Catatan 23 November 2016

1. Tatkala melihat kawan-kawan yang lain, aku lihat telah pesat perkembangan kehidupan mereka. Aku percaya, sesiapa pun pasti ada fasa jatuh bangun yang tersendiri. Kita tidak tahu tempoh sukar yang mereka telah lalui sehingga terbit rasa kemanisan hidup. Kita acap kali melihat dan membandingkan kelebihan orang lain yang tidak ada pada kita. Tidak elok membandingkan takdir orang lain yang lebih baik berbanding diri sendiri. Itu sama seperti tidak bersyukur. Di mana, kita seharusnya meletakkan sangkaan baik kepada Tuhan.

Aku sedar bahawa aku gemar menuliskan catatan berupa ekspresi peribadi yang berbaur mendung, pahit dan kelam. Tapi, aku akan cuba untuk tidak melampaui garis sempadan seperti kelihatan meratapi nasib malang yang menimpa. Banyak lagi sisi kegembiraan yang melingkari kehidupan ini.

Walau bagaimanapun, bila aku cuba melihat ke dalam diri, aku mendapati diriku seperti tidak melakukan apa-apa setelah mengalami kejatuhan. Masih lagi belum bangkit. Belum berguna, belum menyumbang sesuatu untuk kemajuan diri dan keluarga terutamanya.

Tuah ayam nampak kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Hanya keyakinan kepada Tuhan, dapat merestui kejayaan yang ingin dicari. Telah ada bahagian rezeki masing-masing tertulis di Luh Mahfuz. Apa yang perlu dilakukan adalah meminta kepada-Nya agar dipermudahkan cara dalam menggerakkan usaha. Walau pun secara hakikatnya tidak ada jalan mudah. Kemudian barulah bertawakal kepada Tuhan. Terdapat banyak jalan untuk mencari rezeki, sama ada makan gaji atau berniaga.

Pernah juga terlintas keinginan untuk menjadi usahawan tapi masih lagi kurang yakin untuk memulakan. Tidak pasti apakah jenis dagangan yang dirasakan secocok. Apa pun hasrat ini tetap dianggap sebagai salah satu cita-cita di masa akan datang. Bekerja dahulu untuk mencari pengalaman.

Latar belakang keluarga tiada yang menjalankan perniagaan. Semuanya merupakan kaum pekerja, kebanyakannya kerja kerajaan. Ada yang mengusahakan kebun warisan dan menternak lembu pada skala kecil. Inspirasi dan pengaruh untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan agak kurang. Gambaran sebenar dunia perniagaan tidak ada. Inspirasi yang ada hanyalah melalui pembacaan dari kisah-kisah orang lain. Entah mengapalah sejak dulu aku menganggap berniaga ini begitu susah, dimomokkan dengan jaminan pendapatan yang tidak tetap berbanding bekerja makan gaji. Padahal siapa yang Maha Memberi Rezeki. Seolah-olah kurang yakin pula. Ketakutan yang tidak munasabah sebenarnya. Sedangkan inspirasi utama telah pun ada contohnya iaitu nabi Muhammad s.a.w.

2. Sejak tiga empat tahun kebelakangan ini aku rasa semakin terlajak berfikir atau “overthinking”. Setiap pertimbangan terhadap keputusan, walau untuk perkara-perkara remeh seringkali difikirkan terlalu dalam. Ada masanya, hilang sifat positif, dan gemar berprasangka. Terdapat perkara yang seharusnya dilakukan dengan perlaksanaan ringkas telah dirumitkan dengan fikiran yang menerawang jauh. Ini sedikit sebanyak telah menganggu kelancaran aku dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab. Adakah ini merupakan masalah sikap? Atau merupakan simptom bahawa aku sedang menghadapi kemurungan (depresi)?

Terlalu banyak berfikir tidak bagus juga sebenarnya. Satu tindakan pun tidak dapat disudahkan. Boleh dikatakan hampir setiap masa fikiran menerawang berfikir tidak henti-henti terutama sebelum tidur. Selalunya aku akan berfikir tentang tujuan hidup. Apakah hidup ini punya tujuan? Selain mengabdikan diri kepada Tuhan.

Perkara yang kurang jelas sebagai tujuan hidup adalah bagaimana aku harus fungsikan diri dalam segala urusan duniawi. Apakah hidup ini untuk belajar, bekerja mencari sumber pendapatan, berkahwin, berkeluarga, kemudian mati? Sehinggalah aku simpulkan bahawa destinasi untuk menuju ke arah kehidupan sebenar adalah selepas mati nanti. Maka kehidupan sementara ini harus dijalani sekadar biasa-biasa. Pernah juga aku mempersoalkan tujuan aku dilahirkan ke dunia. Soalan ini telah ditemukan jawapan, cuma dalam beberapa bab yang lain aku tidak tahu. Terkadang aku seperti tidak tahu bagaimana untuk hidup.

3. Pernah aku diajak berbual tentang topik jodoh dan mendirikan rumah tangga oleh kawan-kawan. Pernah juga berbincang dan berkongsi pendapat secara personal. Apa yang aku lihat, akar perbincangan topik ini adalah perasaan kebimbangan kerana masih belum bernikah. Mungkin kerana ramai kawan yang lain telah bernikah awal. Keadaan itu telah mempengaruhi kebimbangan dan keinginan mereka yang masih bujang.

Itu satu hal, perkara yang kedua pula dengan siapakah agaknya calon pasangan yang bakal menjalani hidup bersama di suatu hari nanti. Kemudian berlanjut pula kepada persoalan baru, apakah mampu untuk mencintai si dia. Seingat aku, perkara ini telah lama aku fikirkan sebelum aku berkhatan lagi. Bezanya di masa itu perkara ini tidak difikirkan secara mendalam. Aku mengenangnya sebagai memori kelakar zaman kanak-kanak. Tetapi semakin meningkat dewasa, rupanya topik ini semakin mendalam dibualkan. Kalau ditanyakan aku, jawapannya aku tidaklah terlalu runsing memikirkan. Sama ada berkahwin awal atau tidak berkahwin langsung pun aku layankan saja. Siapa pun orangnya, aku telah capai kesimpulan bahawa hati dan perasaan ini Tuhan yang pegang.

Mencari jodoh bagi aku merupakan hal yang serius. Maka, aku menganggap keinginan untuk bernikah bukan seperti memilih ayam di pasar, sebaliknya memerlukan komitmen, persediaan rapi yang pelbagai, serta tanggungjawabnya terlalu besar. Perkahwinan bagi aku suatu tingkatan perhubungan yang sakral, suci. Jadi, tidak ada isu bagi aku untuk terkesan dengan tularnya fenomena dari kawan-kawan yang bernikah diusia yang muda. Ini bukan perkara ikut-ikutan. Orang dulu rilek saja berkahwin ikut aturan keluarga, di usia muda. Itu realiti yang berlaku di zaman dulu tidak sama dengan sekarang di mana aku rasa perlu fikir panjang. Cabarannya berbeza. Tambah pula statistik perceraian sangat tinggi, dalam satu hari entah berapa ramai pasangan bercerai.

Pendapat aku sebentar tadi bukanlah bermaksud memandang enteng pada perkahwinan. Cuma aku mengajak kawan aku yang runsing tadi dalam memikirkan soal jodoh ini agar tidak terlalu serabut. Tanyalah diri sendiri. Apakah sebenarnya kau yang terlalu memilih dan cerewet dalam pencarian calon isteri? Sebab itu lewat bernikah. Apakah telah siap sedia untuk ke arah itu? Atau kau tunggu jodoh datang sendiri tanpa mencari? Kemudian mengeluh jodoh tak sampai-sampai. Kalau ikutkan ada satu nasihat yang terlalu klise tetapi relevan iaitu semua yang berlaku banyak hikmahnya. Kita mungkin berasa teruja dan seronok bila melihat kebahagiaan orang yang telah berkahwin. Tambah pula diri sendiri bosan tanpa pasangan (sedangkan ahli keluarga masih ada). Padahal ramai saja yang sudah berkahwin rasa tak sabar nak bercerai kerana perhubungan yang makin hambar.

Itu saja catatan pada hari ini, hasil dari rumusan dari perca-perca kehidupan yang aku lalui, dan perbualan dengan orang lain serta fikiranku sendiri yang sentiasa ada saja terfikirkan bermacam perkara rambang. Perbualan topik jodoh dengan seorang kawan kelmarin sebenarnya terlalu jauh hampir mencapai bulan bintang, sampai berbuah pokok berangan. Apa akan jadi pada persahabatan. Kalau boleh biarlah kekal sampai bila-bila. Teringat pula sebuah filem “Grown Up” lakonan Adam Sandler dan Chris Rock. Masih lagi berkumpul (reunion) melakukan aktiviti sesama kroni dan keluarga masing-masing bersama-sama. Macam Pak Jabit cakap dalam filem Hantu Kak Limah, “budak ni kaki tengok dvd”.

Bila aku menungkan secara sendirian, aku rasakan kini aku agak kurang kisah tentang keinginan untuk bercinta dan berkahwin. Bukan tak ada nafsu, cuma keinginan tersebut tidaklah mendesak, masih lagi di kedudukan paling bawah. Terasa muak bercerita fasal jodoh. Sebaliknya aku lebih suka memikirkan tentang kehidupan. Hayat yang ada ini agaknya kemana hendak disumbangkan, ditaburkan segala bakti. Atau teruskan kehidupan ini seperti kebanyakan orang, belajar-bekerja-berkahwin-buat anak-kemudian tamat. Apakah cara menjalani hidup yang tidak klise? Mengembara ke serata dunia? Jadi ahli sufi? Jadi komunis? Ahli politik? Pemain gitar sebuah kumpulan death metal tempatan? Atau jadi kru Mugiwara No Luffy?

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s