Tahniah Sahabat

8 Disember 2016

Ada satu panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali. Sebenarnya aku sangat tidak selesa dengan keadaan tersebut. Seperti wujud alahan apabila mendapat panggilan asing. Kebetulan, aku sedang memegang telefon ketika itu, sempat juga aku berfikir untuk jawab atau abaikan. Akhirnya setelah tiga kali deringan, aku sambut panggilan tersebut dengan soalan. “Ini siapa?”

Perkara kedua yang merimaskan ialah, bila pertanyaan aku dibalas dengan jawapan yang langsung tidak ada kena mengena. Tapi dia mengenal nama aku. Apa yang harus aku katakan selanjutnya dalam keadaan hati ini sedang berbahang, berdebar dan menjengkelkan. Mujur dengan pertimbangan yang rasional, aku menjelaskan padanya bahawa semua nombor kenalan yang tersimpan di telefon telah tiada kerana telefon lama telah rosak. Tidak sempat aku simpan sebagai pendua.

Rupa-rupanya dia merupakan salah seorang sahabat yang paling rapat pernah aku ada. Memalukan apabila aku gagal mengecam suaranya. Terlalu lama tidak berhubungan, berbual apatah lagi bertemu. Masing-masing sudah berada di haluan yang berbeza, dipisahkan oleh jarak dan masa. Dia sangat jarang kelihatan di media sosial. Mungkin sifatnya hampir sama seperti aku. Manusia introvert.

Shahrul semenjak berpindah ke Kedah, terlalu jarang dapat bertemu. Dalam perbualan yang singkat itu banyak perkara dibualkan, tentang dulu-dulu. Ternyata dia maklum akan kemalangan yang aku hadapi beberapa bulan kelmarin. Sedangkan, cuma beberapa orang teman saja yang tahu. Selanjutnya, dia hendak mengundang aku datang ke majlis perkahwinannya pada 24 haribulan Disember nanti. Terkejut bercampur senang hati aku mendengar khabar tersebut. Seperti ubi yang berisi dalam diam. Terasa bagaikan sekejap masa berganjak.

Namun, aku tidak bermaksud untuk mengecewakan hasrat dari seorang sahabat. Bagaimana untuk aku katakan apabila tidak dapat turut serta dalam meraikan hari bahagianya? Walau pun dia memahami keadaan aku saat ini. Aku sangat berat hati untuk menyatakan tidak dapat hadir. Kebarangkaliannya sangat rendah. Aku masih belum sembuh dan sempurna untuk berjalan kembali, dengan bajet yang kurang mencukupi, dan majlisnya yang bertindih dengan walimatul urus saudaraku. Bertanya pula seorang lagi sahabat bernama Fikri. Nampak gayanya memang tidak dapat. Padahal kalau mahu boleh saja dibincangkan rancangannya. Sohor kini, ramai yang menulis buku tentang tip pengembaraan, pastinya perjalanan ke Kedah lebih mengujakan.

Hanya doa yang mampu diutuskan dari kejauhan. Berada jauh cuma disebabkan jarak, asalkan bukan silaturahim dalam arena persahabatan. Esok dia akan bertolak ke Kuala Terengganu untuk bernikah dan majlis diadakan di rumah pengantin perempuan. Jemputan 24 haribulan adalah majlis di rumahnya. Persoalan yang terbit dari sahabat, selama ini tidak pernah dia bercerita tentang jodohnya. Bukankah kita semua sangat akrab. Cukuplah aku simpulkan bahawa itu adalah pilihan dia yang mempunyai sebab tersendiri. Aku rasa aku boleh faham, dan ini bersangkut paut dengan cerita lama. Cerita yang sudah pun tersimpan menjadi sejarah sebagai kenangan pahit manis.

Terlalu lama menjalinkan perhubungan, sejak di bangku sekolah menengah dulu, tidak disangka telah berakhir. Kini perempuan itu telah berkahwin dengan orang lain. Sehingga ada seorang cikgu turut bertanya kepada aku tentang perkembangannya sambil bercanda. Bagaikan drama “Sembilu” lakonan Zed Zaidi dan Hetty Sarlene. Sebagai menghormati dan tidak mahu mengguriskan hati, aku tidak bertanya soal ini kepada Shahrul. Bukankah soal jodoh dan maut itu merupakan rahsia Tuhan? Aturan-Nya kita tidak tahu meski pun kita berusaha sehabis baik dalam merancang. Dan aku hanyalah watak sampingan yang menyaksikan kisah perhubungan mereka. Mungkin aku sendiri tidak dapat membayangkan kalau berada pada situasi yang sama.

Sekali lagi, aku mengucapkan selamat menjalani kehidupan berumah tangga kepada Shahrul. Selamat berkeluarga. Sesungguhnya aku turut menumpang rasa gembira. Semoga perkahwinanmu mendapat keberkatan, kesejahteraan dan sakinah. Semoga berbahagia sehingga ke akhir hayat, dunia dan akhirat. Melahirkan zuriat yang soleh dan solehah. Maafkanlah aku kerana tidak dapat menghadiri majlismu yang jauh di sana. Oh, dalam kalangan kita berlapan pada malam itu, baru aku perasan bahawa kau yang mengakhiri zaman bujang terlebih dahulu.

Selain Shahrul, ramai lagi teman-teman rapat yang lama tidak dengar khabar berita dan jarang berhubung. Aku tidak mungkin dapat melupakan pada satu detik pertemuan kita semua, pada tahun 2008 dahulu. Waktu itu di kedai mamak, kita berkumpul beramai-ramai bagi mengucapkan salam perpisahan kerana berpindah bersama keluarga ke tempat lain dan ada yang berhijrah untuk menuntut ilmu. Kenangan yang teramat penting dan bermakna pada pertemuan malam itu selepas tamat persekolahan. Bagai tidak disedari hampir 10 tahun berlalu. Aku teringat Satish, dialah yang paling lama tidak berjumpa berbanding yang lain pada tahun lepas sempat berkumpul ketika hari raya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s