Jurnal Perasaan

22 November, 2016.

Bukan mudah untuk melupakan seseorang yang dianggap istimewa dan bermakna. Seseorang yang namanya pernah terpahat di dalam hati, sehingga melahirkan sebuah perasaan yang tidak mampu diulas dengan kata-kata. Seperti susahnya untuk menghuraikan makna cinta, begitulah susahnya untuk melupakan segala tentang dirinya. Kesukaran untuk melupakan si dia tergantung pada setinggi mana sanjungan atau kedudukan dia di hati. Seberapa besar perasaan yang pernah kau suburkan kepadanya, semakin berat untuk melemparkannya keluar.

Cinta yang membutakan atau itulah yang dianggap sebagai cinta yang sejati dan luhur, kadang-kadang garis sempadannya terlalu halus untuk dibezakan. Kononnya perasaan yang digalas terhadapnya adalah suatu tanda dia hak milik kau. Sehinggalah pada suatu masa dia melangkah pergi, saat itu hati dirasakan hancur berkecai. Dunia yang tak bersalah apa dituduh kejam, takdir dipersalahkan. Ah, aku tidak melampau sampai ke tahap menggila seperti itu. Cuma diakui memang pernah mengalami kesukaran untuk menewaskan rindu terhadapnya. Kini, tiada lagi kerinduan itu melainkan yang tersisa hanyalah ingatan lapuk.

Seseorang yang bernama kekasih boleh datang dan pergi. Tempohnya saja yang kita tidak tahu seberapa lama mana, seperti ajal yang tidak siapa pun tahu kedatangannya. Sekarang dia sudah pergi, sudah punya kebahagiaan bersama orang lain. Tak perlu pujukan sesiapa untuk memperkatakan ada yang lebih baik akan hadir nanti. Bab pengganti itu soal lain, apa yang menjadi masalah adalah tidak ada cara yang mudah untuk menghapuskan kenangan bersulam rindu terhadapnya. Terserah pada masa dan kecerdasan emosi. Itu saja yang aku boleh katakan buat sahabat yang sedang meluahkan beban perasaannya. Semoga berjaya “move on”.

Pada suatu sudut yang lain, terasa hendak memperlekehkan saja bebanan perasaan yang telah koyak itu. Oleh kerana yang sedang mengalami pengalaman sukar ini merupakan seorang sahabat, maka saranan yang klise dan ringkas aku katakan “rilekslah”. Hal perempuan atau makwe ini janganlah dibebankan berlebihan kepada fikiran. Banyak lagi kegundahan lain yang lebih berbaloi. Maka tenang dan bersabarlah. Lebih baik menumpukan pada keutamaan diri sendiri berbanding meratapi kekasih yang telah pergi. Latih diri supaya bersikap adil dalam membuat pertimbangan.

Cuba lihat ke dalam diri untuk menganalisa kekurangan atau kelemahan yang perlu dipertingkatkan. Gunakan kewarasan dan pertimbangan logik. Mungkin patut mempertanyakan diri sendiri apakah memang sudah bersedia untuk berkahwin. Mungkin komitmen sebenar belum cukup. Bukan untuk dia saja, kalau ada perempuan lain pun belum tentu cukup persediaan. Fokus pada menstabilkan kehidupan sendiri dan keluarga dahulu sebelum fokus dalam memburu jodoh. Tak tahulah kalau definisi cinta kau terlalu rendah kualitinya, sampaikan berkahwin kerana ingin mengelakkan keterlanjuran nafsu pada jalan yang salah. Ini cinta yang rendah kualitinya serendah kualiti drama melayu pukul 7 malam di TV3.

Sebagai orang lelaki, apabila umur semakin meningkat biasanya tidaklah menggusarkan andai jodoh belum berkunjung tiba. Ramai lelaki yang berkahwin lewat. Ada yang menakut-nakutkan kau apabila lewat berkahwin nanti anak lambat dewasa, itu semua persetankan. Rezeki masing-masing cepat atau lambat. Kalau kau perempuan, punya keinginan, tetapi masih belum berjodoh, memang merisaukan. Bezanya, lelaki mesti berusaha mengumpul mahar sebelum menyunting bunga di taman, perempuan tidak selalunya begitu. Tunggu saja orang masuk meminang, di sini kemudahan orang perempuan. Zaman sekarang ini berapa kerat yang tidak memandang pada jumlah hantaran?

Ah, berkahwin atau pun tidak, malas hendak fikir berlebihan. Membaca kisah-kisah imam mazhab yang terkenal itu pun ada yang tidak berkahwin, pasti ada alasannya. Bukan berlagak atau tak ingin, cuma menyedari belum cukup bersedia. Fokus untuk kehidupan yang stabil dan komitmen pada keluarga masih lagi menjadi fokus utama. Kalau tak sampai juga ke gerbang perkahwinan, apa boleh buat. Tapi kalau kau serius dan berniat ikhlas, menganggap perkahwinan itu suatu ibadah, kau pasti berkahwin juga kerana Tuhan. Bukan kerana rupa, cinta, harta atau apa saja, tetapi demi ibadah kepada Tuhan. Konon beralasan belum berjodoh, padahal mungkin niat kau saja yang tidak tulus dan ikhlas.

Di awalnya tadi berbicara tentang kesukaran untuk melupakan seseorang. Tapi apa kaitannya dengan perkahwinan? Pada aku, apalah makna cinta kau pada seseorang itu jika tidak disertai dengan niat untuk berkahwin. Lainlah kalau kau bukan seorang yang mengamalkan kehidupan beragama. Kalau kau seorang yang bebas, tak perlulah berkahwin untuk bercinta dengan orang yang kau suka. Jadi, cubalah bangkit sedar, berpijak pada realiti. Jika dia yang meninggalkan kau, dan tidak ada peluang lagi untuk diraih. Cubalah fikirkan alasan mengapa ia harus berlaku, dan mengapa tidak patut berlaku.

Aku memasukkan alasan seperti keutamaan hidup dan perkahwinan untuk menyedarkan mengapa kau tidak dapat hidup bersamanya. Mengapa kau harus dakap kekecewaan di atas pemergiannya? Aku memberitahu alasan-alasan ini agar kau merelakan apa yang telah terjadi dengan cinta yang tak kesampaian itu. Maka lepaskan dan redhalah. Dia yang telah pergi, jasadnya saja. Apa yang membuatkan hati kau sakit dan kecewa kerana ketiadaan jasadnya di sisi kau. Kalau benar perasaan kau itu cinta yang sejati, dia tetap berada di dalam hati, meski pun tidak memiliki. Cinta tidak hadir untuk menyakitkan, kerana cinta sepatutnya menyembuhkan, memberi kekuatan dan menyuburkan kebahagiaan.

Lalu, aku memikirkan ini sebagai rumusan setelah mengadakan sesi pertukaran pendapat dengan sahabat. Sekadar perbincangan yang dalam atau seperti lagu Yuna – Deeper Conversation, sewaktu melepak dan santai berborak. Topik yang bersifat universal, ramai yang bercakap tentangnya. Tapi jarang sebagai lelaki membincangkan hal semacam ini, kerana sifat ego dan keras. Atau sebenarnya segan. Atau “tak jantanlah kalau cakap pasal cinta bro”. Atau kita yang mendiskriminasikan topik ini sebagai hal orang perempuan. Dulu aku menyangka begitu, sekarang aku rasa sesiapa pun boleh bercakap hal ini. Selagi kau masih ada sifat dan fitrah kemanusiaan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s