Bukan Cari Penyakit

Pada pertengahan bulan Januari, aku keracunan makanan. Ini kali kedua aku mengalami sakit perut yang kronik, seperti tahun lepas pada bulan puasa. Tak pernah seumur hidup mendapat kesakitan di dalam perut yang begitu dahsyat. Seluruh badan berpeluh deras, kejang di bahagian perut campur pedih dan bisa, tak mampu untuk berbaring lurus dan berfikir apa-apa untuk beberapa jam. Sapu minyak cap kapak dan minum air masak dengan banyak, kemudian minum segelas milo atas saranan mak cik, mungkin aku disyaki terkena gastrik. Akhirnya, aku muntah-muntah beberapa kali sehingga perut kosong. Ketika menghampiri senja, barulah beransur pulih dan mula menjamah makanan.

Tahun ini menyaksikan ramai keluarga dan kenalan yang meninggal dunia. Seorang demi seorang telah pergi, meninggalkan ingatan serta kenangan pada yang masih berada di persinggahan sementara ini. Kelmarin Encik Akmal, setelah berbulan-bulan menderita kanser paru-paru. Kemudian, saudara di kampung kerana sakit tua. Anak Tok Imam, setelah lama jatuh sakit selepas kemalangan. Dan yang terbaru seorang saudara juga, akibat kencing manis. Berita pemergian mereka telah menjadi sebahagian peristiwa untuk suku tahun pertama.

Aku perasan, ramai ahli keluarga yang semakin peka terhadap kesihatan. Perbualan tentang penjagaan dan pemeriksaan kesihatan mendapat tempat di meja makan dan bual bicara santai. Emak menceritakan kadar kolestrol yang berada di paras waspada, Mak cik dengan masalah kekurangan minum air, Poksu masalah creatinine, Pak Long bengkak kaki kerana kencing manis, Pokde mendapat strok mata. Mokde menghidap tumor di dalam usus berhampiran rektum, Atuk Su Leman sakit lutut. Kelmarin, Atuk jatuh di kebun berpunca daripada sakit belakang dan kejang otot akibat terlalu bersemangat hendak berkebun. Paling baru adalah nenek, terkena cirit birit serta berak darah. Terjadi sehari selepas makan kenduri.

Biarpun sakit pening, demam, batuk dan selesema. Tidak boleh dipandang remeh. Walau pun tak ada sakit, tetap perlu melakukan pemeriksaan. Dalam kes Mokde yang selama ini rekod kesihatannya baik, tidak dijangka mendapat ketumbuhan serius di dalam usus. Bermula dari bulan Februari, sakit perutnya melarat setiap hari sehingga hilang selera makan serta susut berat badan mendadak sampai kurus. Setelah melakukan pemeriksaan secara intensif, doktor mengesahkan ada tumor berhampiran rektum. Pada minggu lepas telah pun selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tersebut. Kes tidak tamat setakat itu, bahagian yang dipotong dihantar ke makmal untuk disiasat dengan harapan bukan kanser.

Aku bertemu Pokde petang kelmarin, selepas sehari suntuk dia menemani isterinya di wad. Kemudian bercerita panjang lebar berkenaan kronologi penyakit yang dihidapi oleh Mokde. Selain rawatan hospital, sempat pergi berubat dengan kaedah perawatan Islam. Bimbang jika terkena buatan orang yang dengki, kerana Mokde seorang peniaga. Menurutnya, tiga orang Ustaz dari tempat berbeza memberitahu perkara yang sama iaitu ‘santau’. Aku tidak memberi sebarang komen untuk cerita tersebut. Tidak pula memihak untuk percaya atau menolak. Lagi pun persoalan sudah terjawab. Melainkan perawatan hospital tidak dapat mengesan apa-apa penyakit, barulah boleh diklasifikasikan sebagai buatan orang.

Pada suatu peristiwa yang lain, Atuk Su Leman melakukan rawatan sakit lutut di rumah dengan kaedah tradisional. Aku tidak berniat untuk skeptik, tetapi melihatkan cara perawat melakukan rawatan, membuahkan pelbagai persoalan dalam kepala. Pada mulanya aku menyangka cuma sesi mengurut. Tetapi menjadi keanehan apabila perawat terkumat kamit membaca ayat. Kemudian ada babak seperti sedang menghalau sesuatu di muka pintu disertai amaran supaya jangan kacau anak cucu Adam. Apakah sebenarnya perawat memang benar-benar pasti kaedah rawatannya atau sekadar gimik. Bukan aku tidak pernah melihat rawatan sebegini, cuma caranya tidak menampakkan ketulenan. Waktu itu senja, dan aku dipanggil masuk ke dalam rumah. Tidak ada kesimpulan yang boleh aku rumuskan. Tidak sesuai untuk membahaskan persoalan ini di hadapan mereka yang juga ada kaitan keluarga.

‘Chicken Pox’ rupanya satu keluarga dengan penyakit cacar. Pertengahan tahun 2006, penuh bintik-bintik berair di seluruh kulit badan aku. Kemudian baru-baru ini, Poksu secara berseloroh mengatakan dirinya telah bertukar kepada zombie yang berpunca dari T-Virus, seperti dalam filem Resident Evil. Dua minggu mengambil MC gara-gara virus tersebut. Tak sangka pula seseorang yang telah melewati usia 30-an masih boleh terkena, kerana aku menyangka ‘chicken pox’ ini berlaku di usia muda. Mengikut sangkaan aku sendiri, orang dewasa mempunyai antibodi yang kuat. Ternyata salah. Sesiapa pun jua dan tanpa mengira usia semua boleh terkena. Malah, risiko untuk orang dewasa yang menghidapinya lebih tinggi.

Ketika Atuk jatuh dan tidak boleh bangkit berdiri di kebun, Pak Long mengalami bengkak kaki impak dari kecederaan sewaktu di rumah. Kencing manis yang dihidapi menyebabkan luka di kakinya mendapat simptom jangkitan kuman. Lalu demam beberapa hari dan mengalami kegigilan. Atuk yang berusia 85 tahun lain pula ceritanya. Semangat saja yang kuat, tapi telah kehabisan kudrat, masih lagi nak melakukan kerja yang tidak sesuai dengan peringkat usianya. Boleh dikatakan melebihi 25 tahun dari umur persaraan.

Risiko untuk warga emas mendapat kecederaan sangat tinggi berdasarkan keterangan Pak Long, pesara MA Hospital. Tulang peha dan belakang merupakan bahagian yang mudah untuk berlaku fraktur. Selain itu kejang, cedera di bahagian sendi turut berpotensi. Kelmarin terjatuh terlentang di atas tanah, seperti kura-kura yang terbalik. Tak boleh bangkit kerana sakit bahagian belakang. Akhirnya dipapah ke rumah agar berehat, kebun terletak di belakang rumah sebelum ke klinik. Seminggu kemudian, sakitnya berulang kembali. Kali ini badan tak berdaya untuk bangun. Kebiasaannya seawal subuh sudah bangun, hari itu Atuk terbaring kesakitan. Selepas di bawa ke klinik, terus berehat tidur sepanjang hari. Kelihatannya kesan ubat yang diberi oleh doktor begitu kuat. Begitulah keadaan Atuk, ramai berasa bimbang kerana prihatin akan keadaannya. Tapi Atuk tetap bersahaja dan steady!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s