Pembicaraan

Aku sudah melakukan apa yang perlu. Cuma masanya belum tiba untuk aku melangsaikan suatu perkara dengan jaya. Hal yang sedang menjerut di benak fikiran aku kalau boleh tidak mahu disebut lagi. Hanya menambahkan keserabutan, sakit hati, marah dan stres. Aku kembali memulakan langkah dengan semangat baru dan cuba berpegang pada nilai-nilai positif. Ternyata itu semua belum menjamin kemudahan untuk aku menjalani kebangkitan semula dengan mudah. Ada harinya aku positif, ada masanya berubah pesimis. Murung dibuatnya. Seperti pagi yang cerah sedang bertukar mendung dengan awan gelap. Oleh kerana mereka ingin penjelasan, aku terpaksa menjelaskan.

Paling menyakitkan perasaan, apabila aku mengetahui ada suara sumbang yang bercakap tentang aku di belakang. Bukankah lebih elok jika merujuk kepada aku terlebih dahulu sebelum membuat spekulasi rambang. Memang geram, tetapi situasi aku tidak melayakkan diri ini untuk melepaskan geram tersebut. Aku sedang terikat dengan harga maruah aku sendiri yang dipajakkan kepada mereka agar aku melakukan seperti apa yang diharapkan. Kalau aku hilang pertimbangan, mahu sahaja mencetuskan amuk, biar puas walau pun kemakmuran antara aku dan mereka jahanam.

Ingin saja aku melepaskan ribut yang sedang bergolak di dalam hati dan hampir bertengkar dengan seseorang. Dia menjadi seorang wakil yang menyampaikan bicara mereka yang menikam terhadap aku satu persatu. Aku fikir aku tidak keseorangan saat dibelenggu permasalahan, rupanya tidak. Dia berada di pihak mereka yang menekan tetapi berlapik dengan makna kepedulian, padahal palsu. Tapi tidak mengapa, aku harus adil untuk mencari jalan penyelesaian dan mendengarkan saja spekulasi tersebut.

Di saat ini aku bertahan dari kepedihan yang sedang merodok hati dengan menarik nafas sedalam-dalamnya. Mendengar dengan rasional setiap butir perkataan yang dilontarkan kepada aku waktu itu. Mencari kesalahan diri sendiri berbanding kesalahan orang yang membicarakan tentang aku. Itu yang lebih utama. Biarlah aku yang menerima hamburan kemarahan tersebut asalkan aku dapat memperelokkan diri dan belajar sesuatu. Biar aku menanggung segala kesulitan daripada menonjolkan diri selaku mangsa keadaan. Hinanya diri apabila kelihatan terdesak untuk mengemis simpati murahan. Bukan kerana ego, tetapi demi harga diri.

Egokah aku? Padahal aku menerima segala pahit pedih kata-kata yang dilemparkan ke muka ini dengan tenang. Biar pun hakikat dan realitinya aku mengakui, aku yang silap. Mujur untuk perbicaraan ini aku memilih komunikasi dan perbincangan daripada mewujudkan perbalahan, maka aku diam dan menunggu perbicaraan ini selesai sebelum peluang untuk aku membela diri dibuka. Bukan mudah kerana aku bukan berada di mahkamah. Tidak ada peguam bela, hakim dan pengawal yang mengawal keadaan. Akulah yang menetapkan perbicaraan sendiri untuk meleraikan tanda tanya semua orang. Walau pun aku kecewa mereka tidak tampil bertanya dan lebih gemar berkata di belakang.

Setelah wakil pihak pendakwa selesai bicara, tiba pula giliran aku. Beberapa ketika tadi, aku berdiri. Oleh kerana teringat satu pesanan tentang mengawal emosi marah, aku duduk di kerusi untuk mendakap kesabaran. Tertunduk melihat ke lantai. Sebatang rokok dinyalakan, dengan sedutan yang mendalam. Kemudian aku menjelaskan dengan suara tenang bahawa aku sedang berusaha melakukan sesuatu seperti mana yang diharapkan mereka semua. Aku akan berusaha demi kepuasan mereka, meski pun kepentingan aku sendiri dikesampingkan. Sehingga sedutan asap rokok yang terakhir.

Rupanya itu tidak cukup memuaskan hati mereka. Aku dituduh seperti mementingkan diri sendiri. Malah aku pula yang dianggap tidak mempunyai sikap kepedulian terhadap mereka. Aku dikatakan tidak bersungguh dan komited untuk buat apa yang mereka mahu. Peluh sejuk membanjiri telapak tangan disertai rasa menggigil. Aku menggenggam penumbuk sambil menunduk. Suara yang tenang menjadi guruh tetapi belum sampai bertukar panahan petir. Kalaulah aku boleh lepaskan tumbukan itu kepadanya. Tetapi aku pilih untuk mengatakan sesuatu. Hidup ini bukan untuk memuaskan dan menjaga hati semua orang.

Aku tidak dapat membayangkan betapa sempitnya dunia ini pada waktu itu. Wakil pendakwa menerangkan kepada aku selepas menangkap ayat yang terakhir tadi. Aku disarankan agar menunjuk-nunjuk seperti semuanya berjalan baik. Dalam erti kata lainnya, berpura-pura agar orang lain tidak memandang sinis. Ingin saja aku ketawa dengan kuat bagaikan orang gila. Selanjutnya aku berkata, apa yang orang lain anggapkan seperti memandang serong, skeptikal dan sinis kepada aku, bukan termaktub dalam bidang kawalan aku. Kenapa perlu dikendong sebagai beban? Mereka yang tidak memahami situasi sebenar, mengapa aku yang perlu disalahkan secara total tanpa diberi ruang untuk menjelaskan?

Malam itu, perbicaraan tentang aku dan wakil pendakwa berlangsung sehingga menjengah waktu subuh. Kesalahan aku, memerlukan pembetulan di masa akan datang dan aku perlu mengubah apa yang kurang elok di mata orang lain. Entahlah, aku bingung dengan saranan tersebut. Perasaan aku pada malam itu sangat kacau bilau walau pun zahirnya aku kekal tenang. Aku seakan hilang punca untuk berbuat apa selanjutnya, bagi memuaskan hati orang lain. Katanya demi masa depan aku. Tapi, aku rasa seperti demi kepuasan mereka sebenarnya.

Kalau ditanyakan kepada aku apa yang aku inginkan. Aku ingin bebas dari semua masalah ini. Sama ada berjaya atau tidak, aku sudah tidak peduli lagi. Asalkan bebas dari hutang-hutang budi yang mereka laburkan kepada aku, dalam keadaan pelaburan tersebut cenderung untuk hangus. Bebas dari rancangan aku yang tidak menjadi, untuk bergerak melakukan perkara yang baru. Terpulang pada mereka untuk menganggap aku berputus asa untuk perkara yang tidak bermakna lagi pada aku. Aku fikir aku faham mereka sedang mengambil berat, tetapi mengapa aku yang semakin tertekan dan remuk?

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s