Catatan Keresahan

22 November 2016

Kemana lagi selepas ini. Adakah perlu diteruskan pada perancangan awal yang telah hambar. Atau mencari haluan baru berkali-kali sehingga ditemukan perjalanan hidup yang meyakinkan. Apa yang ketara sekarang, sepertinya ingin berada di kampung halaman. Mengusahakan sebuah cita-cita yang pernah dihasratkan bersama teman-teman. Inilah dilema yang sering membelenggu fikiran. Pada suatu keadaan, semangat untuk ke arah itu amat berkobar-kobar, tetapi ada masanya keghairahan tersebut kembali sendu. Sampai bila hendak menunggu. “Sekarang bukan bermenung zaman bermenung”, bait lagu Seroja ini bergema memecahkan kesunyian yang membeku.

Seorang teman meluahkan betapa kecilnya perasaan tatkala menyaksikan saudara sendiri telah jauh mengorak langkah dalam hidup. Jangankan dugaan yang menimpa diri dijadikan sebagai alasan untuk terpuruk, telah terbukti insan lain yang mempunyai kesukaran lebih besar mampu untuk menempa kejayaan. Tentang kejayaan pula, aku tertanya-tanya sendiri apakah ukuran untuk mengatakan sesuatu usaha disimpulkan sebagai sebuah kejayaan. Apakah dengan menjadi jutawan barulah dianggap sebagai kejayaan. Mungkin aku tahu jawapannya cuma kekurangyakinan membuatkan aku menafikan erti atau definisi kejayaan. Akhirnya diulit kemurungan yang tak membuahkan hasil. Zahir sahaja nampak biasa, tetapi sebenarnya aku tidak gembira dan tidak tenang.

Banyak perkara yang merupakan minat, yang pernah menjadi keghairahan dan keterujaan, yang pernah aku lakukan dengan seronok serta semangat, yang pernah menjadi target untuk dikecapi seakan pudar dan tawar. Kini tiada lagi. Aku mencari sumber untuk menyalakan obor semangat yang terpadam, masih lagi tercari-cari pencetusnya. Bagi membuang segala gundah gulana yang menyelubungi perasaan, pembacaanlah sebagai penawar untuk pembebasan dari belenggu kelam dalam diri. Mencari jawapan, mencari kesimpulan, mencari pengertian untuk keluar dari jalan mati sebuah kehidupan.

Kata teman itu lagi, pernah juga terdetik untuk melakukan perkara yang negatif. Sebagai pemberontakan terhadap kekusutan yang merantai fikiran. Seteruk apa pun dugaan, aku kata jangan. Jangan sampai begitu. Membuat kesilapan itu cukup mudah, untuk berpatah balik cukup payah. Cukuplah dengan rokok. Aku mempunyai harapan untuk berhenti, malangnya kekusutan menjadikan aku terus bergantung kepada rokok. Hisap rokok untuk meredakan krisis dalam diri yang cuma seketika. Mungkin kini aku mengerti mengapa hamba dadah terus bergantung padanya, kerana mencari pembebasan dari krisis yang sedang berlaku dalam diri. Malangnya, pembebasan yang palsu sebegitu semakin menghancurkan diri sendiri. Kebahagiaan palsu yang membinasakan.

Kekacauan fikiran yang kadang kala melanda, telah sampai pada satu tahap membuatkan aku tidak dapat tidur sehingga pagi. Kadang berasa takut untuk menghadapi masa depan, kerana terlalu banyak ketidakpastian setelah menemui titik kegagalan dalam usaha yang dilakukan dan dirancangkan. Hingga terbawa-bawa di dalam mimpi, kemudian lena yang berpanjangan membawa kepada detik waktu yang berlalu sia-sia dan kosong. Pernah aku merasa dan kerap memikirkan tentang kematian yang menakutkan tanpa sebarang sebab. Maka, aku menuliskan keresahan tersebut sebagai terapi untuk keluar dari kekusutan itu, untuk menstabilkan kembali pemikiran dari sebarang stress. Kerisauan yang tidak semena-mena.

Sekarang aku bukan setakat lari dari masalah yang menemui jalan buntu. Aku bahkan melarikan diri dari bertemu sesiapa, menyendiri dirasakan lebih syurga berbanding bersosial. Menyendiri untuk melakukan introspeksi diri. Mengenang dosa-dosa lalu untuk dikesalkan. Harapan aku suatu hari nanti aku akan menemui cahaya terang dihujung terowong kelam hidup ini. Memujuk dengan mengingatkan diri bahawa Tuhan sedang peduli, menguji dan telah menyediakan perancangan terindah. Keyakinan merupakan kuncinya. Dan aku tidak sampai lagi berputus asa dan putus harap, untuk itu aku akan terus mencari. Hanya Tuhan tempat berharap, tidak ada yang mustahil untuk Dia meminjamkan takdir yang lebih baik, seterusnya menemukan kejayaan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s