Menonton Lingaa

Kelmarin, menonton filem Lingaa lakonan Rajnikanth. Kisah tentang seorang pemuda bernama Lingeswaran, tetapi tidak suka dengan namanya sendiri yang sama dengan nama datuknya iaitu Raja Lingeswaran. Sebab, datuknya yang kaya raya dan berketurunan raja tak mewariskan kekayaan kepada keluarganya. Malah, dia yang tidak begitu mengenali peribadi datuknya sekadar mendengar spekulasi dari orang lain. Jadi, dia sendiri hidup miskin dan menjadikan kerjaya mencuri barang berharga sebagai punca pendapatan. Sehinggalah dia mengetahui perkara sebenar tentang datuknya telah melaburkan seluruh kekayaan untuk membantu penduduk kampung dengan membina empangan bagi mengairi tanaman dan kegunaan penduduk.

Pada misi mencurinya yang terakhir bersama rakan-rakan, Lingaa dijebak oleh seorang wartawan bernama Lakshmi yang mengugut untuk melaporkan kepada polis. Tujuannya supaya Lingaa lari bersembunyi, Lakhsmi mengambil kesempatan itu untuk mengajak Lingaa pulang ke kampung asal datuknya. Penduduk kampung sekian lama terhutang kemaafan dan budi baik terhadap Raja Lingeswaran (datuk Lingaa). Ini disebabkan raja tersebut telah difitnah sebelum penduduk mengetahui cerita sebenar, bahawa raja tersebut sememangnya berhati mulia dan berkorban harta demi kesejahteraan penduduk.

Filem ini tidak seperti filem lakonan Rajnikanth yang lain, di mana kurangnya babak pertarungan dan aksi yang berlawanan dengan logik (yang luar batasan itulah biasanya menjadi hiburan apabila menonton filem tamil). Kekuatan Lingaa dipertaruhkan melalui jalan cerita berbentuk drama. Ketika seorang tua sewaktu zaman mudanya mengenali Raja Lingeswaran bertemu Lingaa, dia menceritakan segalanya pada malam Lingaa merancang untuk mencuri batu zamrud bernilai tinggi yang tersimpan di sebuah kuil. Kuil itu juga dibuka oleh datuknya, yang kemudiannya ditutup oleh penduduk kampung kerana termakan fitnah pegawai british dan adu domba tali barut british tersebut. Maka, kedatangan Lingaa dialu-alukan untuk menjernihkan kembali kekeruhan sebelum itu.

Walaubagaimana pun, ada seorang wakil rakyat mempunyai agenda jahat untuk meraih laba dengan cara menyeleweng. Lakshmi memainkan peranan untuk menyiasat kemungkaran ahli politik tersebut dengan membongkarkan plot bersifat syaitannya. Empangan yang dibina oleh Raja Lingeswaran hendak dirobohkan. Mungkin, dia ingin mengambil kesempatan dengan meminta dana kerajaan untuk membina empangan baru, kemudian mendapatkan komisyen. Aku kurang ingat tujuan sebenar ahli politik tersebut. Lingaa setelah mengetahui ada usaha untuk menghancurkan reputasi datuknya bertindak untuk menghalang perbuatan itu, sekaligus bertaubat dari aktiviti mencuri dan berhasrat tidak mahu mencemarkan nama baik datuknya. Mujur polis mempunyai budi bicara terhadap Lingaa kerana menyekat jenayah yang bakal berlaku.

Apa yang menarik fokus aku dalam Lingaa adalah sikap dan keperibadian Raja Lingeswaran yang dijulang sebagai pejuang untuk bangsa dan negaranya. Namun, menjadi mangsa kebusukan fitnah pegawai inggeris yang kononnya menjaga maruah kerajaan British. Sekali pun Raja Lingeswaran ditentang oleh warga kampungnya sendiri, dicaci, diherdik sehingga dihalau. Dia tetap kekal berprinsip, tenang menghadapi dugaan, berjiwa besar, dan sedikit pun tidak melemahkan semangat untuk memperjuangkan nasib penduduk kampung. Masih boleh tersenyum, bersabar dan tidak berputus asa walau pun telah kehilangan status kedudukan sebagai raja yang kaya raya. Melucutkan pakaian kebesarannya dengan menjadi seorang raja berjiwa rakyat.

Sanggup dia memikul beban tanggungjawab dan berkorban apa saja asalkan amanah kepada bangsa dilaksanakan. Bukan untuk pujian pada dasarnya, meski pun dia pernah berharap untuk mendapat penghargaan, seperti peribahasa harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Bagaimana Raja Lingeswaran dalam menghadapi dugaannya sungguh menyentuh perasaan. Segala perasaan dendam, amarah, kebencian, sakit hati, kekecewaan, walau begitu hancurnya hati yang sepatutnya dirasakan sebagai seorang individu, dipendamkan dengan sabar, tidak sedikit pun mengurangkan ketulusan dan keikhlasan pada apa yang diperjuangkan olehnya. Itulah kunci kebahagiaan dan ketenangan.

Raja Lingeswaran menegaskan dengan keimanan tinggi bahawa kebahagiaan bukan terletak pada kemewahan yang bersifat material. Itu semua duniawi. Umur yang terbatas belum tentu dapat menikmati kekayaan dan tiada guna jika sepanjang hayat tidak pernah mengecap kebahagiaan sejati. Seberapa banyak harta yang ada tidak berguna satu sen pun jika tidak dimanfaatkan pada jalan kebaikan. Justeru dia menginfakkan dan mewakafkan seluruh kekayaannya untuk kemaslahatan orang ramai demi mencapai kebahagian sebenar. Sebab itu kesusahan yang dialami setelah berkorban sepenuh jiwa raga, tidak mengugah kebahagiaan yang bertakhta di hati.

Sedikit sebanyak setelah menonton filem ini, aku teringat lagu dari kumpulan Dewa 19, iaitu Hadapi Dengan Senyuman. Sangat terkait dengan sikap watak Raja Lingeswaran. Selain dari menonton filem Lingaa pukul 2 petang hari Sabtu kelmarin, merangkap hari pertama berpuasa, sebelah malamnya ada telefilem hebat. Adaptasi dari novel karya sasterawan negara, Shahnon Ahmad. Biar pun tak pernah membaca karya Shahnon Ahmad, daripada rekomendasi yang berkumandang di media sosial, aku terpengaruh untuk menonton. Dan memang terasa, telefilem bertajuk Srengenge tersebut lain daripada yang lain. Sekian lama tak menonton telefilem tempatan, ternyata Srengenge merupakan satu lembaran pembaharuan. Semoga di masa akan datang akan melahirkan lebih banyak telefilem atau filem yang diadaptasi dari karya sasterawan negara. Barulah layak disebut karya yang mempunyai nilai seni.

Hadapi dengan senyuman
Semua yang terjadi biar terjadi
Hadapi dengan tenang jiwa
Semua kan baik-baik saja

Bila ketetapan Tuhan
Sudah ditetapkan, tetaplah sudah
Tak ada yang bisa merubah
Dan takkan bisa berubah

Relakanlah saja ini
Bahwa semua yang terbaik
Terbaik untuk kita semua
Menyerahlah untuk menang

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s