Tak Dapat Tidur

Lolongan anjing, bunyi kenderaan dan suara percakapan dari entah siapa tidak henti-henti mengganggu. Setiap hari dan setiap malam. Inilah keadaannya apabila menetap di sebuah rumah yang berdekatan jalan raya. Dekat pula dengan kedai makan, stesen minyak atau jiran yang tidak reti bahasa. Ketenangan kerap kali dicuri. Itu belum lagi malam minggu, banyak pelesit jalanraya membuat bising. Sudahlah hari bekerja tidak puas tidur. Hari minggu juga tidak pernah aman.

Sesekali pulang ke kampung, keadaannya berjarak jauh antara rumah-rumah atau tempat orang. Suasana sunyi sepi terlalu mencengkam seakan terngiang atau berdengung pada pendengaran. Betul-betul sunyi melainkan yang ada hanyalah nyanyian oleh cengkerik. Seharusnya tidak mengganggu, malah mampu mendodoikan. Irama alam semula jadi. Mampu memberikan tidur yang nyenyak lagi mendamaikan.

Bising sudah tentu memberikan masalah untuk mengharapkan lena berkunjung dengan mudah. Seharusnya malam yang sunyi sepi merupakan suasana paling mendamaikan untuk mencorakkan mimpi. Seterusnya dapat memulakan hari baru dalam keadaan segar. Pagi terasa gemilang.

Tapi suasana yang sebegitu belum cukup memberi keinginan seperti yang diharapkan. Semuanya berpunca daripada rasa bahang malam sehingga berpeluh-peluh. Terutama di rumah batu. Ini negara khatulistiwa yang suhu normalnya begitu. Dipasangkan pula kipas dengan harapan angin sejuk dapat menghadirkan lena yang panjang. Tetapi, masih tidak mencukupi.

Nyamuk bermain-main di telinga, menyucuk pada kulit yang terdedah. Terutama di muka, tangan dan kaki. Terus terbangun setelah bengang dan penat bertepuk tampar dengan nyamuk. Ingin disumpah seranahkan tidak berbaloi kerana sudah resminya begitu. Terus dibakarkan satu lingkaran racun penghalau nyamuk Fumakila. Dicapainya satu tin racun penyembur nyamuk jenama Shieldtox.

Masih lagi belum cukup menemukan lena. Atmosfera bilik pula berkabut dengan asap lingkaran “ubat” nyamuk tadi. Angin kipas turut memainkan peranan. Hidung pula terasa seakan lemas dan berair. Kadang boleh terbersin. Kalau ada asma atau alahan, mungkin memburukkan lagi keadaan. Bukan tidak ada racun lain yang mesra penafasan. Tetapi harganya agak mahal sedikit atau paling mudah berkelambu sahaja.

Hujan merupakan keadaan yang membahagiakan. Malam bertukar sejuk kerana hujan memberikan kedinginannya secara semula jadi. Penghawa dingin kurniaan Tuhan. Alangkah bahagianya dirasa, berbaring dalam keadaan mengiring, seperti bayi dalam kandungan. Berselubung penuh dengan selimut tanpa memerlukan kipas. Terutama di rumah papan.

Tambah memuaskan lagi, apabila telah seharian berpenat lelah melakukan kerja, atau bersekolah dari pagi sehingga ke petang. Tidak perlu dipaksa-paksa mata untuk rapat dan terbang dalam lena. Cukup sekali berbaring hanya beberapa saat sahaja, selamat tinggal dunia realiti. Kepenatan membuatkan segala yang terbit difikiran dilucutkan serta-merta tanpa sebarang budi bicara.

Apa lagi yang tidak kena dengan tempat tidur? Barangkali hamparan toto atau tilam yang terlalu nipis. Ditambah pula tubuh kurus yang timbul dengan tulang belulang. Berlunjur terasa sengal di bahagian tongking dan belikat. Mengiring terasa lenguh di bahu dan pinggang. Terpaksa beralih tempat tidur di atas katil. Ikut keselesaan masing-masing.

Bantal yang berisikan kekabu tidak sama dengan kapas atau span. Bezanya bantal kekabu memberikan rasa yang sejuk dan mampu mengikut postur tengkuk. Caranya dengan menepuk-nepuk untuk memberikan kegebuan pada bantal. Dipadankan pula dengan tilam tebal yang empuk. Tidak kira di atas lantai atau katil asalkan tebal. Itu sudah memadai. Kalau tidak puas hati juga, nanti beli tilam mahal yang dihasilkan oleh kejuruteraan tilam dan mempunyai teknologi keselesaan. Silapnya nanti malas pula hendak bangun pagi.

Mungkin cahaya lampu yang mengganggu. Sesetengah orang tidak boleh tidur dengan adanya sedikit cahaya, termasuklah lampu tidur. Tapi, sesudah berada dalam gelap gelita, tiba-tiba mata membuntang jadi segar. Mungkin itu situasi biasa yang memerlukan sedikit masa untuk retina menyesuaikan keadaan. Atau sebenarnya takut berada dalam gelap? Apatah lagi di ruangan bilik yang besar. Rasa seperti diperhatikan. Padahal sudah besar panjang.

Apa lagi yang hendak dipersalahkan? Barangkali waktu tidur yang tidak teratur. Kopi dan segala minuman berkafein adalah musuh utama yang perlu dihindari beberapa jam sebelum tidur. Maka, perlunya untuk tidur awal. Tapi, tidak semena-mena pula terjaga pada waktu yang tak sepatutnya. Kata orang alim, baguslah ada kesempatan untuk beribadah malam. Pernah juga. Tapi itu belum cukup menyelesaikan masalah tidur yang tidak teratur.

Biasanya sebelum tidur merupakan detik untuk merenung dan bermuhasabah diri. Jarang untuk  berbaring dan terus memejam mata kecuali terlalu kepenatan. Sesekali diri diingatkan semula apa yang telah dilakukan dalam sehari suntuk. Boleh jadi mengimbas semula apa yang telah dilakukan sepanjang minggu, bulan, atau tahun. Hingga tidak sedar malam telah menjauh. Sedar-sedar sudah tengah pagi. Kadangkala menjadi medan rindu, kenangan turut bertamu, atau sebagai susunan aktiviti untuk hari esok.

Sementara menunggu lena menjemput, fikiran menerawang jauh. Pada waktu lain yang senggang tidak terfikir. Entah mengapa pula sebelum tidur semakin galak fikiran berbicara. Mencurah-curah dengan pelbagai idea dan persoalan. Angan-angan, impian, cita-cita, visi dan misi meluap-luap tak terkawal. Tiba-tiba menjadi seorang pemikir. Kalau dilayan mungkin boleh sampai pada tahap pemikiran ahli falsafah. Hasrat untuk mendapatkan tidur yang cukup akhirnya terbantut. Pagi esoknya bermata merah dan lesu. Bangun tidur yang diharapkan penuh dengan semangat bertukar kepada penyesalan.

Pada suatu keadaan, apabila menanti hari yang penting dan tersemat agenda tertentu, sememang akan terbit perasaan teruja. Tambah lagi pada malam beberapa jam sebelumnya. Antara debar, takut dan tidak sabar, semuanya bercampur-baur. Keadaan ini menyebabkan kesukaran untuk memejamkan mata. Kejayaan dan kebahagian tidur dapat dirasakan setelah melalui detik tersebut dengan lancar. Seperti tidak ada lagi hari esok. Waktu itu, tidur merupakan syurga.

Pada keadaan yang lain, masalah yang membelenggu dalam hidup juga mengganggu waktu tidur. Seolah-olah esok merupakan hari terakhir di dunia. Sedangkan halnya tidak seberapa dan boleh diselesaikan sebenarnya. Puncanya disebabkan terlebih fikir dan terlalu risau. Kerunsingan akhirnya membawa kepada gelaja kemurungan, lalu apa lagi kalau bukan insomnia?

Percayalah, tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan, dengan izin Tuhan pasti ada jalannya. Seperti bait lagu Maher Zain. Seorang yang optimis dan positif selalu menyebut hidup ini perlu dipandang ke arah hadapan. Jangan dibuai lena dengan nostalgia berlebihan di masa lalu. Semalam telah pun bertukar sejarah. Tinggalkan ia dengan rasa hormat. Keluar dari kitaran yang tidak berpenghujung tersebut untuk bergerak ke fasa seterusnya.

Ini semua gara-gara masa depan yang masih kabur dan tidak pasti. Bukan salah bising, salah panas, salah nyamuk atau tilam yang tidak empuk. Penat hendak menyalahkan diri sendiri. Berdosa pula kalau menyalahkan takdir Tuhan. Terlalu klise tapi itulah hakikat bahawa belum tentu segala yang dirancangkan akan bergerak pada landasan yang di bina. Pada keadaan ini, dengan masa dan umur yang telah dilalui. Di mana kau sekarang, apa yang telah dicapai? Rasanya macam tidak bergerak ke mana-mana. Masih lagi tersekat di fasa yang sama, semacam ada sesuatu yang merantai.

Entahlah, hendak kata menyesal pun tidak juga. Sememangnya yang telah berlalu, walau pun pahit, telah diterima dengan lapang dada. Kekecewaan lalu telah pun dilepaskan satu persatu. Cuma masa depan sahaja yang masih celaru dan berada di persimpangan dilema. Episod kegagalan lalu adakalanya menghantui diri walau pun sebentar tadi mengaku telah dilepaskan. Sehingga membenihkan keraguan yang tidak munasabah. Semangat dan emosi tidak pernah konsisten. Itu yang mengganggu tidur saban hari.

Pada perspektif lain, tidak semua harapan dan gaya berfikir positif serta optimis dapat membantu semua keadaan. Ibarat menanamkan harapan palsu dan menipu fikiran sendiri. Puas mencandukan diri dengan positif, lalu apa? Bersabar dan terus bersabar itu memang perlu, kerana buahnya terlalu manis untuk dinikmati, sesuailah dengan nilai kesabaran yang mahal. Oh, nampaknya begitulah. Sekali lagi terjebak dengan fikiran dan renungan yang begitu mendalam. Jam menunjukkan 2.45 pagi. Mata tidak mahu tidur lagi. Esok merupakan penyesalan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s