Profesyen Atuk

Zaman atuk tidak secerah peluang yang diperolehi generasi hari ini. Waktu itu tanah air belum dikenali sebagai Malaysia, malah ditadbir oleh orang Inggeris. Apalah peluang yang ada untuk membina kerjaya yang bagus. Sekadar punya minat untuk belajar, peluang pendidikan tidak terbuka luas. Orang melayu kebanyakannya masih mundur. Tidak terkecuali dengan kehidupan dan nasib yang ditempuh oleh atuk.

Tetapi segala kenyataan ini tidaklah bermakna untuk memuji dan mendabik dada dengan perasaan bangga terhadap pemerintah pada hari ini. Tidak pula bersikap sinis terhadap pasukan yang sama, pemimpin lalu. Kepada pimpinan terdahulu, sekalung terima kasih diucapkan. Benar, pimpinan sebelum ini cuba membawa perubahan yang lebih baik untuk agama, bangsa dan tanah air. Percubaan itu nampaknya berjaya diterjemahkan dengan pelbagai kemajuan. Terlalu mengeji kepada pihak yang belum berkuasa memerintah juga tidak adil. Kita tidak perlu terlalu fanatik dan taksub kepada pihak yang disokong. Itu asasnya.

Pemimpin terdahulu walau pun kekurangan banyak dalam aspek kemajuan dan material, tetapi mereka tidak kekurangan nilai dan etika. Semangat patriotisma tebal dalam kalangan pemimpin pra dan pasca kemerdekaan. Masalah korupsi, penyelewengan tidak serancak hari ini. Sikap mereka yang jujur, beramanah dan berintegriti tidak diragukan. Tidak seperti sekarang yang terlalu banyak kegilaan untuk disebutkan. Sebagaimana iman tidak dapat diwarisi. Begitu juga sikap pemimpin terdahulu belum tentu diwarisi oleh pemimpin hari ini. Panjang ceritanya untuk diperkatakan.

Berat untuk menuliskan perkara di atas, kerana kenyataan itu turut menikam diri sendiri. Aku hanya mampu berdoa agar ditetapkan iman dan disuluhkan kepada jalan yang lurus dan benar. Agar dapat membentuk dan mencontohi mereka yang punya keperibadian baik. Tentang atuk, aku tidak hairan dengannya yang tetap istiqamah menyokong pasukan yang sama. Semenjak dari cap kapal layar dahulu. Kalau boleh, berharap juga pemimpin sekarang mempunyai sikap, sifat dan nilai peribadi seperti bekas pemimpin terdahulu. Soalnya, masih adakah harapan itu?

Atuk dari masa muda memang sudah sebati dengan berbudi kepada tanah. Merupakan keluarga petani. Atuk merupakan seorang warga marhaen, menepati sejarah kewujudan istilah marhaen itu sendiri. Seorang yang berpeluang cerah menjadi buruh, bercita-cita untuk menjadi kaum pendidik, tapi tidak kesampaian. Jadi petani juga penting, kalau semua memilih bidang profesional, siapa yang hendak menjadi tunjang kepada sektor lain di dalam negara? Sungguh pun begitu, atuk mempunyai minat yang mendalam terhadap apa yang diusahakannya. Aku memerhati dengan mata kepala sendiri, mendengar cerita positif dari mulut orang lain, kerjaya perkebunan atuk, memang dilakukan dengan minat serta kesungguhan. Orang putih kata “passion”.

Setelah berkahwin, atuk mendapat kerja sebagai tukang kebun sekolah rendah. Aku tak pasti sama ada tukang kebun sekolah dulu memang bekerja dengan kerajaan atau bukan. Sebabnya atuk memperolehi wang pencen, sedangkan sekarang, kerjaya tersebut adalah swasta. Seumur hidupnya memang bergelumang dengan cangkul, tanaman dan tanah. Beruntung juga kerana keluarga mempunyai tanah pusaka. Ditambah lagi dengan tanah yang dimohon daripada kerajaan.

Semua tanah yang ada itu diusahakan tanpa dibiarkan bersemak samun. Sama ada dijadikan kebun getah atau pun dusun. Menjadi pekebun di zaman atuk juga satu cabaran yang besar. Tidak jauh bezanya seperti keadaan peneroka felda generasi pertama. Ada tanah yang dimohon masih lagi hutan belantara. Tanah pusaka mujurlah memang diusahakan secara berterusan. Cabaran yang diperlukan selain kuderat adalah kemudahan dan modal. Dulu gergaji secara manual. Pokok getah dulu seperti pokok balak. Balik dari sekolah, sambung dengan kerja di kebun sendiri. Begitulah setiap hari.

Selain getah, atuk mempunyai dusun durian, kebun pisang dan pelbagai tanaman buah-buahan. Seperkara tentang sikap atuk, dia seorang yang berhemah dan berjimat cermat dalam urusan perbelanjaan. Prinsipnya mudah tentang duit, jangan sampai meminta-minta kepada orang lain, kerana saudara terdekat pun belum tentu sudi menghulur. Atuk sangat menekankan budaya menyimpan atau menabung. Segala duit kebunnya disimpan dalam pelaburan amanah saham sejak ia mula diperkenalkan lagi.

Walau pun pernah menempuh hidup yang sukar. Sikap atuk benar-benar membuahkan hasilnya. Prinsipnya yang dipegang itu, langsung tidak menjadikan dia meminta kepada orang lain. Tiada duit, usahakan untuk buat duit. Pengetahuan atuk tentang panduan, petua, tip dan kepakaran berkaitan tanaman memang luas, seiring pengalamannya juga. Segala tanaman, apa sahaja yang boleh dijual, diusahakan dengan keringat, dituai menjadi duit. Sebaliknya dia yang memberikan hasil titik peluhnya kepada anak-anak.

Selain itu, atuk mempunyai kebolehan dalam bidang pertukangan. Kerjaya tersebut bukanlah sepenuh masa. Jika ada kelapangan dan tempahan saja. Kerja pengubahsuaian rumah semuanya atuk yang lakukan bersama pak cik. Banyak peralatan pertukangan yang dimililki. Aku sempat lagi melihat peralatan tradisional seperti pengetam dan gerudi manual dengan menggunakan tangan (terlupa nama sebenar alatan tersebut). Jika masalah berkaitan elektrik dan membela paip, boleh juga serba sedikit. Namun, kebiasaannya mengupah orang lain. Itu bukan kepakaran atau forté atuk.

Sungguh pun atuk seorang yang kuat dan rajin bekerja, dia juga mempunyai kehidupan. Hobinya adalah mencari ikan dan mengetahui banyak lokasi lubuk rahsia. Pada waktu petang, atuk akan berada di suatu sudut untuk membaiki atau mengait jala yang baru. Setelah menghampiri usia 70 tahun, atuk pencen dari menjala. Sudah tidak berdaya lagi untuk meranduk air, menebar jala atau memasang pukat. Hobi bukan sekadar hobi, dengan mencari ikan juga boleh berjimat. Bila melibatkan air, pak cik bercerita bahawa atuk seorang penyelam yang handal dan perenang yang cekap.

Sesekali atuk mengikut kawannya masuk ke hutan. Aku kurang pasti sama ada atuk minat memburu atau tidak. Seperti ada ingatan yang berupa bayangan antara mengabur dan terang. Mungkin atuk pandai membuat jerat untuk menangkap ayam denak dan burung puyuh. Atau itu hanya tekaan rambang aku sahaja. Cuma aku tahu atuk pernah ke hutan, kemudian pulang membawa hasil hutan seperti rotan dan buah kabung. Buah tersebut direbus dan dimasak bersama air gula kemudian nenek menyimpannya di dalam balang sebagai halwa atau snek ringan.

Selain ayam kampung, dulu atuk pernah menternak kambing, jenis baka kampung yang biasa. Tidaklah sampai berpuluh ekor. Masa kecil aku pernah melihat Pok Su bermain dengan kambing. Tak lama atuk membela kambing kerana binatang tersebut agak degil dan leceh untuk dikendalikan kerana ketiadaan kawasan yang kondusif. Bila dilepaskan untuk makan, pokok bunga orang lain turut menjadi mangsa. Kemudian, payah untuk menghalau kambing balik ke rumah. Akhirnya, semua kambing tersebut dijual. Hanya ayam kampung saja yang bertahan. Kadang kala ada pembeli datang ke rumah untuk membeli buat lauk atau diternak.

Kehidupan atuk dipenuhi dengan rutin yang sama setiap masa. Disiplinnya amat tinggi. Atuk selalu bangun awal sebelum subuh. Selesai solat, atuk membaca Quran. Kemudian, keluar ke kedai Imam untuk membeli roti canai. Setelah bersarapan, barulah atuk pergi ke pasar untuk menyembelih ayam. Jika sebelum ini, atuk keluar pada jam 4 pagi untuk ke pasar. Setelah beberapa ketika, atuk hanya fokus kepada tugas penyembelihan sahaja. Pukul 9-10 pagi atuk balik ke rumah dengan membawa lauk untuk nenek masak tengah hari. Tugasnya di pasar selesai. Kemudian bersiap untuk menoreh pula dengan menyertai dua orang pak cik. Kerja menoreh tamat sebelum masuk waktu Zohor. 

Sebelah petang, masa untuk berehat. Kemudian, selepas asar sambung melakukan tugas lain seperti menanam, mengutip hasil tanaman pisang, ubi, keledek, serai, dan bermacam lagi tanaman sampingan. Cili api, limau nipis, kasturi, pucuk lemak manis, dan nanas turut dituai dan dijual kepada pekedai atau pemborong. Malam tiada sebarang aktiviti yang produktif. Selepas maghrib mengaji kalau tidak menonton berita dan makan malam, selesai isyak barulah tidur. Paling lewat atuk masuk tidur ialah pada jam 10 malam. Kecuali jika ada perlawanan bola sepak. Begitulah kerjaya atuk sejak muda, melakukan pelbagai aktiviti dan hobi di masa senggang, dan menjalani rutin yang sama. Cuti hanya diambil apabila sakit, atau berada  di luar kawasan untuk majlis kenduri saudara-mara.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s