Kemarahan

Aku berasa hairan dengan perasaan sendiri tentang amarah. Nafsu jahat yang perlu ditundukkan sehabis mungkin. Salahkah jika aku mempunyai perasaan marah? Kerana aku manusia. Tetapi, kesilapan sebenar bukan kerana mempunyai rasa marah. Sebaliknya marah yang tidak terkawal, tidak bertempat, beremosi yang membuak dan melampau-lampau sehingga kehilangan rasional. Bila diimbas memori lama, seperti hampir kepada puncanya.

Pernah aku dalam keadaan marah tanpa bersebab, datang secara tiba-tiba dan kemudiannya reda dengan segera. Aku tidak tahu untuk tujuan apa kemarahan tersebut, sedangkan tidak perlu. Terus perasaan kesal menyelubungi diri dan terdiam memikirkan semula kebodohan tersebut. Terutama dengan saudara aku sendiri. Sekarang aku menyedari bahawa aku kurang rapat dengan mereka, tiada keterbukaan dalam perbualan serta kemesraan. Mungkin jarak umur dan suasana membesar pada zaman yang berbeza. Aku berharap masih sempat untuk memperbaiki hubungan tersebut. Jika tidak, salah satu kunci kebahagiaan hidup ini lenyap.

Boleh jadi, aku marah kerana tidak berkenan dengan sikap adik-adikku sendiri. Di mana aku melihat kejengkelan yang dipamerkan mereka itu seperti cerminan kepada sikap aku yang dahulu, ketika belum ada kematangan. Perasaan yang sebenarnya adalah, aku berasa marah kepada diri sendiri kerana pernah menjadi seperti itu. Jadi, apabila melihatkan perangai mereka yang aku tidak berapa suka, aku jadi marah. Inilah kebodohan yang paling aku kesalkan. Inilah punca yang menjauhkan hubungan persaudaraan. Aku bertambah kesal apabila melihat orang lain menyantuni saudara mereka sendiri.

Aku tahu punca-punca yang sebenarnya mengapa keadaan ini terjadi. Antaranya suasana aku membesar, selaku anak pertama. Waktu membesar adalah tempoh paling terpenting untuk mendapatkan perhatian dari ibu bapa. Ternyata waktu itu mungkin aku berasa kekurangan perhatian setelah aku mempunyai adik. Sebagai melepaskan rasa ketidakpuashatian itu, aku jadi pemarah. Seperti kucing yang tidak boleh bertemu anjing. Ada sahaja yang tidak kena dan mencetuskan perbalahan. Pada satu keadaan yang lain, aku melepaskan stres kepada mereka. Memangsakan mereka.

Bukan niat aku untuk meletakkan bebanan kesalahan ini kepada ibu bapa aku. Tidak sesekali, mereka tidak bersalah apa-apa, sebaliknya aku yang tersilap dalam mencorakkan sikap dan keperibadian sendiri pada waktu itu. Dulu aku menyangkakan ibu bapa aku garang, padahal tidak cuma aku seorang. Melihatkan rakan-rakan yang lain, sama saja situasinya. Aku tidak berpuas hati kerana itu aku marah, apabila orang lain mendapat lebih daripada apa yang aku terima. Aku merasakan tidak ada keadilan di situ. Akhirnya menjadikan aku seorang abang yang bengkeng dengan saudara sendiri. Inilah kehinaan yang ingin disingkirkan jauh-jauh.

Mungkin juga aku dalam kesedihan yang diterjemahkan kepada amarah. Sebagai seorang pendiam dan tidak pandai mempamerkan perasaan di hadapan semua orang, aku sembunyikan kesedihan yang terdalam. Kemudian melepaskan marah kepada yang lemah, di mana aku lebih tua dari mereka. Zaman kanak-kanak, sememangnya aku seorang yang kurang yakin pada diri sendiri. Seterusnya timbul ketakutan untuk berhadapan dengan orang ramai. Disebabkan stres, aku melepaskan rasa marah kepada adik sendiri. Padahal aku bukan seorang kaki gaduh semasa di sekolah. Kelemahan aku terletak pada kecerdasan emosi atau “emotional qoutient” (EQ).

Aku rasa aku patut belajar tentang psikologi untuk menyingkirkan kelemahan tersebut. Cuma dulu aku tidak tahu dan bingung pada kemarahan yang tidak tentu hala sebegini. Di sini, punca kemarahan aku dapat dikenalpasti, iaitu ketika zaman kanak-kanak. Tidak pasti jika aku boleh dikategorikan sebagai baran atau tidak. Tidak pernah pula ada yang memperakui aku sebagai seorang yang panas baran. Baik dari keluarga dan rakan-rakan. Mujurlah.

Di usia remaja, sifat marah aku agak diluar batas. Sudah pandai membantah-bantah kata ibu bapa, bohonglah kalau tidak pernah melawan kata dengan mereka. Fasa awal remaja seperti aku penuh dengan rasa memberontak, lalu dipersembahkan dengan sikap kurang ajar, kenakalan dan berperangai kurang elok. Rasanya, sikap memberontak tersebut sangat berkaitan dengan sifat marah. Kalau aku dapat merentas masa, mungkin aku yang hari ini akan pergi membelasah diri aku yang dulu.

Walau pun begitu, sifat marah ini tidak diperlihatkan tatkala bersama rakan di sekolah. Aku lebih cenderung untuk mengelakkan dari mencetuskan kemarahan orang lain. Menikus. Lebih baik mengelakkan dari bergocoh. Rasanya aku faham perkaitan mereka yang suka membuli orang lain. Salah satu sebabnya kerana kemarahan yang ditanggung. Marahkan orang lain, tetapi dilepaskan kepada orang lain kerana pernah menjadi mangsa kemarahan orang lain juga.

Aku yang dahulu masih ada, masih tersisa jejak-jejak keperibadian yang dulu, iaitu sikap pendiam dan tidak pandai mempamerkan rasa. Letih sebenarnya menjadi seorang yang introvert, meski pun kadang-kadang rasa bersyukur atas kelebihan menjadi ini. Kalau ditanyakan tentang sikap marah. Rasanya semakin luntur. Terutama sesama saudara. Aku tidak begitu menzahirkan kemarahan ketika di hadapan rakan. Tidak ada pertengkaran kronik dengan rakan. Apa yang aku pasti, tempoh kemarahan aku tidak lama. Mudah panas dan mudah sejuk. Tapi, yang paling bahaya dan aku takutkan adalah, terlalu lama mengumpul kemarahan, boleh mencetuskan letusan marah seperti gunung berapi.

Kali terakhir aku menjadi marah dengan api yang tersangat besar, aku sudah terlupa. Memalukan dan begitu terhinanya mempamerkan kemarahan melampau seperti itu. Kepuasan hanya seketika, yang tidak berbaloi berbanding kerosakan yang terhasil, membuatkan orang lain terasa hati, sedih dan kecewa. Menjauhkan perhubungan, boleh terputus silaturahim dan hubungan baik.

Kemarahan sepatutnya disandarkan pada tempat yang layak. Seperti marahkan kekejaman, peperangan, ketidakadilan yang menindas. Atau marahkan sikap yang buruk dan kerendahan moral seseorang. Marahkan kepada perbuatan jahat dan sebagainya. Bukan marah tidak bertempat yang hanya merugikan diri sendiri. Kemarahan adalah api, jika dinyalakan pada tempat yang tidak sepatutnya, habis terbakar dan musnah segala yang baik. Kemarahan seperti itu adalah penyakit, yang tidak guna dibiar menyala di dalam hati. Sudah sekian lama aku cuba memadamkan api ini dan menyembuhkan penyakit hati.

Tetapi aku masih menyimpan kemarahan terhadap diri sendiri, cuma tidak ditonjolkan. Datangnya dari kekecewaan sendiri, bukan takdir yang hendak dipersalahkan. Kecewa dan sedikit marah kerana masih kekurangan pencapaian untuk diri sendiri. Hendak berubah dan buang sikap buruk ini tak semudah berharap dan berimpian, melainkan setelah diuji pada situasi yang menduga kesabaran tersebut. Aku cuba dan terus menerus berazam untuk menumpaskan musuh yang bersifat api ini dengan membina kubu kesabaran. Kesabaran adalah kebahagiaan.

Selain marah, ada satu lagi keluarga terdekat iaitu benci. Kebencian juga harus dibunuh sebelum kemarahan dan kebencian bergabung. Perasaan benci yang tidak bertempat dan disalahgunakan hanya mengundang kebinasaan diri. Kebencian juga sejenis penyakit. Mengotorkan hati. Malah sejenis racun yang mampu merosakkan kebahagiaan. Hati tidak tenang, jiwa hilang ketenteraman. Lawannya adalah cinta dan kasih sayang. Diri dan hati yang perlu mengawal kemarahan dan bukannya membiarkan kemarahan yang mengawal. Andainya suatu hari nanti menjadi seorang ketua atau pemimpin, tidak mustahil akan berlakunya kezaliman dalam keadaan emosi yang penuh kemarahan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s