cuba juga untuk mengecek atuk supaya buat rumah baru. Semuanya tak laku. Akhirnya kekal jua rumah ini dengan 70 peratus berkeadaan asal. Kali terakhir dibaik pulih sekitar 2010. Semua zink ditukar baru dan rumah ini dicat untuk kali yang pertamanya. Sebelum ini hanya menyapu minyak hitam. Tujuan dicatkan dengan minyak untuk memberi ketahanan kayu berpanjangan. Aku rasa macam minyak hitam kenderaan yang tidak digunakan lagi. Sebabnya aku pernah melihat pakcik mengecat reban ayam menggunakan bahan yang sama.

Jika ada tetamu yang baru beberapa kali pertama datang ke rumah atuk, pasti kisah tentang rumah pusaka ini diceritakan serba sedikit. Begitulah sebagaimana yang aku perhatikan apabila kawan-kawan pak cik datang. Dia akan menyebut tahun rumah ini dibina. Pada pandangan aku, atuk memang teramat sayangkan rumah ini kerana begitu bermakna dan banyak kenangan yang tersimpan dalam ingatannya. Secara peribadi, aku turut terkesan dengan apa yang atuk rasa. Terlalu banyak kenangan tercipta di sini sejak dari kecil. Boleh dikatakan aku kerap bermimpi tentang rumah atuk.

Cuma sekarang suasana di rumah atuk semakin sayu dan sepi. Sedangkan dulu semasa arwah nenek masih ada, rumah ini tidak pernah sunyi. Selain atuk dan nenek, ada tiga orang pak cik yang masih bujang menetap bersama. Rumah saudara sebelah menyebelah seperti rumah Pak Ngah terletak berhadapan dan Pak Andak di belakang rumah atuk. Keluarga aku kerap pulang ke kampung sekurang-kurang dua bulan sekali. Satu kelebihan juga buat abah kerana rumah ibu mertua dan ibu kandung berada di pekan yang sama. Ramai saudara atuk dan nenek datang untuk bermalam, termasuklah anak saudara. Tidak kira pada hari biasa atau hari perayaan dan cuti tertentu.

Selepas nenek meninggal dunia pada tahun 2009. Rumah ini semakin kurang serinya. Tinggal atuk dan dua orang pak cik sahaja. Pok Su telah bekerja, merantau di tempat lain. Kemudian Pak Lang meninggal dunia pada awal Ramadhan, Jun 2015. Sekarang hanya atuk dan Pok Teh berdua sahaja di rumah. Bila tiba cuti persekolahan dan perayaan barulah saudara-mara yang lain pulang ke kampung. Namun begitu, suasananya tetap tidak sama. Sedikit malap setelah nenek pulang di jemput ilahi.

Entah berapa lama lagi agaknya rumah pusaka ini akan terus teguh berdiri dan siapa yang akan mewarisinya nanti. Aku tidak tahu. Jika mempunyai modal yang mencukupi, ingin saja aku memulihara rumah ini sehabis baik. Baiki dan ganti segenap ruang dan hiasi dengan kemas serta cantik. Kalau pun tidak ada sesiapa lagi yang menetap, elok juga dijadikan homestay. Bukan selalu dapat jumpa rumah antik yang dibina berasaskan kayu. Kebiasaannya dapat dilihat di kawasan pelancongan atau tempat lawatan tertentu. Salah seorang saudara pernah bergurau untuk menjadikan rumah ini seperti muzium.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s