Mimpi Dan Perpisahan

Dia yang telah menjadi sejarah. Bagaimana untuk aku mulakan dengan kata-kata. Dia merupakan gelora ingatan yang begitu sulit untuk dilupuskan. Bertahun-tahun tidak bertemu seharusnya memudahkan ingatan ini lupa kepadanya. Suatu masa ingatan usang tersebut mengetuk-ngetuk pintu hati. Aku pun tidak faham mengapa. Mungkinkah kesunyian dari kehadiran seseorang telah membuatkan kerinduan dulu menjelma semula.

Dia yang sudah hampir sepenuhnya tersingkir dari ingatan, kembali menghantui lubuk perasaan. Kedatangannya tidak pernah diundang sama sekali. Alis matanya, garis senyuman yang terhampar di bibir, raut wajah dan lintasan keharumannya telah pun terhapus. Pernah aku menganggap dia sebagai khayalan semata-mata. Dirinya bagaikan fantasi yang dicipta untuk sebuah angan-angan. Namun, dia kembali aku kenali setelah mimpi-mimpi tentangnya mengejutkan aku.

Peristiwa yang telah aku alami itu seperti sukar untuk dimengertikan kerana tampak sebagai dejavu. Masih teringat lagi mimpi pertama yang mencetuskan beberapa siri mimpi tentangnya. Kebanyakan mimpi-mimpi yang tercipta tidak mengesankan diingatan. Mimpi berkenaan dirinya membangkitkan seribu tanda tanya. Sampai ke hari ini aku teringat pada jalan cerita mimpi tersebut. Dia seperti gambaran oleh “Bayangan Gurauan”, sebuah lagu dari kumpulan Mega.

Di sebuah stesen bas, ketika itu sesak dengan orang ramai. Aku bersama penumpang lain sedang berjalan untuk keluar dari bas, entah dari mana arah dan tujuannya tidak pasti. Ketika menuruni tangga pintu, mata aku telah tertancap pada seorang gadis berkaca mata dari pandangan sisi. Bersama persoalan dibenak. Aku tidak kenal gadis itu. Dia menyandang sebuah beg, dengan memakai baju berwarna merah disebalik kardigan berwarna gelap dan bertudung cerah berbunga.

Aku memandangnya sepintas lalu kemudian secara kebetulan mengekorinya dari belakang. Kemudian memerhatikan gelagat orang lain sambil duduk di sebuah bangku untuk berehat sebentar tanpa mengetahui arah tuju. Dia pula berdiri tidak jauh dari aku sambil menoleh kepada aku dengan renungan bertanda tanya. Mungkin sedang melakukan pengecaman, seperti mana aku melihatnya dengan maksud yang sama.

Setelah itu aku membuat satu kesimpulan bahawa aku dan dia tidak saling mengenal antara satu sama lain. Aku sambung berjalan menuju ke satu lapangan, iaitu tempat meletak kereta. Sekadar melaluinya sahaja tanpa menanti sesiapa. Langit mendung sedang merembes titisan gerimis di saat itu. Di bawah perdu sebuah pokok ceri berdaun lebat aku terlihat gadis itu sekali lagi. Dia tersenyum kepada aku. Baru saja aku hendak menghampiri dan memulakan perbualan, ada sebuah kereta berhenti.

Senyumannya aku masih ingat sampai ke hari ini. Dia berjalan ke arah kereta tersebut. Aku berdiri kaku di tengah jalan, menyaksikannya memasuki kereta. Sebelum menutup pintu kereta, aku sempat memandang  ke arah tempat pemandu. Ada seorang lelaki yang aku ramalkan sebagai bapanya. Buat tatapan kali terakhir, dia melambaikan tangan ke arahku bersama ukiran senyum sebelum menutup pintu kereta. Aku masih lagi berfikir, siapa gadis ini. Adakah dia mengenali aku?

Itulah mimpi pertama sebagai pertemuan semula. Aku sangat yakin tidak mengenal gadis itu. Bukan sesuatu yang aneh untuk bermimpikan seorang  gadis yang tidak dikenali. Cuma, aku masih memikirkan dia setelah aku terjaga. Kadang kala, kita berada di satu tempat yang ramai orang, boleh jadi telah mempengaruhi mimpi. Aku bermimpikan dia kemudiannya sehingga empat atau lima kali kalau tidak salah kira.

Ketika aku berada di sebuah deretan kedai yang menjual pelbagai cenderahati, aku bertemu dia sekali lagi. Ketika itu aku bersama dua orang kawan. Memerhatikan pelbagai rantai kunci yang tersusun di atas meja. Dia sedang berjalan dengan kawannya dan tidak perasan aku di situ. Kemudian aku pun berlalu pergi sebelum mimpi bertukar babak. Kali ketiga, aku bermimpi bertandang ke rumahnya. Saat itulah aku mendapat jawapan. Memang dialah orang yang pernah menjadi sebahagian daripada perempuan dalam kenangan.

Bagi merungkaikan misteri mimpi ini lebih lanjut, aku memulakan pencarian. Adakah benar-benar dia, kerana mimpi tersebut telah mengingatkan aku semula. Lama aku cuba mencarinya hanya di laman sosial, sekadar menyelesaikan teka teki dari mimpi. Lagi pun aku tidak mahu menaruh apa-apa melainkan tertanya-tanya pada ingatan melalui siri mimpi yang dialami. Bagaikan tersurat alamat tertentu. Apakah tempias rindu darinya? Atau malaikat sedang menyampaikan perkhabaran tentangnya? Tanpa aku mengerti dengan jelas untuk apa semua ini.

Mimpi seterusnya, aku bertandang ke rumahnya sekali lagi pada sebelah malam. Rupanya hari itu merupakan majlis pertunangannya. Aku terpandang dari luar menerusi pintu rumahnya yang terbuka. Dia duduk bersimpuh dengan pakaian berseri-seri di atas pelamin mini. Selepas itu, aku telah mengabaikan mimpi terakhir dan tidak lagi bermimpikan dia disaat aku ternanti-nanti episod pertemuan seterusnya. Tidak ada, meskipun aku ralit memikirkan dia saban malam. Dia tidak datang. Aku tahu itu hanyalah mimpi. Maksud aku mainan tidur semata-mata, bukanlah aku mengharap apa-apa.

Setahun kemudian, aku mendapat tahu dia akan berkahwin dalam masa dua minggu sahaja lagi. Aku terpana dengan berita tersebut kerana sangat berkait dengan mimpi tentangnya. Di saat aku dan dia benar-benar tidak berhubungan langsung setelah bertahun lamanya. Jadi, apakah sebenarnya mesej yang cuba diberitahu kepada aku menerusi siri mimpi tersebut. Ketika aku menemukan dia di laman sosial, memang mengejutkan wajahnya sangatlah hampir sama. Mana mungkin aku dapat kenali dia menerusi mimpi sedangkan kali terakhir bertemu pada sepuluh tahun dahulu. Aneh sekali pengalaman mimpi yang aku terima kerana mempunyai hubungan dengan alam nyata. Seakan dejavu dari mimpi.

Bermula dengan lambaian terakhir dari mimpi pertama, sudah menunjukkan bahawa dia telah memberikan lambaian perpisahan. Dia pergi dalam keadaan tersenyum menandakan sedang berbahagia dengan orang lain. Hampir saja aku menyangka bahawa dia telah meninggal dunia. Bukan mudah untuk melepaskan dan merelakan sebuah perhubungan yang terlerai tanpa sebarang ucapan perpisahan. Sekarang segalanya telah berakhir. Aku tidak berhutang perasaan apa-apa lagi.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s